[NF140] Haji: Momentum Menyuburkan Semangat Jihad
Oleh: Hidayah Muhammad
Ibadah haji merupakan simbol kesatuan umat Islam di peringkat global. Ketibaan musim haji menyaksikan penghimpunan jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau bahasa, yang berkumpul di Tanah Suci bagi memenuhi seruan Ilahi. Perhimpunan ini menjadi bukti nyata bahawa umat Islam mampu bersatu dalam melaksanakan ibadah yang ditetapkan oleh syariat pada masa dan tempat yang sama.
Selain itu, ibadah haji turut mempunyai kaitan yang erat dengan konsep jihad fi sabilillah. Dalam beberapa hadis, keutamaan ibadah haji digandingkan dengan kemuliaan jihad. Rasulullah SAW bersabda, “Duta Allah ada tiga: orang yang berperang (di jalan Allah), orang yang menunaikan haji, dan orang yang mengerjakan umrah.” [HR al-Hakim dan al-Baihaqi]
Baginda juga pernah ditanya: “Apakah amalan yang paling utama?” Lalu Baginda menjawab: “Iman kepada Allah.” Apabila ditanya lagi, Baginda menjawab: “Jihad fi sabilillah.” Dan apabila ditanya buat kali ketiga, Baginda menjawab: “Haji yang mabrur.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Jelas bahawa ibadah haji dan jihad masing-masing mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Malah, pada era penjajahan, terdapat jemaah haji yang sekembalinya ke tanah air membawa semangat perjuangan menentang penjajah hasil daripada pendedahan yang mereka dapat tentang perkembangan umat Islam di luar negara.
Jihad Adalah Qital (perang)
Secara lughawi (bahasa), jihad bermaksud mengerahkan atau mencurahkan segenap kemampuan dan kesanggupan, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. (Ibnul Atsir dalam An-Nihayah fi Gharib Al-Hadits (1/319) serta oleh Ahmad bin Muhammad bin Ali Al-Fayumi dalam Al-Mishbah Al-Munir fi Gharib Al-Syarah Al-Kabir (1/112).
Dari sudut istilah syarak pula, jihad merujuk kepada usaha mengerahkan seluruh kemampuan dalam peperangan di jalan Allah, sama ada terlibat secara langsung dalam medan perang, atau memberikan pelbagai bentuk sokongan seperti bantuan kewangan, pandangan strategik, mobilisasi pasukan, dan lain-lain. (Taqiyuddin An-Nabhani dalam Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah (2/145) dan oleh Ibnu Abidin dalam Raddul Muhtar ‘ala Al-Durr Al-Mukhtar (3/336).
Walaupun secara bahasa jihad membawa maksud bersungguh-sungguh atau mencurahkan kemampuan, namun umat Islam dituntut untuk berpegang pada definisi syarie dalam memahami dan melaksanakan tuntutan jihad.
Melihat kepada realiti semasa, umat Islam di Palestin, Uyghur, Syria dan pelbagai wilayah lain menjadi mangsa kekejaman musuh-musuh Islam. Ini menjadikan jihad sebagai fardu ‘ain apabila umat Islam diserang atau apabila wilayah mereka diduduki. Sebagai contoh, konflik di Palestin bukanlah sesuatu yang bermula pada 7 Oktober 2023, sebaliknya ia telah berakar sejak tahun 1948 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan penubuhan negara haram Israel.
Penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh saudara-saudara seagama di bumi Palestin telah berlanjutan sehingga ke hari ini. Serangan berterusan oleh tentera Zionis yang bersifat genosid terhadap umat Islam di sana tidak diiringi dengan sebarang tindakan ketenteraan dari pemimpin-pemimpin negara Islam. Walaupun terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang mewajibkan jihad, namun pemimpin-pemimpin dunia Islam hanya sekadar mengecam dalam persidangan dan mengeluarkan kenyataan retorik tanpa sebarang tindakan konkrit. Padahal telah jelas firman Allah SWT,
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ al-Baqarah (2): 216]
Belajar Taat Daripada Keluarga Nabi Ibrahim
Setiap perintah Allah SWT wajib ditaati, meskipun ia merupakan sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh hambaNya. Kewajipan jihad, sebagai contoh, mungkin dirasakan sukar kerana ia menuntut pengorbanan besar seperti meninggalkan keluarga, isteri, dan anak-anak. Namun, ujian ini masih belum sebanding dengan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan isteri dan anaknya yang masih bayi di sebuah kawasan padang pasir yang gersang dan tandus.
Dalam sebuah riwayat, diceritakan bahawa ketika Nabi Ibrahim AS meninggalkan Siti Hajar bersama anaknya yang masih kecil di Lembah Mekah yang kering kontang, Siti Hajar segera bangkit dan memegang baju suaminya lalu berkata, “Wahai Ibrahim, mahu ke mana engkau pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di tempat ini, sedangkan tiada bekalan yang mencukupi untuk kami?” Nabi Ibrahim tidak memberikan sebarang jawapan. Lalu Siti Hajar bertanya lagi, “Apakah Allah yang memerintahkan engkau melakukan hal ini?” Maka Nabi Ibrahim menjawab, “Ya.” Siti Hajar pun berkata dengan penuh yakin, “Kalau begitu, pergilah. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan kami.”
Kisah ini menggambarkan satu bentuk keimanan dan ketundukan yang luar biasa terhadap perintah Allah SWT. Ia juga memperlihatkan tahap tawakal yang tinggi daripada Siti Hajar, seorang hamba Allah yang yakin sepenuhnya bahawa Allah tidak akan membiarkan mereka yang taat dan bergantung sepenuhnya kepadaNya. Tiada sedikit pun keraguan dalam dirinya bahawa pertolongan Allah pasti akan tiba.
Sifat Siti Hajar yang luar biasa ini juga dimiliki oleh para wanita di Palestin. Mereka mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Mereka yakin bahawa apa yang terjadi dan yang menimpa mereka merupakan ketentuan daripada Allah SWT dan Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-hambaNya yang istiqamah dalam kebenaran.
Kerana itu, apa jua yang mereka alami bahkan serangan daripada musuh sekali pun tidak pernah melunturkan semangat mereka. Mereka tetap menunjukkan semangat perjuangan untuk melawan Zionis. Mereka bersemangat untuk membebaskan tanah Palestin dengan menjadi pendidik sehingga melahirkan para pejuang.
Apabila suami atau anak-anak mereka gugur sebagai syuhada, ia bukan ditangisi, bahkan dianggap sebagai suatu kemuliaan. Mereka menerima ketentuan tersebut dengan penuh keredhaan dan kesyukuran. Seorang wanita Palestin pernah menyatakan dengan penuh keazaman, “Saya bangga kerana seluruh keluarga saya telah syahid,” manakala seorang ibu yang kehilangan keempat-empat anaknya turut mengucapkan “Alhamdulillah” sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Sesungguhnya, sekiranya ujian sebesar itu menimpa kita, belum tentu kita mampu bersikap seperti mereka.
Khatimah
Justeru, ibadah haji seharusnya tidak hanya difahami sebagai simbol kesatuan umat Islam, tetapi turut dijadikan sebagai momentum untuk menyemarakkan kembali semangat jihad dalam membebaskan Palestin serta menghentikan kezaliman rejim Zionis terhadap umat Islam di bumi suci tersebut. Lebih penting lagi, umat Islam amat memerlukan kewujudan sebuah institusi kepimpinan yang sah menurut syarak, iaitu Khilafah, yang akan menegakkan keadilan, memelihara maruah dan melindungi darah umat Islam di seluruh dunia.
Wallahu A’lam Bissawab