[Nahdhah Fikriyyah] Kemenangan yang Dijanjikan Semakin Hampir

Ramadhan dan Syawal tahun 1442H ini terasa luar biasa. Tahun kedua melaluinya dalam ujian pandemik Covid-19. Ada yang diuji dengan kesakitan, ada juga yang diuji dengan kesempitan.Tetapi ramai yang lebih berasa kesepian dan kerinduan. Walau apajua keadaannya, Ramadhan yang berlalu tidak pernah suram dengan ganjaran, keutamaan dan kenikmatan seperti yang dijanjikan oleh Sang Pencipta. Sekiranya pilihan kita untuk mengejar keredhaanNya dan meraih keberkahan Ramadhan dengan ikhlas, maka Dia turut menjanjikan keampunan serta ganjaran pahala yang berlipat ganda. Taqabbalallahu minna wa minkum.

“Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (syaitan) yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah.” [TMQ Fathir(35): 5]

Tatkala laungan takbir, tahlil dan tahmid bergema sebagai tanda kedatangan Syawal tentunya kita gembira meraikan kemenangan setelah menjalankan ibadah shaum sebulan lamanya. Tahukah kalian bahawa pertama kali kalimah takbir raya ini dilaungkan saat Allah memuliakan tentera Muslimin dengan kemenangan ke atas pasukan al-Ahzab. Betapa nekadnya pasukan gabungan kafir Quraisy dan Yahudi mengepung Madinah hampir satu bulan tempohnya dengan tujuan untuk menghapuskan Rasulullah SAW dan kaum Muslimin dalam Perang Ahzab (Perang Khandaq). Namun, Allah SWT Yang Maha Perkasa telah menurunkan ribut pada malam harinya sehingga memporak-perandakan barisan musuh sekaligus memberikan kemenangan ke atas tentera Muslimin. Kemenangan mereka sungguh bermakna kerana berjaya meninggikan kalimah Allah dan mengalahkan kekufuran serta taghut. Demikianlah janji Allah SWT bagi mereka yang menolong agama-Nya biarpun sekuat mana sekalipun musuh yang dihadapi oleh kaum Muslimin. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong dan meneguhkan kedudukan kalian” [TMQ Muhammad (47): 7].

100 Tahun Terlalu Lama

Mari kita refleksi seketika keadaan umat Islam yang menang, dijulang dan dipandang dalam sejarah yang panjang. Bermula dengan kejayaan Baginda Rasul SAW membina titik peradaban di sebuah kota Madinah sehinggalah Allah mengurniakan wilayah kekuasaan seluas dua pertiga dunia. Ungkapan yang terbaik untuk digambarkan ketika itu adalah Islam rahmatan lil alamiin. Betapa besarnya rahmat Allah untuk sekian alam yang tiada tandingannya.  Muslim mahupun bukan, haiwan juga tumbuhan semuanya hidup bahagia. Allah juga menyampaikan ayat-Nya,

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan“. [TMQ al-A’raaf(7): 96]

Perhatikan terjemahan bahagian kedua ayat di atas. Rupanya sudah ada peringatan dari Allah. Inilah yang terjadi pada 100 tahun yang lalu, iaitu bertepatan 28 Rejab 1342H, penjaga kedaulatan Allah dan Rasul telah didustakan. Perisai umat telah dihapuskan. Khilafah Islamiyah telah diruntuhkan. Lalu terjadilah episod demi episod hitam yang terpaksa dilalui umat Islam di pelbagai belahan dunia. Padahal, ijmak sahabat menunjukkan hukum bahawa wajib memberi bai’ah kepada seorang khalifah baharu tidak lebih daripada tiga malam. Inikan pula sudah 100 tahun! Ya, selama itulah Ramadhan dan Syawal kita tanpa Sang Khalifah yang satu buat keseluruhan umat Islam sedunia. Justeru itu, kemenangan yang kita sambut saban tahun sekadar kemenangan sendiri, bukannya kemenangan hakiki buat kita semua.

Sampai Bila?

Ketahuilah kalian bahawa episod duka ini akan berakhir, bahkan semakin hampir ke penghujungnya. Lalu akan digantikan dengan kemenangan besar untuk Islam. Ini menepati janji Allah,

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.” [TMQ An-Nur(24): 55]

Ayat di atas adalah khabar gembira (bisyarah) dari Allah Yang Maha Berkuasa. Keadaan ketakutan, derita, kesedihan umat hari ini akan bertukar menjadi sentosa dan membahagiakan. Ini bakal terjadi apabila Allah menjadikan orang-orang beriman dan soleh berkuasa semula. Memimpin negara yang kuat, disegani kawan digeruni lawan. Rakyatnya dijamin harta, nyawa dan keamanan di bawah payung Sang Khalifah yang bertaqwa. Keadaan ini pernah terjadi dan terpahat rapi dalam tinta sejarah dunia.

Tahukah kalian bahawa tanda-tandanya sudah semakin jelas. Kezaliman dunia di bawah era kapitalisme ini sudah menghampiri penghujungnya. Dengan izin Allah dan kerja keras kita yang meyakini janji-Nya, masanya akan tiba. Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukaddimah Ibnu Khaldun menjelaskan lima sebab runtuhnya sebuah peradaban. Dalam konteks sekarang, peradaban yang sedang meniti sisa-sisa waktunya adalah kapitalisme.

  1. Ketika terjadi ketidakadilan (jurang antara kaya dan miskin yang amat ketara)
  2. Penindasan kelompok kuat terhadap kelompok lemah semakin bermaharajalela (Negara Kuat menindas negara lemah dan negara Lemah terpaksa akur)
  3. Keruntuhan moral para pemimpin negara (Rasuah, Salah guna kuasa, kesalahan seksual dan sebagainya)
  4. Pemimpin yang tidak boleh dikritik, malah sesiapa membuat kritikan akan dihukum.
  5. Terjadinya bencana besar seperti peperangan mahu pun serangan wabak seperti pandemik Covid-19 saat ini

Sudah terang lagi bersuluh kerana kelima-lima petanda ini jelas berlaku di hadapan mata kita semua. Seluruh negara dunia sedang mengalaminya. Masya Allah, Maha Benar janji Allah! Kemenangan buat Islam sebagai ideologi yang akan memimpin semula dunia ini hanya menunggu detik dan tempat yang sesuai untuk dikembalikan oleh-Nya. Inilah kemenangan hakiki yang seluruh alam dambakan.

Mari Usahakan Kemenangan

Percaya atau tidak, suka atau tidak, berusaha atau tidak, kemenangan itu pasti datang. Yang bathil akan lenyap, yang haq akan bertakhta kembali. Sudah tentu yang memilih untuk percaya, suka dan sama-sama berusaha bakal mendapat sebaik-baik balasan seperti yang dinyatakan dalam surah Muhammad:7. Ramadhan yang baru berlalu juga dikenali dengan Syahru al-Quran kerana al-Quran turun didalamnya. Ramai yang berjaya membacanya sehingga khatam 30 juzuk, tetapi janganlah hanya sebagai kenangan dan memori manis. Kitab suci itu perlu diletakkan semula sebagai perlembagaan hidup individu, masyarakat dan negara. Syariat Allah yang terkandung didalamnya wajib dibumikan semula. Mengimani al-Quran ertinya wajib menerima al-Quran seutuhnya, 100 peratus. Bukan mengimani sebahagian dan mengingkari lainnya. Mengingkari sebahagian isi al-Quran sama seperti mengingkari seluruh isinya. Allah SWT telah jelas memerintahkan manusia untuk masuk ke dalam Islam secara kaffah atau menyeluruh.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti  langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ Al-Baqarah: 208]

Justeru, apabila tidak membumikan al-Quran secara nyata, bukan kemenangan yang akan diraih tapi celaka dan derita. Selain itu, momentum mengikuti (ittiba’) sunnah Rasulullah tatkala Ramadhan wajib diteruskan ditingkatkan. Baginda bukan sekadar menunjukkan sunnah segera berbuka dengan tamar, melewatkan sahur, mendirikan solat tarawih dan mencari lailatul qadar. Malah lebih daripada itu. Sunnah Baginda yang hukumnya wajib untuk kita ikuti, berdosa hukumnya jika diabaikan. Rasulullah SAW dan para sahabat berkorban dan berjuang menerapkan syariat Islam dalam kesemua aspek kehidupan, serta memanifestasi­kan keimanan mereka dalam bentuk ketaatan terhadap perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Inilah yang sepatutnya kita jejaki. Inilah kemenangan hakiki yang ditunjukkan dan dituntut oleh Islam, bukan sekadar kemenangan dalam menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan semata-mata. Umat Islam pasti terus istiqamah menuju destinasi kemenangan. Umat Islam tanpa jemu akan menjejaki thariqah dakwah Rasulullah SAW sehingga kemenangan hakiki dapat direalisasi. Ketika itu Umat Islam hidup menyatu di bawah naungan yang padu, Khilafah ala Minhaj an Nubuwwah.

Wallahu’alam