Patriotisme memecahbelahkan umat!
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin ketika mengampu saranan Pak Lah berkata, saranan itu tepat pada masanya di mana rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memperkasakan semangat patriotisme di dalam diri masing-masing dengan mendalami sejarah negara.
Sementara itu, Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman berkata, kegagalan menerapkan pemahaman sejarah di kalangan pemimpin muda negara dan generasi akan datang boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik dan sosial negara. Beliau juga turut menyentuh fenomena segelintir golongan muda yang memperjuangkan demokrasi ala-barat. Menurutnya, demokrasi di Malaysia adalah berbeza dari Barat kerana ia dijadikan sebagai alat untuk mentadbir negara dengan matlamat mewujudkan negara yang harmoni dan aman.
Inilah di antara contoh ketidakjelasan berfikir yang ada pada golongan intelektual di negara ini. Dalam satu masa mereka meminta kita agar tidak meniru Barat, tapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya sedang meniru Barat. Sistem demokrasi dalam apa jua bentuk dan caranya sekalipun adalah merupakan satu sistem yang berasal dari Barat. Mengambilnya dengan cara yang sama mahupun berbeza dari Barat, hakikatnya tetap mengambil sesuatu yang berasal dari Barat. Matlamat yang baik sekalipun apabila mengambil perkara yang haram, maka haram pulalah hukumnya. Ibarat kata Robin Hood yang berniat suci menolong orang susah, namun merompak dari harta orang kaya.
Semangat patriotisme yang sering diseru oleh golongan pemimpin dan intelektual sekarang juga bukan berasal dari Islam, malah keharamannya teramat jelas. Patriotisme/wathaniyah merupakan manifestasi dari gharizatul baqa (survival instict) yang melahirkan rasa cinta kepada tanah air. Ia menyebabkan seseorang itu merasa bangga dengan tanah airnya dan akan merendahkan tanah air orang lain. Apatah lagi jika tanah airnya dihina atau diserang, maka perasaan patriotisme ini semakin membuak-buak.
Anehnya, dalam pada pemimpin dan golongan intelektual menyeru kita agar melihat kembali sejarah dan tidak meniru Barat, mereka umpama orang yang hilang akal bahawa berdasarkan sejarah, patriotisme itu sendiri adalah satu semangat yang ditiup oleh kuffar Barat kepada umat Islam untuk memecahbelahkan umat Islam dan negara mereka (Daulah Khilafah). Dengan semangat patriotisme dan nasionalisme inilah Barat dahulunya berjaya menghancurkan Negara Islam (Khilafah), dengan melaga-lagakan sesama umat Islam atas dasar semangat haram tersebut.
Patriotisme bukan dari Islam bahkan ia dilarang jelas oleh syarak. Maka, menjadikan sejarah untuk menaikkan semangat patriotisme tidak akan memberikan keuntungan kepada umat Islam, malah akan terus memperlemah dan memecahbelahkan sesama umat Islam di seluruh dunia.
Mereka menyeru kita agar berpegang kepada sejarah, malangnya mereka buta bahawa sejarah yang mereka jadikan pegangan sekarang hanyalah sejarah yang telah ditulis dan diedit oleh kuffar Barat. Mereka belajar dan faham sejarah dengan cara yang dikehendaki dan diredhai oleh golongan kuffar musuh Islam. Jika benar mereka mengkaji sejarah dari sumber yang benar, mereka akan dapati bahawa Daulah Khilafah Islamiyyah telah memerintah selama lebih 13 abad dan telah menguasai hampir dua per tiga dunia. Umat Islam di satukan di bawah satu payung pemerintahan dan dipimpin oleh seorang Khalifah sahaja selama berabad-abad lamanya. Hanya setelah kuffar Barat yang bencikan Islam berjaya menjajah dan memecahbelahkan umat Islam, barulah umat Islam hidup terpisah-pisah atas dasar bangsa dan tanah air.
Justeru, jika kita ingin kembali kepada sejarah, maka umat Islam mestilah bersatu semula di bawah Daulah Khilafah, inilah sejarah Islam yang tidak dapat dimungkiri oleh sesiapa pun. Malangnya sungguh pelik! Apabila pemimpin dan para cerdik pandai ini menyeru kepada sejarah, mereka menyeru agar kita sayangkan tanah air (patriotisme), dengan kata lain kita diseru agar kekal di dalam bentuk perpecahan sempadan yang telah dibuat oleh Barat ke atas kita. Pelik sungguh mereka ini bercakap tentang sejarah! Inilah golongan yang menyeru kepada sejarah di dalam rangka yang diredhai oleh kuffar.
Demikian juga halnya dengan demokrasi. Sejarah membuktikan bahawa demokrasi bukan berasal dari Islam, tetapi ia adalah ciptaan Barat yang berupa gubahan akal manusia-manusia kafir Barat dahulu yang cuba merangkak keluar dari kegelapan dengan memisahkan agama dari kehidupan. Demokrasi adalah alat yang digunakan oleh negara untuk menolak ketetapan (peraturan) Allah dalam kehidupan manusia. Demokrasi, sama ada di Barat atau di Timur atau di mana sahaja, ia tetap pada hakikatnya sama sahaja, iaitu ia merupakan sebuah sistem pemerintahan di mana undang-undangnya dibuat oleh manusia dengan suara majoriti. Demokrasi menjulang suara manusia mengatasi ‘suara Tuhan’.
Kerana itulah demokrasi ini jelas-jelas suatu yang haram di dalam Islam kerana manusia telah mengambil hak Allah di dalam membuat hukum (undang-undang). Tidak tercatat satu peristiwa pun di dalam sejarah Islam yang bertahan selama lebih 1400 tahun bahawa demokrasi diterapkan (digunapakai) di dalam Negara Islam. Umat Islam selama mula berdirinya Daulah Islam pada tahun pertama Hijriyyah hinggalah ke saat-saat akhirnya kejatuhan Daulah Khilafah pada awal 1920-an, tetap menggunakan hukum wahyu, bukannya hukum nafsu yang dibuat oleh tangan-tangan manusia. Justeru, seruan untuk kembali kepada sejarah dengan mengamalkan patriotisme dan demokrasi hanyalah seruan haram Jahiliyyah yang akan memecahbelahkan lagi umat Islam dan menjauhkan mereka dari hukum wahyu!