Najib! Selesaikan Masalah Kamu Dulu

BN tumpu selesai masalah rakyat – Najib

KUALA LUMPUR 25 Mac — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, model baru politik Barisan Nasional (BN) bukan sahaja untuk memahami permasalahan rakyat tetapi menjurus ke arah menyelesaikanya dengan mengambil tindakan yang berkesan. Perdana Menteri berkata, ini berbeza dengan pendekatan lama di mana tumpuan lebih diberi kepada soal intra politik seperti urusan cawangan dan bahagian serta membuat desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat. Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata, jika BN tidak faham dan tidak dapat merasai denyutan hati rakyat, maka parti itu tidak mungkin dapat mencari penyelesaian tepat menangani permasalahan yang dilalui rakyat. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 25/03/2011

Najib! Selesaikan Masalah Kamu Dulu

Semakin dekat Pilihanraya Umum ke 13 dan yang sudah pastinya Pilihanraya DUN Sarawak yang akan berlangsung pada 16hb April depan, maka permainan dan sandiwara parti politik sekular UMNO mula di pertontonkan. Pelbagai janji manis ditaburkan! Najib selaku orang nombor 1 dan juga orang yang paling berkuasa saat ini di Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menawarkan  pelbagai tawaran yang nampaknya begitu ’menarik’ sekali. Bermacam-macam umpan dan gula-gula ’ditawarkan’ kepada rakyat agar terus memberikan undi dan kuasa kepada UMNO serta parti kompenannya yang lain agar  dapat terus berkuasa bagi memudahkan mereka merompak harta rakyat. Apakah Najib sedar bahawa masalah masyarakat yang muncul saat ini sebenarnya adalah berpunca dari UMNO itu sendiri? Walaupun mungkin sukar dan pahit bagi UMNO untuk menerima realiti ini namun itulah hakikatnya.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
[TMQ Thaahaa (20) : 124]. 

Penerapan sistem kapitalisme yang selama ini dengan taatnya dijalankan oleh UMNO sejak merdekalah yang menjadi penyumbang utama kepada masalah yang muncul dalam kehidupan masyarakat hari ini. Firman Allah SWT:

”telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. [TMQ Ar Ruum (30) 41].

”dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan
”. [TMQ Al A’raaf (7) : 96]. 

Sebut sahaja sebarang masalah yang ada di tengah masyarakat hari ini, contohnya masalah sosial. Pemikiran sederhana sudah cukup untuk memahami bahawa apa yang berlaku hari ini adalah berpunca dari masyarakat yang tidak diatur dengan sistem sosial Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah perkara yang lumrah dalam kehidupan masyarakat kapitalisme yang disokong oleh UMNO selama ini. Kemiskinan yang berlaku pula adalah berpunca dari penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang menghalalkan riba, judi, penghapusan hak milik rakyat dan sebagainya. Lihat sahaja betapa besarnya kekayaan keluarga Abdul Taib Mahmud yang telah merompak harta rakyat di Sarawak selama 30 tahun beliau berkuasa, [Menantu Ketua Menteri Sarawak Fail Tuntutan Fasakh: http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/3/9/mstar_mahkamah/20110309100948&sec=mstar_mahkamah] namun dalam masa yang sama ramai rakyat Sarawak hari ini yang masih miskin. Untuk itu, jika Najib benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan masalah rakyat maka sewajarnya dan sewajibnya beliau menyelesaikan masalah beliau terlebih dahulu. Beliau merupakan pemerintah yang berkuasa saat ini tetapi beliau tidak berhukum dan tidak menerapkan Islam dalam pemerintahannya selama ini. Inilah sebenarnya perkara yang wajib didahulukan dan diutamakan oleh beliau – meninggalkan hukum taghut dan menerapkan hukum Allah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.