Mustahil Islam ditegakkan dengan demokrasi

Umat Islam perlu disedarkan tentang akar permasalahan yang menyebabkan kedudukan umat ini lemah dan Islam tidak dapat ditegakkan secara kaffah pada hari ini. Desakan tersebut dibangkitkan oleh aktivis HTM, Sdr Faizal dalam Diskusi Umum yang disampaikan olehnya baru-baru ini.

Diskusi yang bertajuk “Merintis Perubahan Penegakan Islam: Jalan yang bagaimana – realistik atau idealistik?” itu turut mengupas persepsi yang salah wujud dalam kalangan sebahagian umat Islam termasuklah gerakan-gerakan Islam mengenai method jalan perubahan yang perlu diambil bagi menegakkan Islam.

Sdr Faizal menyatakan wujud persepsi dalam kalangan sebahagian umat Islam bahawa jalan perubahan yang realistik adalah melalui jalan demokrasi bagi meraih kekuasaan melalui peti undi, agar dengannya Islam dapat ditegakkan. Dalam masa yang sama, wujud pula persepsi bahawa perjuangan menegakkan Khilafah seperti yang diambil oleh Hizbut Tahrir sebagai suatu yang idealistik dan bersifat khayal (utopia).

Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa persepsi sebegini dapat diatasi dengan memahami fakta permasalahan secara menyeluruh. Beliau menjelaskan bahawa punca utama masalah kehidupan hari ini sebahagian besarnya berpunca daripada masalah sistem demokrasi yang diterapkan itu sendiri, di samping aspek budaya rosak yang wujud di dalamnya.

Namun, rata-rata jalan perubahan yang ditempuh oleh umat Islam dan gerakan-gerakan Islam ini terfokus kepada masalah budaya  seperti isu kepimpinan yang korup, rasuah, dan salah guna kuasa. Sedangkan umat Islam perlu berjuang ke arah mengubah sistem yang menjadi punca utama permasalahan yang wujud pada hari ini. Sdr Faizal juga menegaskan bahawa mustahil Islam dapat ditegakkan dengan jalan demokrasi, kerana sifat semulajadi sistem itu sendiri adalah akar masalah yang wujud pada hari ini.

Sehubungan itu, Sdr Faizal turut mengetengahkan method (thariqah) yang benar serta kriteria yang perlu ada padanya, iaitu hendaklah bersifat realistik dan sahih (benar). Beliau kemudiannya menghuraikan thariqah dakwah Rasulullah SAW secara sistematik mengikut marhalah-marhalah (tahap/fasa) berdasarkan dalil syarie dan sorotan sirah. Marhalah tersebut terbahagi kepada tiga iaitu marhalah tasqif wa takwin, marhalah tafa’ul wal kifah, dan marhalah tathbiq ahkamul Islam.

Huraian terperinci boleh diikuti melalui rakaman penuh program yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).