Retorika Perpaduan

KOTA BHARU, 17 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Nik Abdul Aziz turut meminta Nasharudin supaya keluar daripada Pas dan menyertai UMNO kerana tindak-tanduknya itu lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada ahli parti itu. Beliau dengan nada marah menyifatkan pemimpin nombor dua Pas itu sebagai tidak bermoral kerana telah membuat ‘sampah’ dalam parti tersebut.
Sudah tiba masanya bagi semua gerakan Islam yang ada kini memuhasabah diri sendiri, apakah maksud perjuangan mereka selama ini? Di manakah asas perjuangan yang pernah menjadi agenda utama penubuhan mereka?  Ya, masalah utama umat Islam hari ini adalah kerana kehidupan mereka tidak dinaungi dengan peraturan Islam (syariah) secara kaffah (total). Oleh itu, penyelesaian sebenar kepada masalah ini adalah mengembalikan semula syariah ke dalam kehidupan secara total. Inilah objektif yang sepatutnya menjadi teras perjuangan. Bukannya bersikap pragmatik dengan mana-mana pakatan yang tak pernah menjadikan Islam sebagai agenda perjuangan apatah lagi menjadi objektif. Dan bukan pula terjebak dengan isu perpaduan yang sentiasa mengundang perpecahan di kalangan kaum muslimin melalui pengamalan politik kufur.

Sikap berorientasikan kepartian secara langsung mengheret kita kepada fanatisme yang merugikan umat. Kaum Muslimin rindu kepada kesatuan umat dan ingin sekali membuang sampah sarap kehidupan sekarang ke dalam gaung sejarah hitam mereka. Mereka obses dan optimis kepada kehidupan Islam sebagaimana yang tergambar dalam sejarah kegemilangan Khilafah lebih 1400 tahun mentadbir dunia dengan syariah.

Khilafah (negara Islam) merupakan target yang perlu kita capai, Khilafah jugalah titik sasaran perjuangan kita di kala ini. Cukuplah dengan sikap pragmatik, janji palsu, retorika dan ilusi sebuah negara bangsa demokrasi. Hentikanlah bujukan dan beradu domba dalam pakatan kufur, saling bertelagah dan berpecah belah yang hanya akan menghibur si kufur!