Pembunuhan Jamal Khashoggi: Menggoncang Strategi Amerika di Timur Tengah

Pada 2 Oktober 2018, Jamal Khashoggi memasuki pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki untuk mendapatkan dokumen berkaitan urusan perkahwinannya. Itulah hari terakhirnya dilihat di khalayak ramai. Sebelum ini Khashoggi telah diumpan oleh Arab Saudi supaya pulang dan dijanjikan pengampunan serta digula-gulakan dengan tawaran pangkat dan harta tetapi dia yakin bahawa kepulangannya akan menyebabkan dia dihumban ke dalam penjara. Dilaporkan juga bahawa ini bukanlah kali pertama skuad pembunuh melakukan perkara keji tersebut.

Suspek utama dalam kes pembunuhan ini iaitu Putera Mahkota Muhammad bin Salman (MBS) telah dimalukan oleh media di seluruh dunia. MBS mengutuskan pembantunya sendiri iaitu Maher Abdulaziz Mutreb ke Istanbul untuk menamatkan riwayat hidup Khashoggi. Pembunuhan itu diketahui apabila 15 ejen Arab Saudi termasuk ahli patologi dikesan terlibat hasil siasatan pihak berkuasa Turki. Malah foto pembantu MBS iaitu Maher memasuki Konsulat Arab Saudi beberapa jam sebelum pembunuhan Khashoggi juga telah didedahkan. Seorang penulis Barat berkata bahawa tidak perlu menjadi penyiasat seperti Sherlock Holmes untuk mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut. Darah Khashoggi berada di tangan MBS. MBS sekarang menemui jalan buntu untuk menangkis tuduhan bahawa dia tidak mengarahkan pembunuhan itu. MBS terdesak untuk memujuk sekutunya iaitu Amerika Syarikat (AS) agar membela dirinya sehingga dilaporkan Saudi memberi wang yang banyak kepada AS baru-baru ini supaya tuannya (baca:AS) melindunginya. MBS juga baru-baru ini membuat kenyataan yang mengejutkan apabila memuji ekonomi Qatar walaupun MBS sendiri yang mengisytiharkan Qatar sebagai musuhnya malah dikatakan ingin melancarkan perang terhadap Qatar.

Kedudukan Amerika Syarikat

AS berbelah bahagi dalam isu ini. Kelihatan AS tersepit kerana Saudi ialah sekutu Amerika. MBS telah memperhambakan dirinya kepada agenda Trump. Disamping itu MBS juga mempunyai hubungan peribadi dengan Trump dan menantunya Jared Kushner. Trump berdolak-dalik ketika berhadapan dengan isu ini. Di satu sisi, Trump beberapa kali mengulangi kenyataannya bahawa AS inginkan wang Saudi untuk mengukuhkan ekonomi AS. Akhirnya Trump juga mengakui bahawa MBS yang mengarahkan pembunuhan itu. Pembunuhan yang dilakukan oleh Saudi merupakan suatu tindakan nekad kerana ia dilakukan di kedutaan Saudi di Istanbul, Turki. Media dunia melaporkannya secara meluas dan terus mengaitkan pembunuhan itu dengan MBS. Di samping itu, terdapat desakan daripada tokoh-tokoh Parti Republikan yang dekat dengan Trump dan dalam kalangan pemilik syarikat multinasional gergasi daripada negara-negara Barat untuk menjauhkan diri daripada MBS serta menghukumnya. Tindakan MBS dilihat memalukan AS malah tokoh yang rapat dengan Trump mengatakan AS menanggung malu kerana mempertahankan kejahatan MBS dan sudah masanya AS mengambil tindakan tegas terhadapnya. Senator AS, Lindsey Graham daripada parti Republikan yang rapat dengan Presiden Donald Trump telah menuduh MBS mengarahkan pembunuhan Khashoggi. Lindsey turut menyifatkan Putera Mohammed  itu sebagai ‘pemusnah’ yang menjejaskan hubungan Arab Saudi dan AS. Ramai ahli Kongres AS sudah lama tidak mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi dan mereka mengecam MBS sejak pembunuhan Khashoggi. “Tiada ada yang berlaku di Arab Saudi tanpa pengetahuan MBS. Saya antara yang paling kuat mempertahankan mereka dalam Senat AS. Dia ‘pemusnah’. Dia mengarahkan mangsa dibunuh di konsulat di Turki. Saya rasa digunakan dan disalahgunakan. MBS adalah racun. Dia tidak boleh menjadi pemimpin di pentas dunia. Saya tahu apa yang saya akan buat. Saya akan mengenakan sekatan terhadap Arab Saudi. Saya rasa terhina. Mereka hanya menghina kita. Mengapa kamu mencari masalah dengan saya, Presiden dan melupakan semua jasa Presiden sebelum ini? Orang ini patut disingkirkan”(Reuters).

Bagi Trump, MBS berani membawa agenda-agenda AS secara terang-terangan yang tidak berani dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Saudi sebelumnya. MBS menegaskan bahawa dia ingin negara-negara Arab mengiktiraf Israel malah bagi MBS, gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin dan HAMAS dipandang sebagai pengganas. Di bawah MBS, tokoh-tokoh gerakan Islam seperti Yusuf Qardawi yang berusia 92 tahun diletakkan dalam senarai pengganas. Trump sendiri sedang mempertimbangkan untuk meletakkan gerakan Ikhwanul Muslimin dalam senarai pengganas. MBS juga sudah sepakat dengan AS dan Israel untuk mengatur strategi menghancurkan Iran yang dilihat sebagai ancaman. MBS juga ingin pemikiran dan budaya Barat dibawa masuk ke Saudi dan hal itu sememangnya amat dialu-alukan oleh Trump. AS hakikatnya tidak peduli dengan nyawa Khashoggi kerana yang penting ialah aset Saudi yang boleh dimanfaatkan untuk mengukuhkan ekonomi mereka serta kesanggupan Saudi untuk menjadi hamba setia yang sanggup menyempurnakan hegemoni AS di Timur Tengah. Trump berulang kali mengatakan walau apa pun yang terjadi, hubungan politik dan ekonomi AS tidak boleh terjejas. AS merasa malu dengan apa yang dilakukan oleh agennya iaitu MBS. Bagi AS, MBS boleh membunuh Khashoggi tetapi bukan dengan cara membunuhnya di dalam bangunan konsulat di Turki.

Perisikan Amerika dan Britain juga sudah mengetahui rancangan untuk membunuh Khashoggi lebih awal malah perisikan Britain dilaporkan sudah meminta MBS membatalkan perancangan itu tetapi dia enggan (Anadolu Agency, 29/10/2018, The  Sunday Express). Britain juga turut menanggung malu kerana mereka membekalkan banyak senjata kepada Saudi.

Turki

Turki dari hari ke hari meningkatkan tekanannya ke atas Saudi dan secara tidak langsung mengatakan bahawa MBS yang mengarahkan pembunuhan itu. Turki sengaja tidak mengeluarkan kesemua bukti-bukti yang ada supaya Saudi terus merasakan tekanan. Turki juga selama ini bersaing dengan Saudi untuk merebut hati umat Islam sebagai hero umat Islam. Erdogan dilihat sebagai pembela wartawan dan pembela umat Islam yang ingin pembunuh Khashoggi dibicarakan dan dihukum. Hakikatnya, Turki di bawah Erdogan memenjarakan ribuan wartawan khasnya yang mengkritik Erdogan dan juga memenjarakan ramai anggota gerakan Islam yang tidak sealiran dengannya. Jika Erdogan benar-benar memperjuangkan umat Islam, ini merupakan kesempatan baginya untuk menekan AS dan menggunakan pembunuhan ini untuk menunjukkan kepada umat Islam bahawa AS campur tangan dalam urusan umat Islam dan menegaskan kepada umat Islam supaya bersatu di bawah sebuah negara Khilafah dan menghalang AS. Tetapi ini kelihatannya bukanlah agenda Erdogan.

Di sisi lain, Turki juga dilaporkan tidak mahu MBS terus berkuasa kerana dengan cara MBS yang kejam dan menimbulkan huru hara, jika MBS terus berada di tampuk pemerintahan apatah lagi jika dia menggantikan bapanya sebagai Raja Arab Saudi, Turki menjangkakan akan menghadapi banyak masalah sepanjang 50 tahun dia berkuasa. Dalam beberapa kes, Turki dan Arab Saudi tidak sealiran walaupun kedua-duanya merupakan sekutu AS dan sering mengambil tindakan yang membahagiakan AS. Terdapat analisis yang mengatakan Turki akan mengambil kesempatan daripada pembunuhan Khashoggi untuk menekan Saudi supaya memberi ganjaran kepadanya seperti ganjaran kewangan supaya Turki tidak terus membuat pendedahan tentang penglibatan MBS apatah lagi ekonomi Turki ketika ini berada dalam kedudukan kronik. Turki mempunyai bukti terperinci tentang pembunuhan tersebut. Perisikan Turki dengan arahan Erdogan sengaja mendedahkan kepada media tentang rancangan pembunuhan tersebut. Malah media Turki dengan arahan daripada pemerintah Turki mengatakan Khashoggi memakai jam Apple canggih yang merakamkan pembunuhan itu dan rakaman itu dapat diterima oleh tunang Khashoggi yang menunggu di luar kedutaan Saudi pada hari pembunuhan tersebut. Hakikatnya, pakar-pakar yang menganalisis kemampuan jam Khashoggi mengatakan bahawa jam Khashoggi tidak mampu berbuat demikian. Tunang Khashoggi sendiri menafikan mengetahui butiran tentang pembunuhan itu. Jelaslah ini ialah maklumat palsu yang disebarkan oleh pemerintah Turki ke media. Apa yang berlaku sebenarnya ialah perisikan Turki telah memasang alat pengintip dalam kedutaan Saudi yang dapat merakamkan secara terperinci kronologi pembunuhan tersebut dan siapa pelakunya. Malah mereka juga mendedahkan bahawa sebelum Khashoggi dibunuh, pembantu MBS telah menelefon Khashoggi untuk memberikan kata dua supaya pulang bersama-sama dan jika enggan Khashoggi akan menerima akibat buruk. Dikatakan bahawa mula-mula jari Khashoggi dipotong dan ketika dikerat-kerat menggunakan gergaji tulang (bone saw), pelaku yang melakukan keratan sengaja memutarkan lagu dengan kuat. Semua butiran ini tidak akan dapat diketahui kalau tidak ada alat perakam dalam kedutaan ini.

Turki juga bersikap pragmatik. Walaupun ia mendedahkan banyak maklumat yang memalukan Arab Saudi namun ia tidak mahu bersengketa dengan Arab Saudi kerana pemerintah Turki ialah pemerintah yang berlandaskan ideologi kapitalisme yang ingin menjaga hubungan politik dan ekonomi. Erdogan berulangkali mengatakan Raja Salman tidak bersalah tetapi dia juga berulangkali secara tidak langsung mengatakan MBS yang mengarahkan pembunuhan tersebut. Pada 1 November 2018, Kemal Kilicdaroglu, pemimpin Parti Rakyat Republikan (GHP) iaitu parti pembangkang Turki menuduh Erdogan membenarkan skuad pembunuh Khashoggi keluar dari Turki setelah Raja Salman menelefon Erdogan. Kemal mengugut untuk menyaman Erdogan dalam isu ini tetapi dibalas oleh parti Erdogan yang mengugut akan bertindak ke atas Kemal. Memang benar Turki sudah tahu tentang pembunuhan itu sebelum skuad pembunuh itu keluar dari Turki tetapi Turki juga berhadapan dengan undang-undang sekular antarabangsa kerana anggota skuad pembunuh itu diberi pasport diplomatik yang tidak membenarkan mereka ditahan oleh Turki.

Jamal Khashoggi

Jamal Khashoggi ialah seorang wartawan yang terkenal. Dia mempunyai darah Turki dan datang daripada keluarga yang terkenal. Bapa saudaranya, Adnan Khashoggi merupakan seorang usahawan dan pedagang senjata terkenal. Adnan pernah berkahwin dengan wanita dari England dan Itali. Adnan terlibat dengan beberapa kontroversi yang sering menjadi sorotan media dunia.

Jamal Khashoggi disifatkan sebagai seorang yang menggabungkan Islam dan liberalisme. Pada 1970-an, dia bergabung dengan Ikhwanul Muslimin pada waktu muda sebelum berkhidmat dengan kerajaan Arab Saudi.  Dia pernah berkhidmat dengan agensi perisikan Arab Saudi selama lebih 20 tahun. Dia juga pernah berkhidmat di bawah Putera Turki al-Faisal, Putera Bandar al-Sultan dan arkitek badan perisikan Arab Saudi sendiri iaitu Brigadier-General Yousuf al Idrissi. Khashoggi pernah menulis laporan pada 1994 bahawa usaha Arab Saudi untuk menghapuskan pengaruh gerakan Islamis yang paling berpengaruh di Mesir iaitu Ikhwan Muslimin merupakan satu perkara sia-sia. (ABDUL MUEIN ABADI, Khashoggi: Antara Saudi, Turki & Ikhwan Muslimin, 25/10/2018). Khashoggi menyimpan banyak rahsia tentang Arab Saudi yang tidak disukai oleh MBS dan kuncu-kuncunya.

Jamal Khashoggi bukanlah seorang reformer dan seorang wartawan yang benar-benar ingin mencari kebenaran. Sesetengah media menyelewengkan fakta bahawa dia ingin mengubah sistem kerajaan di Saudi sedangkan hakikatnya dia tidak mahu sistem di Saudi berubah. Dia hanya mahu MBS diketepikan dan digantikan dengan orang yang disukai oleh Barat tetapi sistem yang ada di Saudi dikekalkan.

Khashoggi sendiri ialah orang yang disayangi oleh Barat. Walaupun dia belum lagi memperolehi kerakyatan Amerika tetapi Khashoggi telah diberikan visa “O” menurut majikannya, Washington Post. Visa “O” juga kadangkala dikenali sebagai visa “genius” yang diberikan kepada orang-orang yang memiliki “kemampuan dan pencapaian” luar biasa dan diberikan residensi sementara selama 3 tahun. Tiga orang anaknya telah pun menjadi warga AS. Ini jelas menunjukkan dia sangat-sangat dialukan oleh AS. AS juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat penting tentang Saudi kerana Khashoggi mempunyai akses kepada tokoh-tokoh penting di Saudi dan mempunyai network yang meluas di serata dunia.

Bakal isteri Jamal Khashoggi bernama Hatice Cengiz ialah seorang pelajar PhD berusia 38 tahun dan merupakan anak perempuan kepada mantan penasihat kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Khashoggi sendiri merupakan rakan Erdogan (New York Times, 21/10/18). Secara peribadi Erdogan marah terhadap tragedi pembunuhan Jamal Khashoggi.

Khashoggi merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat advokasi bernama ‘Democracy for the Arab World Now’ (DAWN) bagi mempromosikan gerakan pro-demokrasi dengan bantuan dana Turki dan Qatar. Sejak tahun lalu Khashoggi memilih tinggal di Washington AS kerana khawatir soal keselamatannya. Dia menjadi penulis dalam akhbar Amerika yang terkenal iaitu The Washington Post dan kerap memberikan kritik tajam ke atas pemerintah Saudi. Disebabkan pengaruh Khashoggi yang kuat dalam rangkaian media, pembunuhan itu mendapat liputan meluas di seluruh dunia sehinggakan Menteri Luar Arab Saudi menyifatkan media dalam keadaan histeria kerana memberi liputan bertalu-talu tentang pembunuhan itu hingga membuatkan Arab Saudi dalam keadaan yang amat tidak selesa. Jika warga Saudi lain yang tidak terkenal dibunuh, sudah tentu media tidak akan memberi liputan yang serupa.

Masa Hadapan MBS

MBS menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Media antarabangsa memalukannya dan secara terang-terang mengatakan MBS yang mengarahkan pembunuhan itu. Baru-baru ini menurut laporan Washington Post, MBS pernah menelefon Jared Kushner penasihat senior dan John Bolton, penasihat keselamatan AS bahawa Khashoggi dikaitkan dengan gerakan pengganas yang mungkin sekali bermaksud Ikhwanul Muslimin. AS dan sekutunya semakin menjauhkan diri daripadanya. Syarikat-syarikat multinasional yang berminat melabur di Saudi juga membatalkan keinginan mereka untuk membuat pelaburan besar-besaran. Ini menyukarkan kedudukan MBS yang konon mahu dilihat sebagai seorang yang berwawasan luas dan mahu menjadikan negaranya sejajar dengan negara Barat dengan projek-projek seperti Vision 2030 dan projek kota canggih NEOM. Malahan kedudukannya semakin sukar kerana harga minyak tidak setinggi dahulu dan ramai rakyat Saudi yang menganggur. Foreign Direct Investment (FDI) di Saudi merosot teruk. Rakyat Saudi juga sudah mengeluarkan wang mereka dan menempatkannya di negara-negara lain kerana bimbang dengan keadaan negara mereka yang semakin hari semakin tidak menentu. MBS dilihat sebagai seorang anak muda yang tidak berpengalaman, tergopoh-gapah, bodoh dan brutal. Sikapnya yang terburu-buru ini tidak disukai oleh pelabur kerana mereka mahukan kestabilan politik dan ekonomi.

Sebelum ini, MBS telah melakukan beberapa tindakan gopoh yang menyusahkan berbagai pihak malah merugikan Saudi. Di antaranya ialah tindakannya memulakan peperangan di Yaman yang sehingga kini tidak berkesudahan, menelan perbelanjaan yang besar malah media melaporkan ribuan terbunuh, kebuluran serta penyakit mencapai tahap yang kronik di Yaman. Peperangan tersebut dikecam oleh berbagai pihak termasuk AS dan Bangsa-bangsa Bersatu. AS telah mengeluarkan kenyataan supaya perang itu dihentikan. Tindakan memboikot Qatar tidak hanya menyukarkan Qatar tetapi merugikan ekonomi Saudi. MBS juga mahu memerangi Qatar tetapi telah dihalang untuk berbuat demikian. Di samping itu, MBS turut mengarahkan pembinaan terusan yang memisahkan Saudi dan Qatar kononnya sebagai suatu cara untuk melumpuhkan Qatar. MBS juga mengarahkan ribuan orang yang dianggap mengancam kekuasaannya ditangkap dan dipenjarakan termasuk kerabat diraja, usahawan terkenal, aktivis wanita, blogger dan ulama’. Ada di antara mereka yang meninggal dunia di dalam penjara setelah diseksa. Pada bulan Ogos 2018 Saudi juga telah membuat tindakan tergesa-gesa dalam hubungannya dengan Kanada ekoran daripada kenyataan negara itu yang mengkritik penahanan blogger Saudi, Raif Badawi dan adiknya. Saudi menuduh Kanada campur tangan dalam urusan negaranya. Duta Kanada telah diusir keluar. Hubungan dagangan dihentikan kecuali penjualan minyak. Kesemua 16 ribu pelajar Saudi yang belajar di Kanada dengan biasiswa kerajaan Saudi diarahkan pulang. Warga Saudi yang mendapat rawatan di hospital Kanada juga diarahkan pulang. Sikap MBS yang terburu-buru menyusahkan sekutunya. Apa yang membuatkan MBS semakin berani ialah kerana Trump memberi lampu hijau kepada tindakannya yang kejam. Di samping itu, orang-orang kanannya juga sanggup melakukan kekejaman tersebut tanpa rasa bersalah. Ditambah lagi MBS juga sering mendapat tunjuk ajar dari Mesir dan Emiriah Arab Bersatu yang bersikap kejam terhadap penentang mereka. Pembunuhan Khashoggi mengeruhkan lagi keadaan. Walaupun MBS menafikan keterlibatannya malah mengatakan dia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan mengatakan bahawa siasatan terperinci akan dilakukan serta Saudi akan bekerjasama dengan pihak terbabit untuk merungkai pembunuhan itu, tiada siapa yang mempercayainya. Ramai yang melihat tangan MBS berlumuran dengan darah Khashoggi.

Beberapa kemungkinan akan terjadi ke atas MBS

(1) Bagi MBS dan AS, mereka berharap dunia akan melupakan pembunuhan itu dan berurusan seperti biasa dengannya. Kemungkinan ini tidak akan berlaku kerana walaupun Saudi merupakan lubuk wang bagi ramai pihak namun AS yang menjadi sekutunya dan penjamin Saudi (sehinggakan sebelum pembunuhan itu Trump pernah berkata dengan bongkak bahawa jika Amerika tidak melindungi Saudi, kerajaan Saudi sudah tentu akan tumbang dengan cepat) tidak mahu terpalit dengan kebodohan Saudi. Sikap MBS mengganggu kelancaran strategi AS di Timur Tengah dan AS tidak mahu kebodohan MBS menyukarkan kedudukannya.

(2) Kemungkinan bahawa MBS akan meletakkan jawatannya tidak mungkin berlaku kerana perwatakannya yang ego. MBS dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang sanggup berbuat apa sahaja untuk memuaskan nafsunya. Bapanya yang berusia 82 tahun juga sudah nyanyuk serta lemah dan tidak dapat mengawal tindakannya. Setelah Saudi mengakui bahawa Khashoggi dibunuh, Raja Salman malah meminta MBS menyusun semula perisikan Saudi. Sebelum ini beberapa tindakan MBS dilakukan tanpa berunding dengan bapanya. Tindakan berani MBS memenjarakan beberapa orang kerabat diraja dalam hotel mewah dan meminta mereka membayar wang tebusan mengejutkan Saudi kerana ia merupakan suatu tindakan berani yang tidak pernah dilakukan. MBS juga mengumumkan penyenaraian syarikat Aramco iaitu syarikat minyak terbesar di dunia tetapi kemudian dibatalkan oleh bapanya. MBS mengiktiraf Israel tetapi kemudian disanggah oleh bapanya. Perisikan Jerman beberapa tahun lepas juga mendedahkan bahawa MBS ialah seorang yang tidak boleh dipercayai. Tindakan MBS juga diprotes oleh kabilah-kabilah yang rapat dengan kerabat diraja. Walaupun kadangkala terdapat percanggahan pendapat antara MBS dan bapanya tetapi Raja Salman kelihatan tidak akan menurunkannya. Beberapa nama telah disebutkan untuk menggantikan MBS tetapi belum terdapat tanda-tanda bahawa Raja Salman akan berbuat demikian. Usaha untuk mengawalnya dengan menempatkan penasihat-penasihat daripada kalangan kerabat diraja juga dilihat oleh berbagai pihak sebagai langkah yang tidak berkesan kerana kedegilan MBS yang tidak mahu menerima nasihat.

(3) Kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku untuk menggulingkan MBS. Ini merupakan kemungkinan yang paling kuat. Bapa saudara MBS iaitu Ahmed bin Abdul Aziz al-Saud baru sahaja pulang ke Saudi. Dia seorang pengkritik MBS. AS dan Britain telah memberi jaminan kepada Ahmed bahawa dia akan dilindungi. Media sudah membuat spekulasi bahawa Ahmed akan terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan MBS. Ada juga yang berpendapat dia akan terlibat dalam proses mengawal kerakusan MBS. Malah diramalkan akan berlaku pertumpahan darah kerana MBS tidak akan begitu mudah diketepikan. MBS juga sering berada di kapal layar mewah miliknya kerana takut jika dia berada di istana, kemungkinan rampasan kuasa yang berlaku menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan diri. AS juga mengenakan tekanan kepada MBS dengan mengarahkan MBS membebaskan anak Khashoggi dan membenarkannya datang ke AS. Menteri Luar Negeri Amerika Mike Pompeo, juga telah datang ke Arab Saudi untuk menemui MBS dan telah memberi amaran kepada MBS supaya mengawal tingkah lakunya kerana ia akan menjejaskan lagi keadaan jika dia menjadi Raja Saudi. Pengarah CIA, Gina Haspel telah pergi ke Turki untuk menemui perisikan Turki semata-mata untuk mendengar sendiri rakaman pembunuhan Khashoggi dan melaporkan hasil siasatannya kepada Trump. Sumber-sumber yang terdekat dengan MBS mengatakan MBS ialah orang yang tidak mahu mendengar nasihat dan ini menyusahkan AS. Sebelum AS menggulingkan MBS, mereka perlu mencari pengganti yang sesuai yang akan melaksanakan agenda AS.

Buat masa sekarang, kedudukan MBS masih lagi utuh tetapi ia tidak akan bertahan lama. Kerabat diraja Saudi dan pihak-pihak yang berkepentingan menaruh dendam terhadap MBS. Senario kekacauan dan huru-hara di Saudi akan membuatkan umat Islam di Saudi khususnya sedar bahawa jika mereka terus diperintah oleh pemimpin yang tunduk kepada AS, mereka akan terus berada dalam kehinaan. Selama ini ramai di antara mereka leka kerana dibuai dengan kemewahan dan keselesaan tetapi semua perkara itu akan berakhir. Dengan izin Allah SWT, mereka akan sedar bahawa tiada pilihan bagi mereka selain kembali kepada Islam, bersatu dengan umat Islam di seluruh dunia dan hidup dalam keadaan yang diredhai Allah SWT dalam sebuah negara Khilafah. Allah SWT Maha Perkasa dan tidak ada siapa pun, sama ada MBS mahu pun AS akan mampu menghalang perancanganNya seperti firman-Nya yang agung:

وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

“Mereka membuat makar (perancangan jahat) dan Allah membuat (membalas) makar (mereka) dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas makar” [TMQ al-Anfal (8):30].

Idris Syafiee
Aktivis HTM