Najib Harus Kotakan Kata-Katanya

RM2,000 sebulan untuk juara qari, qariah

PUTRAJAYA 5 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif berupa wang tunai sebanyak RM2,000 secara tetap setiap bulan dan sepanjang hayat kepada setiap qari dan qariah yang menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan. Perdana Menteri berkata, bayaran imbuhan yang selaras dengan konsep pencapaian diutamakan itu akan diberikan mulai Oktober tahun lalu sehingga ke akhir hayat mereka.  Difahamkan, seramai 23 orang masing-masing 14 qariah dan sembilan qari yang masih hidup akan menikmati insentif itu sejak tilawah itu bermula pada 1961.  ”Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan harian,” katanya. 

Perdana Menteri berkata demikian pada perjumpaan bersama ulama dan umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.  Najib berkata, sepanjang penganjuran tilawah tersebut, para qari dan qariah Malaysia telah ramai menjadi johan dalam acara berprestij itu.  ”Selama ini para qari dan qariah yang menjadi johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa hanya diberi hadiah ketika berlangsungnya majis tersebut.   ”Maka adalah amat wajar bagi kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang telah mewakili sekali gus memahat nama Malaysia menjadi juara peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 06/02/10
 
Najib Harus Kotakan Kata-Katanya

”Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat Islam membudayakan al-Quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan harian”

Al-Quran dan As-Sunnah adalah merupakan sumber hukum syara’. Hukum syara’ adalah “khithab asy syari’ “ yang dibebankan oleh Allah SWT ke atas manusia dan ianya terkena kepada tiga kelompok iaitu individu, parti politik dan negara. Setiap individu muslim yang sudah mencapai akil baligh, berakal dan mampu secara automatik mendapat beban hukum dari Allah SWT. Setiap ucapan dan perbuatannya memiliki konsekuensi hukum dan  tidak ada seorang pun yang bebas dari hukum syara’ yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Syariat Islam yang mengatur kehidupan individu ini meliputi, antara lainnya adalah : akidah, ibadah mahdoh (ritual) seperti solat, puasa, haji, zakat, membaca al Qur’an, doa, keperibadian (pola fikir dan pola sikap (akhlak)), pakaian, makanan dan lain-lain. Sementara hukum yang dibebankan kepada kelompok/jama’ah adalah aktiviti amar ma’ruf nahi munkar atau dakwah. Allah SWT berfirman : “dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada al khoir (Islam), menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ  a_li -‘Imraan (3): 104]. Bagi negara pula bentuk hukum yang dibebankan meliputi, antara lain : hudud, jinayat, ‘uqubat, ta’zir, mukhalafat serta hukum-hukum yang berkaitan dengan ekonomi (iqtishadi), pemerintahan (hukmi), hubungan luar negeri, ketenteraan, perang, penghakiman, pendidikan, dan lain-lain.  Firman Allah SWT:

“dan siapa saja yang tidak berhukum berdasarkan dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir.” [TMQ Al Maidah (5) : 44].

“dan siapa saja yang tidak berhukum berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang zalim.” [TMQ Al Maidah (5) : 45].

“dan siapa saja yang tidak berhukum berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang fasik.” [TMQ Al Maidah (5) : 47].

Maka dengan itu sebagai seorang pemimpin yang memegang kekuasaan saat ini, Najib bertanggungjawab dan menjadi suatu kewajiban bagi beliau menerapkan ajaran al-Quran kedalam kehidupan individu, masyarakat dan negara kerana untuk mengaplikasi ajaran al-Quran dalam kehidupan harian masyarakat, ia mesti datang dari penerapan Islam oleh negara. Janganlah kata-kata di atas diluahkan hanya sekadar untuk menjadi halwa telinga semata-mata kerana Allah SWT dengan tegas telah mengingatkan kita dengan firmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”. [TMQ As-Saff (62) : 2-3].

Jika Najib benar-benar serius ingin melihat al-Quran itu diterapkan di tengah-tengah kehidupan masyarakat maka sudah sampai masanya Khilafah itu ditegakkan. Jika tidak maka kata-kata beliau itu hanyalah sekadar angan-angan Mat Jenin.