Syariat Islam Wajib Ditegakkan Tanpa Berkompromi Dengan Kebathilan!

kompromiJenayah: Perundangan syariah perlu ambil tempat

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ekoran kes jenayah yang tidak berkesudahan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa kerajaan pusat mula membincangkan secara serius perlaksanaan undang-undang syariah sebagai undang-undang alternatif di negara ini.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkara, kes jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh dan dibakar seakan menggambar sistem perundangan sivil yang sedia ada dilihat kurang berkesan bagi membendung aktiviti jenayah.

“Cadangan kami, iaitu perlaksanaan syariah Islam atau undang-undang jenayah syariah Islam sebagai alternatif bagi mengatasi jenayah yang semakin parah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media petang tadi di Pejabat Agung PAS selepas mesyuarat dewan itu hari ini.

Bagaimanapun katanya, rakyat seharusnya telebih dahulu diberi penjelasan berhubung keadilan perundangan Islam sebelum perlaksanaan dibuat sesuai dengan semangat demokrasi di tanah air.

Tambahnya lagii, alternatif itu juga selaras dengan muafakat yang dipersetujui bersama antara PAS, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat.

Ini kerana, kerajaan pusat sebelum ini pernah mengetepikan cadangan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan undang-undang Syariah bagi memulihara sosial masyarakat.

Dari segi yang lain, beliau berkata, Dr. Rowan D. Wiliiams, seorang Paderi pernah mencadangkan undang-undang syariah sebagai perundangan alternatif bagi menangani kebejatan sosial di Barat.

“Kalau Barat melihat perlunya undang-undang syariah bagi mengekang gejala sosial dan jenayah yang begitu parah, kenapa tidak Malaysia yang majoritinya penduduk beragama Islam,” soalnya sambil menganggap tindakan paderi itu adalah tidak salah mengikut lunas demokrasi.

Turut menyertai kenyataan media itu, Timbalan Ketua DPPP, Azman Shafawi dan Naib Ketua, Ahmad Sabki Yusof.

Sumber: harakahdaily.net

Yang Hak Tidak Boleh Bercampur Dengan Yang Bathil

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 42)

Mana mungkin syariat Islam itu dapat ditegakkan dengan cara yang bathil, iaitu dengan memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi yang jelas sekali membelakangkan Allah SWT sebagai as-Syari’ (pembuat hukum). Sebagai saudara seIslam dan seperjuangan, kami ingin mengingatkan saudara kami di PAS agar kembali ke jalan yang telah di tetapkan oleh Rasulullah dalam memperjuangan Islam. Kami melihat bahawa PAS yang dahulunya berusaha untuk menegakkan syariat Islam dengan slogan-slogan Islam, kini sudah mula  kendur dan sedikit demi sedikit telah berkompromi dengan kebathilan. Manakan tidak, untuk menegakkan syariat Islam (merujuk kepada petikan di atas), PAS malah perlu mendapat kesepakatan daripada ‘kawan-kawannya’ yang sememangnya tidak akan merestui berdirinya Islam sebagai wadah yang syumul secara bernegara. Kalau pun mereka (PKR dan DAP) setuju, ianya mungkin hanya dalam aspek-aspek tertentu sahaja yang tidak akan merugikan kemaslahatan mereka.

Ingin juga kami mengingatkan PAS sebagai sebuah Parti Politik Islam, bahawa hari demi hari, mereka kian mencampuradukkan yang Hak dan Bathil ketika memperjuangkan Islam dalam wadah Demokrasi. Jika UMNO berkompromi dengan kebathilan, ia tidaklah begitu menghairankan. Ini kerana, kewujudan UMNO itu sendiri adalah sebagai sebuah parti yang sekular dan diasaskan kepada assabiyyah. Tetapi jika ini berlaku kepada PAS, ianya amatlah menyedihkan kerana PAS merupakan parti yang diasaskan atas semangat dan ruhiyyah Islam. Ingin juga kami ingatkan kepada rakan seperjuangan kami di dalam PAS – apa yang sedang berlaku dalam konteks kompromi ini begitu jelas sekali sehinggakan Tun Dr. Mahathir, yang bukan merupakan seorang pemimpin yang memimpin atas landasan Islam, telah mengatakan bahawa PAS cuba berkompromi (dengan kebathilan) demi kuasa politik. (baca: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/dr-m-nik-aziz-compromises-islam-for-political-power/)

Berkenaan seorang Paderi di Barat yang menyarankan agar syariat Islam digunapakai dalam perundangan tidak boleh dijadikan sebagai batu asas bagi kita untuk menerapkan Syariat Islam. Ini kerana, saranan paderi itu bukanlah datang daripada kesedarannya tentang perintah dan larangan Allah. Manakala kita perlu melaksanakan syariat Islam kerana ia merupakan kewajipan yang wajib dilaksanakan tanpa dolak dalih.

Oleh itu, kami ingin menyeru PAS sebagai sebuah parti Islam agar:

Pertama, keluar daripada perjuangan (baca: perangkap) demokrasi yang sememangnya tidak menguntungkan dakwah dan perjuangan Islam sama sekali. Ini akan menjadikan PAS bebas daripada sikap berkompromi dengan parti kufur mahupun munafik.

Kedua, menjadikan metode (tariqah) Rasulullah SAW sebagai tauladan (standard) dalam usaha untuk menegakkan Daulah Islam yang diidam-idamkan. (rujuk SN bertajuk; Metod Dakwah Hizbut Tahrir).

Kami yakin dan pasti bahawa kemuliaan Islam akan segera terzahir ketika kelak syariat Islam diterapkan secara kaffah di muka bumi ini. Dan ia hanya akan dapat direalisasikan jika kita mengikut langkah-langkah yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW kepada kita, tanpa berkompromi dengan kebathilan. InsyaAllah dengan pertolongan Allah SWT semua itu akan dapat diraih. Allahumma Ameen.