Pameran Palestin di Masjid Negeri Pahang

KUANTAN 23 Januari. Gabungan NGO-NGO Islam bersama dengan MPK (Majlis Perbandaran Kuantan) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Pahang, telah menganjurkan Hari Solidariti Palestin peringkat Negeri Pahang. Hizbut Tahrir Malaysia telah bersama-sama dengan 8 NGO lain telah menyertai program ini untuk memberikan penerangan tentang masalah Palestin kepada masyarakat.

Pihak HTM telah membuka gerai pameran seawal jam 8.00 pagi dan menutupnya pada pukul 10.30 malam pada hari tersebut. Gerai HTM ditempatkan di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah I (Masjid Negeri Pahang). Gerai HTM sebagaimana gerai-gerai pameran NGO lain tidak putus-putus dibanjiri oleh pengunjung dan petugas-petugas HTM tidak kering gusi menerangkan kepada umat tentang masalah sebenar Palestin.  Di samping dengan moto kami yang begitu jelas iaitu “Bebaskan Palestin Dengan Khilafah”.

Antara bahan pameran yang menarik untuk pengunjung lihat adalah Carta Sejarah Umat Islam yang berbentuk Time Line, yang mana carta ini memberikan ringkasan sejarah bermula dari Zaman Rasulullah SAW sehinggalah kepada Zaman Sekarang.  Di samping beberapa carta lain tentang penjajahan Israel di bumi yang diberkati, Palestin.

Di samping pameran terdapat juga tayangan Video di LCD skrin yang disediakan oleh petugas.  Ada beberapa orang pengunjung sempat menitiskan air mata apabila melihat CD keluaran HTM yang bertajuk “Ila Mata” (sampai bila… penderitaan umat Islam).

Beberapa orang pengunjung juga kelihatan puas hati dengan penyelesaian Islam yang diberikan oleh Hizbut Tahrir seluruh dunia tentang permasalahan Palestin, iaitu penyelesaian Jihad oleh tentera kaum Muslimin. Itulah satu-satunya penyelesaian yang jitu.

Pihak HTM ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan program ini, yang mana kita melihat umat Islam memandang berat kepada isu Palestin dan mereka sendiri kelihatannya serius untuk mempertahankan tanah suci kaum Muslimin, yang tinggal hanya pemimpin sekular seperti Mesir dan Arab Saudi yang sangat takut kematian dan cintakan dunia, dan juga Amerika Syarikat. Tidak lupa juga kepada pihak keselamatan dari IPK Pahang yang sama-sama berada di majlis ini. Sekian wassalam.