[NF131] Media Sosial Bukan Medium Menyebar Keaiban

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

Dalam mengharungi bahtera kehidupan berumah tangga pasti ada pasang surutnya. Tidak sependapat sehingga terjadi pertengkaran antara pasangan suami isteri merupakan lumrah dalam kehidupan berumah tangga. Tidak hairanlah ada pepatah Melayu yang mengatakan sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Namun, ini tidak bermakna pertengkaran itu boleh disebarkan kepada orang lain. Pada masa ini, kita melihat pertelingkahan suami isteri dijaja hingga ke laman sosial. Lebih menyedihkan, sebaran segala aib pasangan di laman sosial telah pun menjadi trend. Adakah hal ini elok untuk dinormalisasikan?

Media Sosial Menjadi Medium Dalam Menyebar Aib Pasangan

Membuka aib pasangan baik suami atau isteri di laman sosial boleh membawa kesan negatif yang serius. Antaranya boleh menyebabkan keretakan dalam hubungan suami isteri malah mengurangkan kepercayaan antara satu sama lain. Selain itu, apabila aib pasangan dibuka kepada umum, hal ini boleh memberi persepsi buruk kepada orang lain sama ada keluarga, rakan-rakan atau masyarakat lalu mencetuskan campur tangan yang tidak perlu dan memburukkan lagi situasi. Bukan itu sahaja, membuka aib pasangan di laman sosial juga boleh menjejaskan maruah dan harga diri mereka sehingga menyebabkan mereka merasa malu dan dihina di hadapan orang ramai.

Dalam situasi di mana wujudnya konflik besar, ada pasangan yang mendedahkan aib dengan tujuan untuk memalukan atau menjatuhkan reputasi pasangan mereka sebagai tindakan balas dendam. Sesetengah pasangan mungkin tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam menyelesaikan masalah secara tertutup. Oleh itu, mereka memilih untuk menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyampaikan perasaan atau isu yang mereka hadapi, bukannya berbincang secara langsung dengan pasangan. Apapun alasannya, menyebarkan aib pasangan baik di laman sosial atau di mana-mana tanpa sebab yang dibolehkan syarak adalah tidak dibenarkan dalam Islam.

Larangan Menyebarkan Aib Pasangan

Aib adalah suatu perbuatan keji atau kekurangan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seseorang itu berasa malu dan terhina akibat perkara tersebut. Jika ia diceritakan kepada orang lain, bermaksud telah mendedahkan aib seseorang. Sedangkan setiap pasangan suami atau  isteri perlu saling melindungi keburukan atau aib masing-masing. Allah SWT berfirman, “Isteri-isteri itu adalah sebagai pakaian kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” [TMQ: al-Baqarah (2): 187].

Menurut al-Raghib al-Asfahani, “Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Dalam Islam, satu amanah yang perlu dijaga adalah rumah tangga. Ketika berlakunya konflik setiap pasangan perlu mencari penyelesaian supaya konflik tersebut tidak sampai menjadi penyebab untuk membuka aib di khalayak umum. Jadi  konflik rumah tangga adalah perkara yang tidak boleh disebarkan atau dijaja kepada orang lain dengan sewenang-wenangnya. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau kamu mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang Muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya” [HR Tirmizi].

Membuka aib sesama Muslim tidak dibenarkan apatah lagi aib pasangan dan larangan itu secara tegas dinyatakan berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda, “Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti” [HR Ahmad].

Namun, terdapat pengecualian pada kes-kes tertentu yang perlu merujuk batasan yang dibenarkan syarak.  Seperti kisah Hindun RA. Pernah suatu ketika Hindun Ummu Mu’awiyah  mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya,  Abu Sufyan adalah orang yang sangat kikir, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Rasulullah SAW pun menjawab,  “Silakan ambil untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik“  [HR Bukhari].

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah dibolehkan. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Adzkar li an-Nawawi menyebutkan ada beberapa keadaan yang seseorang diperbolehkan membuka aib orang lain termasuk pasangan. Salah satunya adalah melaporkan sebuah kezaliman dalam rangka untuk menghentikan kezaliman itu. Oleh sebab itu dalam Islam, ketika seseorang dizalimi dia boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa, polis atau hakim. Lebih-lebih lagi jika kezaliman itu sehingga mengancam jiwa.

Penyelesaian Konflik Rumah Tangga

Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, apalagi Islam sentiasa ada jalan penyelesaiannya. Bagi pasangan suami isteri yang sedang menghadapi konflik rumah tangga, maka bersabarlah dan berdoalah serta saling menasihati agar pasangan tidak membuka ruang kepada orang luar untuk masuk campur. Kedua-dua pihak perlu bertenang dan elakkan bertindak dalam keadaan emosi yang memuncak. Setelah keadaan lebih tenang, cuba berkomunikasi secara terbuka dan jujur. Fokus pada masalah, bukan serangan peribadi. Selain itu, pasangan juga perlu memahami punca sebenar konflik. Perkahwinan memerlukan tolak ansur dan kompromi. Kedua-dua pihak perlulah bersedia untuk beralah dalam hal-hal tertentu demi mencapai penyelesaian yang memuaskan.

Jika masih tidak menemui jalan penyelesaian, maka datangkan wakil dari kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan. Jika masih belum mencapai kata sepakat, maka penceraian adalah jalan terakhir bagi pasangan suami isteri.

Khatimah

Oleh itu, kita perlu sentiasa ingat dan berwaspada dalam memuat naik apa-apa status di media sosial. Media sosial bukanlah medium untuk kita melepaskan perasaan marah, sedih atau kecewa yang menyebabkan terbukanya aib pasangan. Semoga Allah SWT memberi keamanan dan keselamatan dalam setiap rumah tangga dan seterusnya menjadi kehidupan yang diwarnai sakinah, mawaddah wa rahmah.

Rujukan

  1. Buku Fikih Rumah tangga, Syamsuddin Ramadhan
  2. https://muslimahhtm.com/2022/12/30/larangan-membuka-aib-pasangan/
  3. Dr Ahmad Sanusi –larangan mendedahkan keaiban pasangan https://www.facebook.com/share/p/pRYRwcgnlZJCrqKs/?mibextid=oFDknk
  4. https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5686-irsyad-al-fatwa-siri-ke-786-membuka-aib-yang-dibenarkan-dalam-islam