Obama Menjejakkan Kaki Ke Malaysia?

Sudah semakin pasti nampaknya pembunuh nombor satu umat Islam iaitu Barack Obama akan menjejakkan kakinya ke Malaysia. Malaysia melalui Najib dan para pemimpin sekular yang lain nampaknya sudah semacam tidak sabar-sabar untuk menghamparkan permaidani merah kepada pengganas utama dunia ini sehinggakan mesyuarat UMNO pun terpaksa ditunda kepada tarikh yang lain.

Wahai Najib! Wahai para ulama yang berada di sekeliling Najib! Bagaimanakah kalian boleh membenarkan penjenayah dan musuh utama umat Islam ini menjejakkan kakinya ke negeri umat Islam? Apakah kalian masih menjadi sekutu yang setia kepadanya dan redha membiarkan kaki hinanya yang selama ini memijak-mijak umat Islam untuk menapak pula di bumi umat Islam ini? Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul, sudah sewajibnya kalian tidak sekali-kali mengizinkan kaki musuh ini untuk memijak mana-mana bumi umat Islam termasuklah di Malaysia.

Obama adalah pemimpin negara yang secara terang-terangan sedang menjajah negeri-negeri umat Islam, membunuh dan memerangi kaum Muslimin. Negara-negara yang dijajah bukan sahaja hancur secara fizikalnya, malah termasuklah juga secara sosial, politik, ekonomi dan budaya. Sudah tidak dapat dihitung lagi betapa besarnya angka korban dan kerugian yang dialami oleh negeri-negeri umat Islam sehingga ke hari ini. Ketika umat Islam diserang, kita dapat melihat bahawa kesemua para pemimpin khianat negara umat Islam langsung tidak berbuat apa-apa untuk melindungi darah apatah lagi tanah umat Islam walhal Allah SWT telah memerintahkan agar membalas serangan tersebut setimpal dengan serangan yang diterima.

“Oleh itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia seimbang dengan serangannya terhadapmu. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah, Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.
  [TMQ al-Baqarah (2): 194].

Ketahuilah bahawa sebarang serangan yang dilakukan terhadap mana-mana negeri umat Islam adalah serangan terhadap seluruh umat Islam kerana umat Islam adalah umat yang satu dan tanah mereka adalah tanah yang satu. Pada pandangan syariat Islam, AS adalah termasuk dalam kategori muhariban fi’lan atau negara yang berada dalam status memerangi umat Islam secara de facto. Mana-mana pemimpin dari negara sebegini tidak boleh (haram) diterima sebagai tetamu. Hubungan yang ada hanyalah hubungan perang semata-mata. Allah SWT juga melarang kaum Muslimin mengambil musuh Allah dan musuh umat Islam sebagai kawan atau teman yang rapat.  Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat”   [TMQ Mumtahanah (60) : 1].

Allah SWT juga berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kaum Muslimin). Mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.”
[TMQ Ali Imran (3) : 118].

Bukankah sudah cukup ayat-ayat di atas menjadi peringatan kepada umat Islam amnya dan khususnya kepada para pemimpin mereka untuk menolak kedatangan Obama? Wahai umat Islam, sedarlah bahawa kemuliaan itu hanya ada  di sisi Allah SWT, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Ia bukan ada di sisi Obama apatah lagi pemimpin kafir yang lain.

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya”).

[TMQ al-Munafiqun (63): 8].

Apa yang pastinya, hanya mereka yang munafik sahaja yang akan mengalu-alukan kedatangan musuh utama umat Islam itu. Najib wajib menolak kedatangan Obama!

Sumber: malaysiakini.com, bharian.com.my