Orang Jepun Berbicara Tentang Syariah Dan Khilafah
Pada hari Ahad, 7hb Mac 2010 telah berlangsung satu seminar anjuran Hizbut Tahrir Malaysia dengan kerjasama Khilafah Center bertempat di dewan Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya. Seminar yang mengangkat tajuk “Menyingkap Sejarah Khilafah Antara Pejuang Dan Petualang” telah menarik lebih kurang 400 orang peserta. Apa yang menariknya seminar anjuran HTM kali ini ialah apabila pembentang pertama seminar tersebut adalah seorang muslim dari Jepun iaitu Prof Hassan Ko Nakata iaitu seorang pensyarah pengajian Islam di Fakulti Theologi Universiti Doshisha, Jepun.
Dalam pembentangan beliau, Prof Hassan Ko Nakata menjelaskan bahawa adalah suatu perkara yang rasional untuk umat Islam bersatu pada hari ini bagi mengatasi pelbagai musibah dan penghinaan yang ditimpa oleh umat Islam samada di Iraq, Afghanistan dan sebagainya. “Jika masyarakat Eropah boleh berfikir untuk bersatu dengan menubuhkan Kesatuan Eropah kenapa tidak umat Islam, sedangkan kesatuan dan persaudaraan umat Islam itu adalah sebahagian dari tuntutan dan ajaran Islam” ujarnya. Beliau juga mengatakan bahawa kewajiban menegakkan Khilafah ini adalah merupakan kesepakatan jumhur ulama dan bukannya hanya diperkatakan oleh Hizbut Tahrir. “Ini adalah fikrah Islam” katanya lagi. Diantara perkara yang menariknya juga ialah pandangan dan ulasan dari salah seorang peserta seminar yang sempat ditemu bual didalam seminar tersebut katanya: “ Wah! Sesuatu yang amat baik apabila orang Islam Jepun sudah mula berbicara tentang syariah dan Khilafah. Maka tidak ada sebab bagi umat Islam di Malaysia tidak bersama dengan perjuangan bagi penegakkan syariah dan Khilafah ini”. Sementara dalam pembentangan oleh ahli panel kedua iaitu oleh Ustaz Ahmad Mustafa selaku ketua HTM Mahaliyyah Kuala Lumpur, beliau telah menjelaskan dan menerangkan tentang hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Rasulullah SAW bersabda:
“Telah berlaku zaman kenabian keatas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah zaman khalifah yang berjalan sepertimana zaman kenabian. Maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki, kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit. Berlaku zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya juga, kemudian berlakulah zaman pemerintahan diktator (zaman penindasan dan penzaliman), dan berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula zaman khalifah yang berjalan diatas cara hidup zaman Kenabian” [H.R. Imam Ahmad, Bazzar dan Attabrani dari Abu Huzaifah Al-Yamani].
Dalam pembentangan tersebut beliau juga telah menerangkan bagaimana ketika umat Islam melalui dan mengecapi zaman kegemilangannya umat Islam telah mengecapi pelbagai kejayaan dan merasakan kenikmatan bahawa Islam itu benar-benar membawa rahmat ke sekelian alam. Kini keadaannya cukup berbeda dengan situasi umat Islam disaat ini yang berada dizaman yang dikatakan oleh Nabi SAW berdasarkan hadith diatas iaitu zaman pemerintahan diktator (zaman penindasan dan penzaliman). Umat Islam pada hari ini umumnya telah dikhianati oleh para pemimpin-pemimpin sekular yang menjadi agen kepada barat yang telah bekerjasama dengan musuh-musuh Islam secara langsung mahupun tidak langsung untuk menghalang kebangkitan Islam dan umat Islam itu sendiri. Apa yang berlaku didalam dunia umat Islam hari ini sudah cukup membuktikan bagaimana khianatnya para pemimpin umat Islam hari ini. Mereka telah mengabaikan perintah Allah SWT yang mewajibkan untuk menerapkan Islam didalam kehidupan bernegara dan dalam masa yang sama mereka juga telah menghalang mana-mana gerakan Islam yang cuba untuk mengembalikan Islam kedalam kehidupan umat. Justeru itu sudah jelas dari catatan sejarah umat Islam bahawa siapakah pejuang dan siapakah petualang. Kekuasaan Khilafah Islam yanag terakhir iaitu Khilafah Uthmaniyyah telah mencatatkan bahawa Sultan Abdul Hamid adalah merupakan diantara para pejuang umat Islam dan dalam masa yang sama telah lahirnya petualang yang menghancurkan Khilafah Islam di Turki iaitulah Mustafa Kamal At-Tartuk laknatullah yang menjadi agen British bagi menghancurkan Khilafah yang secara rasmi dihancurkan pada 3 Mac 1924 iaitu kira-kira 86 tahun yang lepas. Semoga dengan adanya seminar-seminar yang seumpama ini maka umat Islam akan dapat melihat dengan kepala mata mereka sendiri betapa kini mereka dapat mengenal dan menyedari siapakah sebenarnya pejuang dan siapakah petualang bagi umat Islam yang sebenarnya.