Najib ‘Angkat’ Belia Untuk Raih Sokongan
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengibaratkan golongan muda sebagai wira unggul yang mempunyai kuasa menjadikan program transformasi negara sebagai satu realiti. Mengakui bahawa suara golongan muda mantap, Najib berkata, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan dan idea golongan belia dan juga kritikan mereka supaya setiap program transformasi yang dirancang akan berjaya. “Tetapi suara golongan muda bukan hanya semata-mata sebagai kritikan tetapi perlu mengemukakan idea untuk penyelesaian. “Mereka ini seperti ”superhero” kepada negara kerana mempunyai kuasa untuk berubah dan sekiranya semua wira unggul bekerjasama dengan kerajaan maka program transformasi lebih mudah untuk menjadi kenyataan,” katanya. Najib berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutupan sidang kemuncak belia berjudul “Membentuk Masa Depan Kita” yang dihadiri oleh kira-kira 500 pelajar universiti awam dan swasta di sini semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 13/12/11
Najib ‘Angkat’ Belia Untuk Raih Sokongan
Sememangnya golongan muda adalah golongan yang memainkan peranan yang penting dalam mana-mana perubahan yang berlaku di dunia. Lihatlah sahaja peranan orang muda dalam revolusi yang berlaku di negara-negara Arab baru-baru ini. Sejarah Islam yang lalu juga telah mencatatkan sumbangan dan peranan golongan muda dalam membantu mencapai kemuncak kegemilangannya. Saidina Ali seawal usia 8 tahun telah bersama berjuang bersama Nabi. Al-Arqam bin Abi Arqam pula pada usia 12 tahun lagi sudah menyediakan rumahnya untuk perjuangan Islam. Begitu juga dengan para sahabat Nabi yang lain – majoritinya adalah golongan muda. Ini menunjukkan kepada kita bahawa para belia ini adalah aset yang cukup besar kekuatannya. Najib selaku teraju tegar yang paling sibuk ke sana ke mari saat ini untuk menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama dengannya dalam mempertahankan sistem kufur kapitalisme yang diterapkannya itu juga menyedari kekuatan ini. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa gelaran istimewa ini dikalungkan oleh Najib kepada golongan tersebut, terutama dalam keadaan pilihanraya yang sudah sangat dekat ini.
Golongan belia Islam seharusnya sedar akan permainan politik di sebalik kata-kata Najib ini. Mereka harus sedar bahawa contoh yang seharusnya dijadikan model bagi mereka adalah para pemuda di zaman Rasulullah SAW yang menghabiskan masa hidup mereka untuk memperjuangkan Islam. Alangkah ruginya jika para belia hari ini berjaya diperkudakan oleh parti-parti politik sekular untuk terus mempertahankan penerapan sistem sekular demokrasi.
Wahai para pemuda Islam! Bangkitlah kalian bersama Islam! Jangan biarkan diri kalian terus dibelenggu dengan pemikiran sekularisme, nationalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan dan pemikiran-pemikiran kufur lain yang cuba ditanamkan oleh pemerintah sekular hari ini. Berikanlah masa dan diri kalian untuk perjuangan Islam. Jadilah kalian seperti golongan awal para sahabat Rasulullah SAW yang rata-rata usia mereka begitu muda ketika mendokong perjuangan Nabi SAW. Mereka itu antaranya ialah (1) ‘Ali bin Abi Thalib yang berusia 8 tahun, (2) Zubair bin al-Awwam 8 tahun, (3) Thalhah bin ‘Ubaidillah seorang anak muda berumur 11 tahun, (4) Arqam bin Abi al-Arqam anak muda berusia 12 tahun, (5) ‘Abdullah bin Mas’ud berusia 14 tahun, (6) Sa’id bin Zaid berumur kurang dari 20 tahun, (7) Sa’ad bin Abi Waqash 17 tahun, (8) Mas’ud bin Rabi’ah 17 tahun, (9) Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, (10) Shuhaib ar-Rumi di bawah 20 tahun, (11) Zaid bin Haritsah sekitar 20 tahun, (12) ‘Utsman bin ‘Affan sekitar 20 tahun, (13) Thulaib bin ‘Umair sekitar 20 tahun, (14) Khabab bin al-‘Arat sekitar 20 tahun, (15) ‘Amir bin Fuhairah 23 tahun, (16) Mush’ab bin ‘Umair 24 tahun, (17) Miqdad bin al-Aswad 24 tahun, (18) ‘Abdullah bin Jahsy 25 tahun, (19) ‘Umar bin Khaththab 26 tahun, (20) Abu ‘Ubaidah bin Jarrah 27 tahun, (21) ‘Utbah bin Ghazwan 27 tahun, (22) Abu Hudzaifah bin ‘Utbah sekitar 30 tahun, (23) Bilal bin Rabah sekitar 30 tahun, (24) ‘Ayasy bin Rabi’ah sekitar 30 tahun, (25) ‘Amir bin Rabi’ah sekitar 30 tahun, (26) Na’im bin ‘Abdillah sekitar 30 tahun, (27) ‘Utsman, (28) ‘Abdullah, (29) Qudamah, dan (30) as-Saib bin Mazhun bin Hubaib. Umur Utsman sekitar 30 tahun, Abdullah 17 tahun, Qudamah 19 tahun dan as-Saib sekitar 20 tahun, (31) Abu Salmah Abdullah bin Abdul al-Asad al-Makhzumiy yang umurnya sekitar 30 tahun, (32) Abdurrahman bin Auf sekitar 30 tahun, (33) Ammar bin Yasar berumur antara 30 hingga 40 tahun, (34) Abu Bakar ash-Shidiq berumur 37 tahun, dan (35) Hamzah bin Abdul Muthalib berumur 42 tahun.
Wahai para pemuda Islam! Jangan biarkan diri kamu untuk terus dipergunakan oleh parti-parti sekular seperti UMNO, dengan tujuan agar mereka terus kekal berkuasa. Yakinlah bahawa selagimana golongan sekular ini berkuasa maka selama itulah Islam akan dicampakkan dari kehidupan umat. Sudah sampai masanya golongan muda umat Islam bangkit menyokong perjuangan untuk menegakkan kembali Khilafah sebagaimana generasi awal kaum Muslimin. Mereka begitu komited bersama perjuangan dakwah Nabi SAW. Janganlah biarkan diri-diri kalian terus diperguna dan diperalatkan oleh parti-parti sekular dan para pemimpin mereka!!!