Pembaziran untuk Gangnam Style
Undangan tersebut telah mendapat banyak reaksi daripada parti-parti politik dalam negara ini melalui laman sesawang sosial dan twitter serta ia dijangka akan menelan belanja sekitar USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga RM1,242,800) untuk persembahan ringkas dengan lagu-lagu yang dirakam dan juga beberapa orang artis iringan. (Malaysiakini, 3/2/13).
Di saat negara Malaysia masih mempunyai ramai lagi rakyat yang mengalami kemiskinan dan kemelaratan hidup, BN nampaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk membiayai hiburan dalam acara-acara politik anjuran mereka, sedangkan dasar parti-parti politik itu mendakwa mereka cuba untuk mengekang masalah kos sara hidup rakyat dengan mengagihkan bantuan kewangan.
Jika benar berita yang dilaporkan oleh media tempatan ini, BN selaku parti pemerintah telah melakukan salah satu bentuk pembaziran dan kemaksiatan yang dilarang oleh Allah SWT. Sebagai pemerintah, keharaman yang utama yang dilakukan adalah membelanjakan wang ke arah kemaksiatan berbanding memenuhi keperluan rakyat. Selain itu, nyanyian dan kehadiran artis Korea tersebut akan menambahkan lagi senarai pesta-pesta maksiat yang lain untuk tumbuh lebih subur dalam negara ini. Di samping itu, lagu Gangnam Style itu sendiri mempunyai nilai hadharah yang bertentangan dengan Islam dan ini akan menyumbang kepada gejala hedonisme di kalangan masyarakat. Semua itu akan menambahkan lagi kerosakan akhlak masyarakat yang sudah sememangnya semakin hari semakin parah.
Justeru, sepatutnya sebagai pemerintah yang amanah, wang tersebut dibelanjakan dan digunakan untuk perkara-perkara yang ma’ruf serta diredhai oleh Allah SWT, dan bukannya dengan membayar orang-orang kafir dengan harga yang tinggi hanya semata-mata untuk hiburan yang melalaikan yang bakal membawa kepada azab Allah SWT.