Munaqashah April 2010 – “Khilafah: Sistem Yang Sempurna”

Munaqashah April 2010 – “Khilafah: Sistem Yang Sempurna”

BANDAR BARU BANGI – Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sekali lagi telah berjaya menganjurkan Munaqashah (Diskusi) fikrah Islam kali yang keempat Ahad lalu bertajuk ‘Khilafah Sistem Yang Sempurna’ setelah  penganjuran kali ketiga pada Mac lalu yang membawa tajuk ‘Kembalinya Islam Sebagai Kuasa Besar’.

Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman memberitahu, penganjuran berkala Munaqashah ini bertujuan memberi informasi dan kesedaran kepada umat Islam bahawa segala permasalahan yang berlaku kepada umat kini hanya mampu diselesaikan dengan penerapan Islam dalam kehidupan dan penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) tidak akan berlaku kecuali oleh Negara.

“Program sebegini akan cuba diadakan setiap bulan supaya umat Islam dapat memahami dengan lebih jelas mengenai sistem pemerintahan Islam yakni sistem Khilafah. Umat Islam juga dapat membezakan dan menilai sistem Islam (Khilafah) yang sempurna ini berbanding sistem demokrasi-sekular yang diterapkan oleh pemerintah sekarang yang secara jelas lebih banyak membawa kesengsaraan kepada rakyat” ujarnya.

Lebih 100 orang telah menghadiri Munaqashah kali ini yang diadakan di Bilik Seminar Khilafah Centre, Seksyen 7, Bangi. Munaqashah kali ini juga menampilkan sedikit kelainan di mana salah seorang ahli panel, Ustaz Abu Haris Al-Amin, seorang aktivis Hizbut Tahrir dari Indonesia yang digandingkan dengan aktivis HTM iaitu Ustaz Tarmizi Salleh.

Tarmizi selaku pembentang pertama telah membawa tajuk ‘Kegagalan Sistem Kapitalisme’. Dari ideologi Kapitalisme inilah yang telah menghasilkan pemerintahan demokrasi yang bertunjangkan konsep pemerintahan ‘dari rakyat oleh rakyat untuk rakyat’ di mana kesemua konsep ini hanyalah pembohongan semata-mata malah sistem demokrasi ternyata menindas rakyat dan gagal menyelesaikan masalah baik sosial, ekonomi mahupun  politik, malah umat Islam di seluruh dunia semakin sengsara kerananya.

Abu Haris pula dalam pembentangannya menjelaskan bahawa kesalahfahaman yang menimpa generasi sekarang adalah kerana adanya dakyah jahat dari Barat yang diajar sejak dari bangku sekolah yang menggambarkan para Khalifah dengan imej buruk seperti kaki perempuan, pemabuk dan sebagainya yang secara jelas dan nyata adalah fitnah yang besar ke atas Islam.

“Ingin saya tegaskan, demokrasi adalah sistem kufur dan tidak menjamin keadilan dan kemakmuran dalam kehidupan kita, umat Islam tiada pilihan lain selain menukarkan sistem kufur yang ada pada hari ini kepada sistem Islam iaitu sistem Khilafah yang sempurna kerana ia adalah kewajipan yang datangnya dari Allah dan Rasul” ujarnya bersungguh-sungguh.

Pembentangan diselitkan dengan tayangan video yang memaparkan kerosakan sistem Kapitalisme dan perlunya umat Islam untuk kembali kepada sistem Khilafah sebagai satu-satunya sistem yang layak bagi manusia.

Munaqashah diakhiri dengan sesi soal jawab dan ditutup dengan bacaan doa oleh pengerusi.

 

Ustaz Tarmizi menyampaikan mengenai kegagalan Sistem Kapitalisme

Khilafah adalah satu kewajipan daripada Allah & Rasul - Ustaz Abu Haris

Para hadirin sedang khuysuk mendengar ceramah

Lebih 100 orang hadir ke Munaaqashah April 2010 kali ini