Munaqashah Dinar & Dirham berlangsung di Johor

JOHOR BAHRU 27 Mac – Untuk kali kedua, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dengan kerjasama Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN) telah menganjurkan Munaqashah (Diskusi) fikrah Islam yang diadakan di Bilik Seminar IKIN di di Taman Sri Putra, Johor Bahru hari ini. Munaqashah kali ini bertemakan “Dinar & Dirham: Penyelesaian Masalah Ekonomi”.

Objektif program adalah untuk menerangkan konsep penggunaan dinar dan dirham yang mampu menyelesaikan masalah kewangan yang melanda dunia akibat penggunaan wang kertas yang selama ini disandarkan kepada dollar Amerika.

Munaqashah kali ini menampilkan dua aktivis Hizbut Tahrir kawasan Johor Bahru iaitu Ustaz Ahmad Tamizi Osman dan juga Ustaz Wazir Ja’far. Tamizi selaku pembentang pertama telah membawa tajuk “Sejarah Dinar dan Dirham dan Wang Kertas”. Beliau menerangkan tentang penggunaan emas dan perak sebagai matawang yang telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi dan telah mendapat tempat di dunia sebagai perantara pertukaran barang. Setelah kedatangan Rasulullah SAW, hal ini diteruskan oleh baginda yang kemudian menjadi hukum di dalam Islam. Namun sejak Barat mulai menjajah dunia dengan ideologi kapitalisme mereka, wang kertas mula digunakan tanpa disandarkan lagi sepenuhnya kepada emas dan penggunaan dinar dan dirham telah ditamatkan. Bermula dari sinilah sistem kewangan dunia sebenarnya mulai menghadapi masalah.

Wazir dalam pembentangannya selaku ahli panel kedua telah membawa tajuk “Dinar & Dirham: Penyelesaian Masalah Ekonomi”. Beliau menjelaskan bahawa dinar dan dirham tidak boleh dipisahkan dari sistem ekonomi Islam dan telah terbukti mampu menyelesaikan masalah manusia. Ini kerana sistem ekonomi Islam adalah sistem yang datangnya dari wahyu, bukan dari akal manusia.

Wazir menyifatkan dinar dan dirham sebagai ‘wang sunnah’ di mana wang sunnah ini tidak akan dapat diterapkan tanpa sebuah kuasa politik. Oleh itu, ahli panel ini mengajak para hadhirin bergabung bersama HTM untuk menegakkan sebuah kuasa politik yang bergelar Daulah Khilafah yang telah diusahakan oleh Hizbut Tahrir sejak 1953 lagi, yang dengan tertegaknya institusi politik ini, bukan sahaja dinar dan dirham, malah kesemua hukum Allah dapat diterapkan secara kaffah. Majlis diakhiri dengan sessi soaljawab sebelum ditutup oleh pengerusi, Sdr Taufik.

alt
 

alt