MUNAAQASHAH – MENENTANG PEMERINTAH : BUGHAH ATAU MUHASABAH?

26 Januari 2014 – Bertempat di Khilafah Centre, Bandar Baru Bangi, HTM telah menyelenggarakan Munaaqashah (Diskusi) yang bertajuk “Menentang Pemerintah : Bughah atau Muhasabah?”

Munaqaashah kali ini menampilkan Ust Abdul Hakim Othman, Ketua Maktab I’lami HTM dan Dr. Muhammad Abu Al-Ain, AJK Pusat HTM selaku ahli panel.

Dalam pembentangannya, Dr. Muhammad menerangkan bahawa dunia sekarang berada di milinea “penentangan” di mana di banyak negara, termasuk Malaysia, rakyat keluar beramai-ramai untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan.

Di Malaysia sendiri, sudah terlalu banyak demonstrasi yang dilakukan secara besar-besaran oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, sehingga yang terbaru demonstrasi “turun” yang didakwa untuk mengguling kerajaan. Dari sinilah timbulnya polemik apabila mufti Perak mendakwa mereka ini sebagai bughah dan halal darah mereka, satu kenyataan gopoh yang dibantah oleh banyak pihak.

Abdul Hakim seterusnya mengupas tentang bughah secara mendalam dengan memetik ayat, hadis-hadis dan pandangan para imam mazhab dan ulama muktabar mengenai definisi bughah.

Ketua Maktab I’lami HTM itu menjelaskan kesalahfahaman banyak pihak tentang bughah dan beliau akhirnya menjawab segala kekeliruan yang telah timbul hasil dari isu ini.

Majlis diakhiri dengan sesi soaljawab dan para hadhirin rata-ratanya mendapat pencerahan tentang bughah dari munaaqashah kali ini.