Mulut seru perpaduan, tapi hati berantakan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka dan terus terang menyalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bersama 12 menteri kabinet lainnya sebagai penyebab kepada ketidakharmonian dalam pentadbiran negara, sehingga memaksa beliau untuk membubarkan Parlimen.

Muhyiddin pula dalam responsnya kepada kenyataan tersebut itu menempelak Sabri agar menyalahkan diri sendiri dengan apa yang berlaku.

Sabri menyalahkan tindakan 12 menteri dari Bersatu dan PAS yang mengutus warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tidak berkenan membubarkan parlimen.

Inilah realiti parti-parti politik beranggotakan Melayu-Islam di negara ini yang “berpeluk cium” tatkala mereka bekerjasama untuk meraih kepentingan tertentu, tetapi setelah kepentingan masing-masing tergugat atau sudah tidak lagi sehaluan, maka masing-masing akan “meludah” satu lain.

Mulut mereka sering berbicara mengenai perpaduan ummah, penyatuan Melayu atau penyatuan Islam, namun hakikatnya hati mereka berantakan. Jauh sebelum pembubaran parlimen pun mereka sudah mempersalahkan dan mengutuk satu sama lain sebagai penyebab perpecahan dan ketidakstabilan, apa lagi sesudah pembubaran parlimen, dan apa lagi bila tiba musim berkempen nanti.

Walaupun kita tidak suka melihat perpecahan seumpama ini berlaku dalam kalangan kaum Muslimin, tetapi inilah hakikat yang kita terpaksa telan.

Persoalannya, apakah punca kepada semua ini? Apa lagi puncanya jika bukan kerana ketamakan kuasa? Realitinya, kesemua parti politik dalam demokrasi ini bergabung atau bekerjasama antara satu sama lain adalah untuk mendapatkan kuasa. Ini sahaja sebabnya, dan tidak ada sebab lain lagi!

Dengan kata lain mereka hanya bergabung atas asas manfaat, bukannya atas asas akidah Islam. Apabila hilang manfaat, maka berantakanlah gabungan tersebut. Apabila wujud lagi manfaat pada masa akan datang, maka mereka akan bergabung lagi. Setelah hilang manfaat mereka akan berantakan lagi. Begitulah apa yang terjadi secara berulang-ulang sebagaimana yang kita telah dan sedang saksikan.

Parti A boleh bergabung dengan parti B untuk memusuhi parti C dan D. Lalu kemudian, parti A bergabung pula dengan C dan memusuhi parti B dan D. Lalu kemudian parti C bergabung pula dengan B dan memusuhi parti A dan D. Lalu kemudian parti B bergabung pula dengan parti D dan memusuhi parti A dan C. Begitulah gabungan dan permusuhan mereka terjadi secara bersilih ganti.

Inilah bahana demokrasi, yang menjadikan umat Islam berpecah-belah. Parti-parti yang ada dalam demokrasi hanya sibuk meramaikan ahli dan mencari pengikut dalam rangka memenangi pilihan raya dan seterusnya berkuasa, bukannya menyibukkan diri untuk menerapkan Islam.

Inilah yang dimahukan oleh kuffar penjajah apabila mereka memaksakan sistem demokrasi di tanah jajahan mereka yang masih kekal sehingga kini. Mereka ingin memastikan yang umat Islam sentiasa lemah dan terpecah-belah, dan hukum Allah tidak akan diterapkan. Mereka berjaya melakukan semua ini apabila umat Islam dan parti-parti yang dianggotai oleh umat Islam menjerumuskan diri dalam sistem demokrasi.

Insya Allah hati umat Islam akan kembali bertaut apabila mereka sedar dan mencampakkan demokrasi yang sebenarnya menjadi punca kepada perpecahan dan kelemahan mereka selama ini.

Wallahu a’lam.