[NF138] Meminta Maaf Dan Memaafkan Lambang Kemenangan Diri

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqaddimah

Syawal tiba sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam. Dalam konteks keluarga Muslim, kemenangan ini bermakna kejayaan mengharungi bulan Ramadhan, yang mendidik diri dan ahli keluarga untuk meningkatkan ketakwaan, melatih kesabaran, serta memperkukuhkan akhlak dan disiplin diri. Sebagai seorang ibu, tentunya mengharapkan ahli keluarga menjadi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Khusus bagi anak-anak, ibu ingin mereka mengambil pelajaran berharga daripada Ramadhan, seperti membentuk sifat sabar, disiplin, dan keikhlasan. Apabila menjelang Syawal, inilah fasa seterusnya dalam pendidikan anak-anak, di mana ibu berperanan membimbing mereka untuk mengamalkan sifat pemaaf serta belajar meminta maaf dengan penuh keikhlasan.

Sudah menjadi tradisi dalam masyarakat hari ini untuk saling bermaafan pada pagi Aidilfitri. Oleh itu, ibu perlu menjelaskan kepada anak-anak mengapa meminta maaf dan memaafkan itu penting.

Kepentingan Membentuk Sikap Meminta Maaf Dan Memaafkan Dalam Diri Anak

Salah satu kemahiran sosial yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak ialah sikap meminta maaf dan mudah memaafkan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu untuk mendidik mereka tentang adab yang baik, supaya mereka tahu cara berkomunikasi dengan betul serta memiliki akhlak yang terpuji. Sikap meminta maaf apabila melakukan kesalahan dan bersedia memberi kemaafan bukan sahaja membentuk keperibadian (syakhsiyah) yang baik, tetapi juga melatih mereka mengurus emosi dengan lebih matang. Dengan ini, anak-anak akan sentiasa berusaha menjadi individu yang lebih baik setiap hari.

Selain itu, mengajar anak-anak untuk meminta maaf membantu mereka menyedari kesalahan, menghindari pengulangan kesilapan, dan membina sikap bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, membimbing mereka untuk mudah memaafkan akan menanamkan nilai empati dalam diri mereka. Walaupun anak-anak kecil mungkin belum memahami sepenuhnya konsep empati, ibu berperanan untuk menanamkan nilai ini sejak awal.

Dengan membimbing mereka memahami perasaan dan pemikiran orang lain, mereka akan lebih mudah menerima dan mempraktikkan sifat pemaaf dalam kehidupan seharian. Selain menjadi amalan yang mulia, ia juga membantu mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan ukhuwah dengan sanak saudara dan sesama Muslim.

Ia juga merupakan satu sikap terpuji yang harus diterapkan kerana Islam juga menekankan kepentingan menjadi seorang yang pemaaf dan mudah memaafkan.  Allah SWT berfirman,

Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf…” [TMQ Al-A’raf (7): 199]

Barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya atas Allah. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang zalim.” [TMQ asy-Syura (42): 40]

Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan dan meninggikan darjatmu? Para sahabat menjawab; tentu ya Rasulullah. Rasul pun bersabda; ‘Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungkan orang yang memutuskan silaturahim denganmu.” [HR Ath-Thabrani]

Membina Sifat Meminta Maaf & Memaafkan

Sifat meminta maaf dan memberi kemaafan perlu diterapkan dan dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil. Proses pembentukan sikap ini harus dilakukan secara berterusan dalam kalangan ahli keluarga agar menjadi sebahagian daripada budaya dalam kehidupan mereka. Terdapat beberapa cara untuk membina sikap meminta maaf dan memaafkan dalam diri anak-anak.

Pertama, jadikan amalan meminta maaf dan memberi kemaafan sebagai kebiasaan dalam keluarga. Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai contoh terbaik kepada anak-anak kerana mereka cenderung meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan sikap mudah memaafkan anak-anak dengan memberi penerangan dan pengajaran yang jelas agar mereka dapat belajar daripada kesilapan.

Selain itu, ibu bapa juga tidak seharusnya berasa segan untuk meminta maaf jika mereka sendiri melakukan kesalahan, kerana ini akan mengajar anak-anak bahawa meminta maaf adalah satu tindakan yang terpuji, bukan kelemahan.

Kedua, ajarkan anak-anak untuk meminta maaf dan memaafkan seawal mungkin. Pada usia yang kecil, anak-anak masih dalam proses pembelajaran dan mudah membiasakan diri dengan perkara yang baik. Melatih mereka sejak awal juga membantu mereka belajar untuk bertolak ansur, sama ada dengan adik-beradik mahupun rakan sebaya. Walaupun pada peringkat awal mereka mungkin belum benar-benar memahami konsep ini, lama-kelamaan mereka akan menyedari bahawa apabila melakukan kesalahan, mereka perlu meminta maaf.

Sebagai contoh, dalam situasi bermain dengan adik-beradik atau rakan sebaya, anak mungkin mengambil mainan milik orang lain sehingga menyebabkan rakannya menangis. Dalam situasi ini, ibu bapa perlu menjelaskan terlebih dahulu bahawa perbuatan tersebut adalah salah dan menerangkan mengapa mereka perlu meminta maaf. Dengan cara ini, anak-anak akan memahami nilai tanggungjawab, empati, dan kepentingan menjaga hubungan baik dengan orang lain.

Ketiga, tanamkan dalam diri anak-anak bahawa perbuatan meminta maaf bukanlah suatu yang hina atau menunjukkan diri yang lemah tetapi memaafkan adalah perbuatan yang mulia serta dianjurkan dalam Islam.

Keempat, ceritakan juga kepada anak-anak tentang kisah-kisah perbuatan meminta maaf dan memaafkan.  Sebagaimana kisah Abu Bakar RA dan Umar RA. Abu Bakar RA datang kepada Rasulullah SAW,

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya antara aku dan Umar telah terjadi sesuatu (ada ucapanku yang membuat Umar marah). Aku pun segera pergi kepadanya dan menyesali apa yang telah ku lakukan terhadapnya. Aku meminta maaf kepadanya, tetapi dia menolak. Maka aku mengikutinya sampai keliling kampung Baqi, bahkan ketika tiba di rumahnya pun dia mengelak dariku. Kini aku menghadap kepadamu.” [HR Bukhari dari Abu Darda]

Lalu Rasulullah SAW berdoa dan meyakinkan bahawa Allah SWT pasti akan mengampuni mereka. Baginda mengucapkan doa itu sebanyak tiga kali. Kemudian Umar juga menyesal atas perbuatannya kerana dia menutup pintu ketika Abu Bakar datang meminta maaf. Lalu dia pergi ke rumah Abu Bakar, tetapi ternyata Abu Bakar tidak ada di rumah. Kemudian dia pergi ke rumah Rasulullah dan di sana mereka bertemu.

Kedua-dua sahabat itu bukannya mengira jasa dan bukan juga saling membela diri bahawa dia yang paling benar sementara yang lain salah tetapi sebaliknya. Abu Bakar berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, akulah yang paling bersalah.” [HR Bukhari]

Abu Bakar RA berkata demikian kerana beliau tidak ingin Rasulullah SAW menyalahkan Umar RA. Beliau menjelaskan bahawa dialah yang memulakan pertelingkahan sehingga persahabatan mereka terganggu. Dengan sikap rendah hati dan keikhlasan, suasana kembali jernih. Mereka saling memaafkan, dan ikatan persahabatan mereka semakin kukuh, menghilangkan segala rasa marah dan dendam, berkat ketakwaan yang mereka miliki.

Kelima, berikan galakan dan dorongan kepada anak-anak mengenai kepentingan meminta maaf apabila melakukan kesalahan serta mudah memaafkan orang lain. Ini akan membantu mereka menjadi individu yang berlapang dada serta bertanggungjawab atas setiap perbuatan atau kesalahan yang dilakukan.

Keenam, terangkan kepada anak-anak bahawa sikap meminta maaf dan memaafkan bukan sahaja memperbaiki ukhuwah dan mengeratkan silaturahim sesama adik-beradik serta rakan sebaya, tetapi juga menjadikan hati lebih tenang. Sikap ini dapat mengelakkan konflik berpanjangan dan membantu membina hubungan yang lebih harmonis. Rasulullah SAW bersabda,

“Setiap manusia memiliki kesalahan. Orang bersalah yang paling baik adalah orang yang bertaubat.” [HR Ibnu Majah]

Khatimah

Dengan ketibaan Syawal ini, raihlah kemenangan dengan memanfaatnya sebagai satu permulaan untuk diri sendiri, keluarga dan anak-anak untuk menjadi orang yang mudah meminta maaf apabila melakukan kesalahan dan mudah memaafkan orang lain. Namun, jangan jadikan ia satu amalan yang bermusim sahaja iaitu hanya di bulan Syawal. Yang lebih penting lagi, selain sikap meminta maaf kepada sesama manusia, kita juga wajib untuk sentiasa memohon kemaafan dan ampunan daripada Allah SWT pada setiap waktu.

Wallahua’lam

Rujukan:

 https://muslimahttm.com/2022/12/31/memdidk-anak-meminta-maaf-dan-mudah-memaafkan/

https://muslimahhtm.com?2022/09/05/rela-mengaku-kesalahan-dan-sanggup-memperbakinya/?amp=1

https://youtu.be/UeU20WMHMyU?si=p85lw97uf4sy4TM