Murtad lagi, kenapa terus berlaku?

Berita:

KUCHING: Mahkamah Persekutuan di Kuching memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendalikan kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata, mahkamah sebulat suara mencapai keputusan menolak rayuan empat  individu di Sarawak bagi meminta mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya. Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan itu tanpa kos dan memutuskan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam kes-kes mahkamah yang lain.

Katanya, walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Berita penuh: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/murtad-mahkamah-persekutuan-tolak-rayuan-murtad-empat-individu-169171

Komentar:

Isu murtad kembali menghangatkan umat Islam di negara ini. Empat orang individu yang ingin murtad atau sebenarnya telah pun keluar daripada Islam, telah memohon rayuan untuk kes mereka ini dibicarakan di peringkat Mahkamah Sivil dan mempersoalkan kelayakan Mahkamah Syariah berhubung keputusan mereka untuk keluar daripada agama Islam.

Persoalannya mengapakah mereka ingin keluar daripada Islam? Dimanakah peranan Jabatan dan Majlis Agama dalam mengawal selia hal ehwal mualaf sehingga ada di antara mereka ini ingin kembali kepada agama asal. Isu ini sepatutnya menyedarkan kita khususnya kepada umat Islam di negara ini tentang betapa kroniknya masalah murtad ini yang dilihat sudah menjadi gejala, sehingga ramai yang rasa bebas dan sesuka hati untuk keluar daripada Islam.

Sesungguhnya  isu murtad merupakan kes yang berat dalam Islam dan perlu segera ditangani. Siapakah pula yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya? Bagaimana pula dengan peranan negara? Apakah negara terlepas daripada tanggungjawapnya bagi menangani isu murtad ini.

Inilah antara kesannya apabila isu murtad tidak diatur dengan hukum Islam. Jika ada usaha yang dilakukan sekalipun, ia tidak lebih daripada apa yang dibenarkan oleh sistem yang sedia ada.

Sedangkan dalam sistem perundangan Islam telah jelas menetapkan, bahawa apabila seseorang keluar daripada Islam sedangkan ia baligh dan berakal maka ia diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika ia kembali setelah itu maka akan diterima dan jika menolak maka akan dibunuh. Allah SWT berfirman:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah, 2:217]

Imam Bukhari meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata,

“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin Ali karamAllahu wajhah, orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan Ibnu Abbas berkata, ‘Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana Nabi SAW bersabda, ‘Jangan kamu menyeksa dengan seksaan Allah, akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Nabi SAW ‘Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia.”

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan,

“Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”

Walaupun si murtad tidak akan terus dihukum bunuh disebabkan akan diberi lagi peluang untuk bertaubat, tetapi percayalah selagimana hukuman Islam terhadap pelaku murtad ini masih tidak diterapkan, kita akan terus dihantui dengan masalah murtad ini. Wallahu’alam

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia