Pemboikotan ekonomi jika tegaknya Khilafah kelak hampir pasti terjadi

Berita:

Pemenang Oscar, George Clooney menggesa hotel-hotel mewah dimiliki Brunei termasuk Beverly Hills diboikot berikutan langkah kerajaannya melaksanakan hukuman rejam kepada penzina dan pelaku seks sesama jenis. Syarikat Pelaburan Brunei memiliki sembilan hotel di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk hotel Beverly Hills, Dorchester di London dan Plaza Athenee di Paris. Clooney menerusi ruangan pendapat disiarkan laman web Deadline.com berkata setiap kali menginap di hotel itu, ia seolah-olah memberikan wang kepada pihak yang merejam sehingga mati kepada gay atau penzina.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/

Komentar:

Tindak balas negatif dan respon yang menunjukkan ketidakrelaan orang kafir kepada perlaksanaan hukum syariah merupakan suatu stigma yang biasa di Barat. Ini bukanlah kali pertama kempen memboikot sebahagian daripada ekonomi Brunei dianjurkan pihak tertentu, malahan ia sudah dicanangkan semenjak Brunei mula bersuara tentang penerapan hukum syariah pada tahun 2013. PBB antara organisasi yang paling pantas bersuara kononnya perlaksanaan syariah lebih-lebih lagi terhadap golongan LGBT merupakan suatu bentuk kezaliman ke atas Hak Asasi Manusia. Kemudian ia disambut pula oleh ahli-ahli politik daripada beberapa buah negara sehinggalah ke peringkat artis-artis ternama Hollywood seperti George Clooney yang mencadangkan bahawa hotel-hotel mewah yang dimiliki kerajaan Brunei diboikot.

Walaupun ‘ugutan’ yang ditimbulkan ini bukanlah suatu yang sangat signifikan kepada Brunei, apa yang perlu kita amati secara politik di sini ialah penentangan terhadap hukum syariah itu konsisten daripada Barat di pelbagai tahap, maka dakwah politik kepada syariah dan khilafah perlu turut mengambil kira kekuatan ekonomi Khilafah yang bakal didirikan. Hal ini demikian kerana rata-rata negara milik umat Islam hari ini sangat bergantung kepada pasaran dunia terutamanya negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan China. Hal ini merupakan satu ‘loop hole’ yang perlu disedari di peringkat awal. Maka perancangan yang teliti untuk membina ekonomi mampan dan mandiri perlu dititikberatkan dalam kerangka memastikan Khilafah yang akan berdiri kelak ialah Khilafah yang boleh mengharungi boikot ekonomi malahan mampu melumpuhkan ekonomi kuasa-kuasa besar yang lain.

Solusi kepada keadaan ini ialah idea kesatuan umat Islam dalam bentuk pemusatan sumber ekonomi kepada satu institusi politik sahaja dan bukanlah sekadar kebersamaan umat Islam dalam satu organisasi seperti OIC. Ini bukanlah suatu perkara yang mustahil kerana majoriti sumber bumi dan manusia yang ada di muka bumi ini dikuasai oleh umat Islam, namun dikawal oleh para pemimpinnya yang menjadi tali barut kepada kuasa barat. Sudah tiba masanya para pemimpin ini diboikot seterusnya kesedaran umat dalam hal ini disebarkan agar khilafah yang berdiri satu hari nanti ialah superpower ekonomi yang akan menghancurkan kuasa-kuasa dunia baik di Timur mahupun Barat. Wallahu a’lam.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia