Najib akui Islam sebagai penyelesai masalah, tetapi…
Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mengakui Islam sebagai penyelesai segala masalah sangat menarik untuk diberikan perhatian, kerana ia dikeluarkan oleh orang paling berkuasa di Malaysia. Sebagai orang yang paling berkuasa, sesungguhnya apa sahaja yang keluar dari mulut Najib akan dapat dilaksanakan dengan sangat mudah. Jika ia mahu memberikan BR1M, maka seluruh jentera negara akan digerakkan dan rakyat akan dapat menikmati BR1M. Begitu juga jika ia mahu GST dilaksanakan, maka seluruh jentera negara akan digerakkan untuk melaksanakannya dan rakyat menanggung penderitaannya.
Pendek kata, apa sahaja yang keluar dari mulut Perdana Menteri, ia merupakan suatu yang boleh terus dilaksanakan. Hatta, jika ia mengisytiharkan esok cuti, maka seluruh negara akan cuti. Sama sebagaimana jika menyebut untuk mengadakan sambutan tahun baru atau sambutan kemerdekaan, atau mahu membatalkan sambutan tahun baru atau membatalkan apa-apa konsert maksiat, atau membatalkan ISA, semuanya adalah semudah ABC sahaja baginya, kerana seluruh jentera negara, termasuk polis dan tentera akan patuh kepadanya.
Jadi, jika Najib menyatakan bahawa Islam adalah penyelesai kepada segala masalah dan hakikatnya Islam itu menjadi penyelesai masalah sekiranya diamalkan, maka jika Najib ingin merealisasikan kata-katanya itu, maka seluruh jentera negara sudah pasti akan bergerak untuk melaksanakannya.
Persoalannya, apakah orang yang paling berkuasa di Malaysia itu berniat untuk merealisasikan kata-katanya atau hanya sekadar permainan di bibir sahaja? Sesungguhnya fakta berbicara dengan sendirinya. Sejak dulu hingga kini, Najib tidak pernah menunjukkan apa-apa keazaman politik untuk menerapkan Islam. Malah sejak menjadi manusia yang paling berkuasa di Malaysia, tidak satu pun undang-undang Islam diterapkannya! Sebaliknya, beliau sangat terkenal dengan penolakannya terhadap hudud. Begitu juga dengan sistem Islam yang lain seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain hal pemerintahan negara, semuanya tidak diatur dengan Islam sejak Najib memerintah! Lebih buruk, Najib dibelit dengan pelbagai skandal, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang semuanya bertentangan dengan Islam.
Sehingga kini, realitinya Najib terus mengekalkan sistem sekular dan perlembagaan yang diwarisi daripada penjajah dan Islam hanya diamalkan dalam hal ibadat, pewarisan, perkahwinan dan perceraian dan hal-hal yang seumpamanya sahaja. Cukuplah untuk Najib beretorika kerana apa yang diucapkannya itu hanya mengundang kemurkaan Allah ke atasnya sahaja jika tidak dilaksanakan. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat?Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan” [TMQ as-saf (61):2-3].
[lihat: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/najib-islam-penyelesai-segala-masalah-1.493521]