Bot Rohingya: kisah tragik mangsa barah nasionalisme

Media melaporkan kira-kira 24 orang Muslim Rohingya terkorban setelah gagal memasuki Malaysia baru-baru ini. Berita yang dilaporkan di laman portal Astro Awani tersebut kemudiannya sudah tidak lagi ditemui, berkemungkinan ditarik semula atas sebab-sebab tertentu.

Terdahulu, bot yang membawa ratusan pelarian Rohingya dilaporkan telah dikesan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kemudiannya disekat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada memasuki perairan negara pada 16 April. Pelarian-pelarian tersebut dilaporkan telah diberikan makanan sebelum diiring keluar dari perairan negara.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad bin Hasan menyokong langkah yang diambil, serta berpandangan sekiranya bot tersebut diterima masuk, ia “akan membuka lebih banyak pintu buat warga asing dan bot untuk mendekati sempadan Malaysia dan oleh itu menghalang usaha kerajaan untuk memerangi Covid-19”.

Kemelut yang dihadapi oleh Muslim Rohingya tidak sewajarnya diketepikan atas alasan negara sedang berhadapan dengan COVID-19. Memang benar, dengan menerima serta memberikan perlindungan kepada mereka, ia tidak akan dapat menyelesaikan kemelut Muslim Rohingya tersebut selagi punca sebenar permasalahan tidak ditangani. Namun, ini tidak bererti kita boleh lepas tangan dan memberikan alasan tersebut untuk mengusir mereka.

Penyelesaian tuntas berhubung penderitaan Muslim Rohingya ini, seperti juga yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin, Kashmir, Syria dan sebagainya, adalah dengan menangani kedua-dua aspek – dari sudut ‘mangsa’ iaitu umat Islam yang tertindas; dan juga dari sudut ‘pemangsa’, iaitu rejim kuffar dan musuh Islam yang menindas mereka.

Kedua-dua aspek ini perlu ditangani secara beriringan agar dengannya penyelesaian hakiki akan  dapat dicapai. Jika penyelesaian hanya diberikan untuk membantu mangsa semata-mata, sudah tentu krisis ini akan berlarutan. Bot-bot sedemikian akan berterusan datang, dan rejim Myanmar berkemungkinan semakin kejam ke atas mereka dalam rangka membersihkan terus bumi Myanmar daripada wujudnya umat Islam di sana.

Oleh itu, usaha menekan rejim Myanmar agar menghentikan penindasan serta mengembalikan hak-hak Muslim Rohingya perlu dilaksanakan secara berterusan, supaya selepas ini tiada lagi Muslim Rohingya yang terpaksa menyabung nyawa meredah samudera demi mencari perlindungan. Pastinya semua ini memerlukan keazaman politik di peringkat negara agar segenap sumber dapat disalurkan secara berkesan berbanding tindakan individu atau kelompok semata-mata.

Jika alasannya adalah kekhuatiran bahawa pelarian dalam bot tersebut membawa Covid-19, kerajaan boleh sahaja menempatkan mereka di sebuah fasiliti untuk diberikan bantuan, disaring, dan dikuarantin, sebagaimana yang kerajaan lakukan ke atas semua warga Malaysia yang balik dari luar negara yang ditempatkan di hotel-hotel mewah sebagai tempat saringan dan kuarantin!

Setelah mereka disahkan bebas daripada penyakit, mereka perlu diberikan peluang untuk menjalani kehidupan sebagai seorang manusia, diberikan peluang pekerjaan bagi menampung keperluan mereka sendiri. Semua ini wajar dilakukan sementara proses mendesak rejim Myanmar agar mengembalikan hak-hak Muslim Rohingya di Arakan dan menjamin keselamatan mereka dilaksanakan. Semua ini wajib dilakukan oleh kerajaan kerana Muslim Myanmar merupakan saudara seIslam yang wajb dibantu oleh negara.

Sungguh malang dengan komen-komen negatif terhadap Muslim Rohingya yang rata-rata menonjolkan ‘penyakit’ assobiyah (nasionalisme) dan wathaniyah (patriotisme) yang telah sekian lama membarah dalam pemikiran sebahagian masyarakat di negara ini. Ini semua kerana wujudnya sempadan negara bangsa yang diwariskan oleh penjajah kepada umat Islam. Sedangkan Islam dengan tegas mengharamkan assobiyah sebagaimana sabda Rasulullah (saw),

“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada assobiyyah, berperang kerana assobiyyah dan mati kerana assobiyyah[HR Abu Daud].

Ada yang beralasan terdapat segelintir Muslim Rohingya yang berperangai buruk ketika di negara ini. Alasan ini juga langsung tidak dapat diterima kerana sikap sesetengah Rohingya tidak menggambarkan komuniti Rohingya secara keseluruhannya. Bangsa Melayu sendiri, dan lain-lain bangsa pun ramai yang berperangai buruk, menjadi samseng, melakukan jenayah dan lain-lain, namun demikian kita tidak boleh pukul rata mengatakan bangsa Melayu adalah bangsa yang jahat. Kita seharusnya ingat bahawa kejahatan itu tidak ada kena-mengena dengan bangsa seseorang.

Jika benar ada dalam kalangan Rohingya yang melakukan jenayah, menjadi samseng dan seumpamanya, maka tindakan mesti diambil oleh pihak berkuasa, sebagaimana tindakan diambil ke atas pelaku jenayah lainnya dalam kalangan warganegara. Namun, hal ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang Muslim mengusir dan membiarkan saudaranya yang tidak bersalah mati di tengah-tengah laut.

Sesungguhnya, wabak COVID-19 ini merupakan ujian bagi kita semua, bukan hanya kerana penyakit itu sendiri, tetapi ia turut menjadi ujian keimanan bagi seseorang Muslim yang sanggup menghina, meremehkan, memaki dan menghalau saudara Muslimnya yang lain.

Umat Islam merupakan umat yang satu, yang diikat dengan persaudaraan berdasarkan kesatuan akidah. Sempadan palsu negara bangsa yang wujud hari ini bukan sahaja telah mencerai-beraikan ikatan tersebut, bahkan ternyata telah membunuh nilai kemanusiaan sepertimana yang disaksikan dalam kisah tragik yang menimpa ratusan Muslim Rohingya dalam bot yang diusir ini.

Abu Fahim Muhammad Fadhli