Nasib Malang Hosni Mubarak Semakin Pasti

hozni-mubarakNasib Hosni Mubarak Tipis
 
KAHERAH 30 Jan. – Aktivis Mesir, Mohamed El-Baradei menyifatkan pelantikan Naib Presiden dan Perdana Menteri baru yang dibuat Presiden Hosni Mubarak sebagai tidak berguna dan tidak menurut apa yang dituntut oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang mahu pemimpin itu menamatkan pemerintahan selama 30 tahun.

Kenyataan pemimpin pembangkang Mesir itu dibuat selepas Mubarak, 82, menamakan bekas ketua risikan tentera, Omar Suleiman sebagai Naib Presiden buat kali pertama dan bekas Menteri Penerbangan Awam, Ahmed Shafiq sebagai Perdana Menteri semalam.

“Hosni Mubarak tidak mendengar permintaan rakyat. Apa yang dibuatnya hanya perubahan melibatkan beberapa individu sedangkan kita bercakap tentang perubahan rejim.

“Rakyat Mesir menyatakan satu suara, mereka mahu Presiden Mesir berundur,” kata ElBaradei, 68, yang menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak berguna kepada televisyen Al-Jazeera semalam.

Bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menyeru pembentukan sebuah kerajaan peralihan baru supaya satu pilihan raya adil dapat dilaksanakan.

ElBaradei berkata, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan.

“Saya hormatkan Suleiman dan Shafiq tetapi menggantikan individu tertentu tidak cukup.

“Saya mahu Mubarak dan rejimnya meninggalkan Mesir secepat mungkin. Itu yang terbaik bagi Mesir dan mereka,” katanya.

Reformis Mesir itu menegaskan tindakan kerajaan yang cuba menidakkan kemahuan orang awam hanya akan memburukkan lagi keselamatan negara dan Mubarak perlu dipertanggungjawabkan di atas keadaan itu.

“Presiden perlu dipilih oleh rakyat. Sudah tiba masanya untuk sesuatu rejim berundur sekiranya ia tidak memahami kehendak rakyat. Rakyat mahukan pemerintahan baru, jika tidak Mesir akan tumbang,” katanya. – REUTERS
 
 
Sumber : Utusan Online 31/01/2011
 
Nasib Malang Hosni Mubarak Semakin Pasti

Walaupun pelbagai langkah yang telah diambil oleh Presiden Hosni Mubarak, namun rusuhan di Mesir masih belum menampakkan tanda-tanda akan reda. Bahkan ia dilihat semakin kritikal. Semua langkah-langkah yang diambil oleh Mubarak tidak diterima oleh rakyat sebab apa yang mereka mahukan adalah Mubarak berundur daripada jawatannya. Media melaporkan lebih 100 orang telah terkorban sejak krisis bermula manakala ribuan lagi cedera. Hosni Mubarak harus sedar bahawa rakyat sudah muak dengan kepimpinan beliau yang gagal membela nasib rakyat Mesir. Rakyat Mesir rata-rata hidup susah dan ramai kalangan mereka yang meminta sedekah. Penindasan yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap umat Islam termasuklah ke atas para aktivis dakwah amatlah ketara sehingga seruan untuk mengembalikan Khilafah di Mesir hampir tiada. Di pentas antarabangsa pula, Hosni Mubarak adalah di antara pemimpin umat Islam yang bersikap lunak dengan Israel. Contohnya beliau mengarahkan sempadannya dengan semenanjung Gaza, Palestin ditutup dan dijaga rapi sehingga memberikan kesukaran kepada rombongan misi bantuan kemanusiaan untuk masuk ke semenanjung Gaza. Bersikap lunak kepada Israel yang merupakan sekutu kuat Amerika itu membuktikan kiblat sebenar Hosni Mubarak. Jadi, untuk apa Hosni Mubarak solat berkiblatkan Kaabah jika kiblatnya yang sebenar adalah Amerika? Sudah tiba masanya pemimpin boneka ini berundur dan InsyaAllah, kembalinya Sistem Khilafah itu semakin hampir.