Muslimah Sedunia Menyeru Tentera Bebaskan Aqsa
Gema pembebasan Aqsa sudah mendunia. Tanggal 26 November 2023 lalu, Muslimah merentas benua telah menyeru agar tentera Muslimin bergerak untuk berjihad di Palestin. Gaza telah menjadi tanah perkuburan yang besar terutama buat para wanita dan kanak-kanak. Peristiwa Nakba berulang dengan usaha genosid yang sangat mengerikan. Pasukan tentera wajib menjadi pembela dan pelindung daripada keganasan entiti ‘Zionis’ penjajah ini, sebagaimana tuntutan Allah dalam Al-Qur’an,
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya.” [TMQ al-Anfaal (8):72]
Kesucian Palestin & Kekayaan Kita
Seluruh bumi Palestin adalah tanah yang disucikan oleh Allah SWT sendiri. Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, Palestin dipilih sebagai tanah Masra (perjalanan malam) Nabi Muhammad SAW. Tanah yang terdapat Masjid al-Aqsa ini berada di bawah pemerintahan Islam dan kekal sedemikian selama berabad-abad. Tanah ini menjadi milik umat ini hingga hari kiamat!
Selain Palestin, kita sebagai umat yang mulia ini adalah gergasi (giant) dari pelbagai segi termasuklah tenaga manusia, sumber alam dan kuasa tentera. Jumlah kita 2 billion orang. Tanah kita mempunyai hampir 75% daripada minyak dunia dan sekitar 55% daripada rizab gas dunia. Di Timur Tengah sahaja, kita memiliki kira-kira 50% daripada rizab minyak dunia. Bumi Qatar mengawal rizab gas asli ketiga terbesar dan merupakan pengeksport gas asli cecair terbesar di dunia pada tahun 2022. Kita memiliki beberapa ruang udara dan laluan air yang paling strategik seperti Selat Hormuz yang mengandungi 40% daripada jumlah minyak dunia; dan Terusan Suez di timur laut Mesir yang menghubungkan pasaran Asia ke Mediterranean dan Eropah.
Umat kita memiliki tentera yang terbesar, lengkap dan terlatih di dunia. Angkatan Tentera Turki adalah pasukan tentera kedua terbesar dalam NATO. Pakistan mempunyai tentera keenam terbesar di dunia dan kesepuluh tentera udara terkuat. Arab Saudi memiliki lebih 700 pesawat pejuang dan Mesir mempunyai lebih 400,000 anggota tentera yang aktif serta lebih 1,000 pesawat tentera.
Nasionalisme dan Pengkhianatan
Tanah berkah Palestin bukan hanya Gaza dan Tebing Barat. Garis-garis sempadan yang sewenang-wenangnya dibuat oleh kerajaan Barat atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya memberi keuntungan kepada entiti Yahudi serta menghalalkan penyembelihan, rampasan tanah, pemenjaraan dan penyeksaan kanak-kanak, pengusiran beramai-ramai rakyat Palestin dari tanah air mereka dan ratusan jenayah lainnya. Sempadan dan garisan inilah yang membolehkan mereka wujud sebagai entiti Zionis.
Malangnya, para penguasa dan rejim di tanah Islam telah menggunakan nasionalisme dan sempadan negara yang memecahbelahkan umat ini sebagai alasan untuk tidak bertindak. Tentera Islam hanya menganggur dan dirantai di berek dan kem mereka, sementara umat Islam di Palestin, Syria, Kashmir dan tempat lain berdarah. Mereka bertindak seolah-olah genosid ini adalah masalah negara asing. Tentera hanya untuk mempertahankan takhta dan kepentingan diri mereka, sempadan atau kepentingan negara sehingga mengabaikan firman Allah SWT,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…” [TMQ Al-Hujurat (49): 10]
Lebih daripada itu, berikut merupakan antara pengkhianatan para penguasa Muslim terkini yang mengukuhkan lagi kekejaman Zionis selama lebih dari 7 dekad:
- Entiti Zionis menerima 60% daripada minyak dari dua negara Muslim iaitu Kazakhstan dan Azerbaijan. Malah kira-kira 40% minyak mereka mengalir melalui Turki.
- Menerima kewujudan entiti tidak sah ini melalui perjanjian damai dan normalisasi hubungan mereka. Malah, pada mesyuarat Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh pada 11 November 2023, mereka menyekat cadangan untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel.
Seruan Yang Realistik Buat Tentera Islam
Mungkin ada yang bersuara bahawa pengerahan tentera Islam untuk membebaskan Palestin adalah satu impian, tidak realistik, malah mustahil. Tetapi adakah apabila kita memenuhi apa jua perintah Allah SWT adalah satu impian yang tidak realistik atau mustahil bagi mereka yang beriman? Sebuah negeri kecil di Madinah telah berjaya mengalahkan Empayar Rom dan Parsi yang perkasa. Salahuddin al-Ayyubi gagah menghadapi pakatan tentera salib Jerman, Perancis dan British. Allah memberikan kemenangan kepadanya dalam Pertempuran Hittin dan membebaskan al-Quds. Jeneral muda, Tariq bin Ziyad mampu melawan tentera Visigoth Sepanyol yang dikatakan 10 kali lebih ramai daripada tenteranya sendiri dan membawa sebahagian besar Semenanjung Iberia di bawah pemerintahan Islam dalam masa kurang sedekad. Yakinlah dengan janji Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad (47): 7]
Wahai tentera! Tidakkah anda ingin memperoleh kemuliaan besar di dunia dan akhirat sebagai orang yang membebaskan bumi Aqsa? Tidakkah anda mahu menerima warisan kegemilangan panglima-panglima Islam yang agung di masa lampau seperti Salahuddin Al Ayubi, Muhammad ibn Qasim, Muhammad Al-Fatih, yang termaktub sebagai pahlawan umat ini sepanjang zaman kerana membawa kemenangan besar kepada Deen mereka?
Kesimpulan
Air mata wanita dan kanak-kanak Palestin akan berhenti dengan pembebasan yang hakiki, bukannya gencatan senjata yang sering dimungkiri. Justeru, serulah dengan lantang dan jelas kepada tentera Islam dengan menggunakan setiap medium dan peluang yang ada. Tuntut mereka agar bergerak segera dan memberikan Nusrah (pertolongan) untuk penubuhan Khilafah yang akan melenyapkan pendudukan penjajah Zionis Yahudi serta semua yang menzalimi Muslim di seluruh dunia. Sebarkan seruan ini sehingga sampai ke telinga “The Next” Salahuddin, pahlawan yang dinantikan untuk membebaskan al-Quds!
Artikel ini adalah ringkasan ucapan daripada Dr Nazreen Nawaz, Pengarah Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, yang dibacakan sempena Hari Tindakan Wanita Sedunia Untuk Palestin pada 26 November 2003.