Pasca PRU14: Berakhirnya Legasi Najib, Tetapi Ke Mana Hala Tuju Kita Selepas Ini?

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membawa negara ini ke era baru setelah 61 tahun berada di bawah tampuk pemerintahan Barisan Nasional. Pakatan Harapan (yang bersepakat untuk bertanding di bawah tiket PKR, kecuali DAP di Sarawak) yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berjaya membentuk kerajaan baru dan menguasai beberapa buah negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.

Sungguhpun demikian, kedudukan kerajaan negeri Perak masih lagi menjadi tanda tanya apabila perbezaan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terlalu jauh. Sewaktu penulisan ini dibuat, perbincangan masih berlangsung antara BN dan PAS untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri. Namun, PAS Perak telah meletakkan beberapa syarat yang mesti dipersetujui sebelum persepakatan tersebut dibuat. Seandainya persepakatan ini menjadi kenyataan, sudah tentu sedikit-sebanyak akan mencemar imej PAS dan mengukuhkan lagi dakwaan UG (unity government) seperti yang digembar-gemburkan sejak sebelum PRU14 lagi.

Sementara itu, PAS Pusat melalui presidennya, Datuk Seri Hadi Awang pula telah mengeluarkan kenyataan rasmi menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan tanpa pembangkang. Dalam kenyataan tersebut, PAS meletakkan syarat-syarat tertentu bagi menjamin kedudukan Islam di Perak. Sejauh manakah pihak-pihak lain akan menerima tawaran tersebut tidak dapat dipastikan, apatah lagi di pihak Pakatan Harapan (PH) yang salah satu daripada komponennya adalah Parti Amanah Negara (Amanah) yang terbentuk daripada bekas ahli-ahli PAS sendiri. Di sini kita akan dapat menilai apakah PAS ingin kekal sebagai pembangkang di bawah kerajaan negeri yang diterajui PH, atau mereka memilih untuk bersama BN seandainya tawaran kerajaan perpaduan tanpa pembangkang PAS ini gagal direalisasikan.

Manakala di Sabah pula, keadaan menjadi bercelaru kerana pada awalnya Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui oleh Datuk Seri Shafie Apdal dan BN di bawah Tan Sri Musa Aman mempunyai jumlah kerusi yang sama. Musa kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah setelah parti Solidariti Tanah Air (STAR) memilih untuk berpihak kepada BN. Namun begitu, kedudukan Musa pada waktu ini tidak lagi terjamin apabila terdapat khabar bahawa beberapa orang wakil komponen BN telah memihak kepada Warisan. Apakah kemelut ini akan membawa kepada berlakunya semula pilihan raya di Sabah? Tidak mustahil, seandainya Musa enggan melepaskan jawatan Ketua Menteri Sabah. Berapa banyak lagi wang hendak dihabiskan semata-mata kerana permainan politik sebegini? [Dikemaskini: Shafie telah mengangkat sumpah selaku Ketua Menteri Sabah malam tadi setelah beberapa orang wakil dari BN menyatakan sokongan terhadapnya]

Demikianlah kecelaruan yang berlaku dalam sistem pilihan raya demokrasi, terutamanya sekiranya hung government terjadi, iaitu apabila perbezaan jumlah kerusi antara parti-parti yang bertanding tidak terlalu jauh dan tiada pihak yang berjaya memenangi majoriti mudah. Perkara ini bukanlah suatu yang mustahil, bahkan pernah berlaku di negara-negara lain yang mengamalkan pilihan raya demokrasi ini. Pada PRU13 dahulu, kita telah menyaksikan bagaimana kerajaan negeri Perak bertukar tangan setelah beberapa orang ADUN melompat parti. Insiden lompat parti sebegini juga menimbulkan keraguan rakyat terhadap kredibiliti wakil-wakil yang mereka pilih. Sama ada mereka melompat atas dasar manfaat, atau apa jua sebab sekalipun, pastinya tindakan tersebut mencalar kepercayaan rakyat kepada mereka.

Kepincangan sistem persekutuan (federalisme)

Dalam pada itu, kita juga dapat melihat kelemahan sistem persekutuan (federalisme) yang diamalkan di negara ini yang mewujudkan pemerintahan di dua peringkat, iaitu di peringkat negeri dan juga di peringkat pusat. Masalah menjadi semakin ketara sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang di peringkat pusat. Semasa kerajaan pusat diterajui oleh BN dahulu, kita dapat melihat layanan yang diberikan terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang. Royalti minyak yang hakikatnya merupakan hak pemilikan umat bukan sahaja disekat, bahkan dialihkan kepada dana yang dikawal oleh kerajaan pusat.

Pengagihan dana juga dibuat secara tidak adil dan menimbulkan jurang yang agak ketara dari segi pembangunan. Sabah selaku negeri yang kaya dengan hasil bumi, menjadi antara negeri termiskin di negara ini. Bahkan dalam negeri yang dikuasai pun, dana-dana kepada ADUN parti pembangkang dikawal sehingga menyukarkan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka. Apakah perkara yang sama akan turut terjadi di bawah pentadbiran kerajaan PH? Apakah jaminan perkara yang sama tidak akan berlaku?

Mampukah PH memacu perubahan di Malaysia pasca PRU14?

Memang benar, masih terlalu awal untuk kita menilai kerajaan PH di bawah Mahathir. Apatah lagi hendak dibandingkan dengan BN yang telah memerintah negara ini selama enam dekad. Namun, kita tidak perlu menanti sehingga enam dekad lagi sebelum menyedari bahawa arus perubahan yang hakiki tidak akan sama sekali dapat dikecapi sekiranya tidak dilaksanakan secara sistemik dan menyeluruh. Apatah lagi dengan mengharapkan perubahan tanpa melalui thariqah (metode) yang berasaskan bimbingan wahyu, sebaliknya meletakkan pertimbangan akal sepenuhnya dalam menilai maslahat dan mafsadat.

Dengan menggantikan parti yang memerintah, mungkin sahaja polisi-polisi tertentu akan diubah dan ditambah baik. Tetapi tidak mustahil polisi-polisi lainnya mengundang musibah dan membebankan rakyat. Tambahan pula, penerusan penerapan sistem demokrasi pada hari ini akan membuka ruang kepada kerosakan dan ketirisan untuk terus berlaku. Pihak-pihak yang berkepentingan pula akan sentiasa mencari ruang bagi meneruskan agenda dalam mencapai kepentingan peribadi. Apabila menjelang PRU seterusnya, mereka akan menyatakan kekesalan atas ‘dosa silam’ dan sekali lagi memohon mandat daripada rakyat untuk membaiki kesilapan mereka.

Akibatnya, umat diberikan pilihan yang terhad, sama ada hendak memilih yang buruk atau yang lebih buruk tanpa menyedari bahawa masih ada pilihan lain yang akan membebaskan mereka daripada belenggu kitaran kerosakan ini. Apabila kerajaan yang dipilih itu gagal, mereka menanti-nanti PRU seterusnya bagi mengubah kerajaan. Persoalannya sampai bila?

Dengan beralihnya tampuk pemerintahan, apakah legasi Najib akan turut berakhir? Dalam kegembiraan rakyat khasnya mereka yang menolak BN, timbul kerisauan bagi sesetengah pihak tentang apa yang menanti di masa hadapan kelak. Apakah dengan bermulanya era baru ini, maka tercetusnya semula era Mahathirisme yang pernah mencorakkan negara ini selama 22 tahun?

Mungkin sahaja jangka hayat Mahathir tidak begitu lama, tetapi apakah yang bakal berlaku sesudah itu? Dengan bebasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya bakal menjadi Perdana Menteri sesudah Mahathir, mampukah beliau memastikan segala kepincangan yang terjadi sebelum ini tidak lagi berulang? Apakah jaminan bahawa para politikus, termasuklah mereka yang berada di koridor kekuasaan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada di tangan masing-masing demi melanjutkan agenda peribadi? Sejauh manakah beliau mampu menyatukan parti-parti komponen PH untuk terus kekal membawa agenda rakyat? Manakala di peringkat antarabangsa, apakah beliau mampu untuk memastikan negara ini bebas daripada dibelenggu oleh kuasa-kuasa besar yang sentiasa ingin memastikan negara-negara kecil tunduk mengikut telunjuk mereka?

Jika PH gagal, apakah kita ingin kembali semula kepada BN atau mana-mana parti lain dan meneruskan lagi kitaran yang sama dengan wajah yang berbeza semata-mata?

Editorial