Nuzul Quran Dan Pengabaian Isi Al-quran Dalam Krisis Palestin
Menjelang setiap kali 17 Ramadan umat Islam akan menyambut satu peristiwa besar dan agung iaitu Nuzul Quran. Peristiwa penurunan al-Quran kepada Rasulullah SAW di bulan Ramadan adalah bermulanya dakwah Rasulullah SAW dalam menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Mekah dan Madinah. Penurunan al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun di Mekah dan Madinah adalah bukti bahawa Islam adalah agama yang dipandu oleh wahyu dan mempunyai sistem dan peraturan yang lengkap dalam mengatur urusan manusia.
Dalam menghayati peristiwa besar Nuzul Quran, sudah pasti kita memahami kewajiban untuk mengambil keseluruhan hukum dan perintah Allah SWT tanpa perlu mengikut waqi’ atau kesesuaian di sesuatu tempat kerana hukum Allah dalam al-Quran telah lengkap, menyeluruh dan sesuai untuk setiap zaman sehingga Hari Kiamat.
Di dalam kesibukan kita menyambut Nuzul Quran, kita terlupa bahawa terdapat surah yang memuliakan bumi syam yang kini telah dijajah oleh entiti Yahudi, iaitu Zionis laknatullah.
“Maha suci Allah yang mengIsra’ hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” [TMQ Al-Isra’ :1].
Bumi yang diberkati Allah SWT dan menjadi Kiblat Pertama umat Islam itu telah bermandikan darah umat Islam yang tidak berdosa termasuklah kanak-kanak. Sejak 7 Oktober lalu, 33,000 umat Islam telah dibunuh oleh tentera entiti Yahudi tersebut, namun begitu, amat mendukacitakan bagi seluruh dunia Islam apabila belum ada bantuan ketenteraan secara rasmi yang digerakkan oleh mana-mana pemimpin negara umat Islam demi untuk mempertahankan bumi Isra’ Mikraj yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Selain itu, terdapat kewajiban dalam al-Quran dalam membantu saudara seakidah yang memerlukan bantuan. Firman Allah SWT,
“Jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam urusan agama ini maka kalian wajib menolong mereka” [TMQ al-Anfal(8):72].
Bantuan yang diperlukan oleh saudara seakidah kita di Palestin tidak lain tidak bukan ialah bantuan ketenteraan atau jihad yang sekaligus akan membebaskan Palestin dari cengkaman zionis laknatullah. Inilah tariqah (jalan) sebenar yang ditunjuki oleh Baginda SAW dan para khulafa’ Islam.
Kewajiban berperang atau berjihad bagi membantu saudara kita di Palestin adalah satu kewajiban kaum muslimin terutamanya penguasa dan para tentera kaum muslimin. Terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang mewajibkan untuk berjihad seperti mana ayat kewajiban berpuasa. Di antara ayat jihad dalam al-Quran ;
“Telah diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal sesuatu itu baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal sesuatu itu buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2): 216].
Akhir sekali, sambutan Nuzul Quran bukan sekadar sejarah atau peristiwa untuk diingati semata-mata tetapi terdapat banyak pengajaran untuk diambil dan lebih wajib adalah menerapkan segala hukum dan perintah Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran termasuklah dalam krisis Palestin hari ini. Semoga kita tidak tergolong dalam dalam golongan yang mengabaikan al-Quran seperti firman Allah SWT ;
“Berkatalah Rasul, “Wahai Tuhan, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai sesuatu yang diabaikan” [TMQ al-Furqan [25]: 30].
Wallahualam.