Pasca PRK PD : Kemenangan yang tiada Makna

Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Ahli Parlimen yang baru mengantikan Danyal Balagopal Abdullah. Beliau memenangi PRK itu dengan majoriti 23,560 undi.

Komentar

Kita sedia maklum bahawa PRK kebiasaannya berlaku apabila penyandangnya meninggal dunia atau keuzuran yang memaksa penyandangnya untuk meletakkan jawatan. Namun pada kali ini ia agak berbeza apabila PRK diadakan semata-mata untuk memberikan laluan kepada Anwar menjadi Ahli Parlimen. Dengan kos PRK yang begitu besar sehingga RM 3.6 juta, jelas ia merupakan suatu bentuk pembaziran dikala negara mempunyai hutang yang dikatakan sehingga RM 1 trilion. Terdapat persoalan yang perlu rakyat fikirkan iaitu adakah PRK yang diadakan ini untuk kepentingan rakyat atau individu? Berbaloikah RM 3.6 juta wang rakyat dibelanjakan semata-mata untuk menaikkan individu daripada parti politik tertentu?

Walaupun kemenangan Anwar mencatatkan jumlah undi yang berganda berbanding Danyal pada PRU14 dengan majoriti 23,560 undi, namun ia bukan bererti sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin bertambah. Jika kita mengikuti statistik jumlah pengundi pada PRK kali ini hanya seramai 43,489 orang keluar mengundi berbanding pada PRU14 iaitu seramai 75,212 orang yang keluar mengundi. Ini menunjukkan hampir separuh pengundi berdaftar tidak keluar mengundi. Rakyat perlu sedar bahawa sistem demokrasi hanya memihak kepada parti pemerintah dan kepentingan individu tertentu bukannya untuk kepentingan rakyat. Rakyat perlu menilai semula slogan demokrasi yang dicanang iaitu “Sistem Pemerintahan Rakyat, dari rakyat kepada rakyat” kepada realitinya yang sebenar. Hakikatnya, lebih tepat jika dikatakan bahawa demokrasi ini sebenarnya satu “sistem pemerintahan parti, dari parti untuk parti”.

Di samping itu, dalam kegembiraan penyokong dan ahli parti PH meraikan kemenangan, jangan dilupa bahawa Kerajaan PH baru sahaja memaklumkan yang mereka tidak mampu melaksanakan hampir semua manifesto mereka seperti menghapuskan PTPTN dan tol. Apa yang lebih malang ialah, walaupun gagal melaksanakan manifesto tetapi mereka masih merayu undi daripada rakyat tanpa rasa malu.

Di sebalik semua ini, persoalan yang ingin ditimbulkan ialah apakah makna kemenangan PH di Port Dickson? Sebagai umat Islam, kita perlu memahami situasi ini dengan sudut pandang Islam. Kita perlu menilai dengan teliti adakah Islam akan lebih terbela dan dapat diterapkan dalam kehidupan dengan kemenangan PH tersebut atau sebaliknya golongan liberal dan sekular akan semakin berleluasa dalam melaksanakan agenda mereka?

Oleh itu, janganlah kita menjadi seperti kisah Pak Kaduk menang sorak kampung tergadai. Apa yang pasti, kemenangan PH ini hakikatnya tidak membawa apa-apa makna kepada aspirasi Islam untuk dimartabatkan. Mereka telah pun menang dan menguasai pemerintahan di Malaysia, namun hukum-hukum Islam masih tetap diabaikan. Jadi umat Islam perlu sedar bahawa tidak ada cara lain lagi untuk melihat Islam kembali diterapkan secara kaffah di atas muka bumi ini melainkan dengan menegakkan semula sistem Khilafah.

Affan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia