Natijah Nasionalisme – Pengkhianatan Sheikh Hasina terhadap Muslim Rohingya

Ternyata bahawa Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina lebih mengutamakan keuntungan  perdagangan berbanding nilai nyawa Muslim Rohingya yang dianggap sebagai pelarian yang tidak diingini di negaranya. Hal ini jelas terpapar dalam kenyataan yang dikeluarkan olehnya sewaktu dalam pertemuan dengan Presiden Myanmar, Thein Sein di Istana Presiden Myanmar, dekat Nya Pyi Taw, pada 6 Mac yang lalu.

Hasina telah mengadakan pertemuan tersebut semasa menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal untuk Kerjasama Sektor Teknikal dan Ekonomi (Bimstec) kali ketiga. Dalam pertemuan itu, Hasina telah mendesak kerajaan Myanmar mengambil langkah penyelesaian bagi membawa pulang beribu-ribu pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh secara haram.1

Alangkah hinanya sikap yang ditunjukkan oleh Sheikh Hasina sehingga tergamak mendesak pelarian Rohingya dipulangkan semula ke Myanmar, sedangkan umum sudah mengetahui bahawa nyawa dan keselamatan mereka terancam sekiranya mereka dihantar pulang ke negara tersebut.

Hasina bukan sahaja enggan menghantar tentera bagi melakukan pembelaan terhadap penindasan yang menimpa umat Islam Rohingya, bahkan disebabkan oleh sentimen nasionalisme yang menebal, beliau enggan pula memberikan perlindungan terhadap etnik Rohingya yang menjadi pelarian di negaranya. Padahal secara hakikatnya, Rasulullah saw dengan tegasnya telah melarang sentimen nasionalisme (baca: assabiyah) daripada meracuni tubuh umat Islam, sebagaimana dalam sabda baginda saw:

“Tinggalkanlah ia (nasionalisme/kesukuan), ia merupakan suatu perkara yang jijik.” [HR Bukhari dan Muslim]

Lebih menyedihkan apabila Hasina tergamak meneruskan usahasama dan turut memberikan reaksi positif terhadap projek pembinaan jalanraya antara India, Thailand, Myanmar dan Bangladesh demi manfaat keduniaan, tatkala umat Islam Rohingya sedang berdepan dengan penghapusan etnik yang tersusun di Myanmar. Jelas bahawa sikap sebegini merupakan sebuah pengkhianatan yang nyata terhadap nasib yang menimpa Muslim Rohingya!

Sampai bila harus kita membiarkan kesengsaraan umat Islam Rohingya ini berterusan? Tidakkah kita memperhatikan bagaimana Rasulullah SAW menyatakan betapa bernilainya darah seorang Muslim itu, sebagaimana yang termaktub dalam hadis-hadis berikut:

“Setitik darah seorang Muslim adalah lebih bernilai daripada seluruh Kaabah dan sekelilingnya.” [Riwayat Bukhari dan Muslim].

“Sesungguhnya lenyapnya dunia ini adalah lebih ringan bagi Allah daripada membunuh jiwa seorang Muslim”. [HR At-Tirmidzi, juga oleh An-Nasa’i dan Ibn Majah].

Ayuh, campakkanlah sentimen nasionalisme yang memecah-belahkan umat Islam!

Sumber:
1) Bangladesh desak Myanmar bawa pulang Rohingya