Pemerintah Sebenarnya Tidak Pernah Serius Tangani Masalah Arak

Pengumuman oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengenai larangan penjualan minuman keras di kedai serbaneka baru-baru ini disambut baik oleh seluruh lapisan masyarakat, yang rata-rata menyangka bahawa larangan ini meliputi semua jenis arak. Setelah mendapat kecaman dari golongan sekular dan non-Muslim, Annuar kemudiannya membuat penjelasan bahawa bir masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta kedai serbaneka, namun perlu mengikut tempoh waktu ditetapkan [Sinar Harian].

Garis panduan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penjualan minuman keras di kedai serbaneka ini bukanlah sesuatu perkara baharu. Apa yang mencetuskan isu adalah pindaan yang dibuat terhadap garis panduan tersebut berhubung penjualan bir di beberapa premis yang bakal berkuatkuasa pada 1 Oktober 2021.

Jika diteliti, larangan penjualan arak di kedai serbaneka yang menjadi isu ini sebenarnya merujuk kepada minuman arak yang lebih tinggi kandungan alkoholnya atau dikenali sebagai liquor. Manakala minuman arak murah yang rendah kandungan alkoholnya (seperti bir) masih dibenarkan penjualannya di kedai serbaneka.

Garis panduan ini besar kemungkinannya dikeluarkan ekoran peningkatan kes kemalangan melibatkan korban nyawa disebabkan oleh pemandu mabuk, di samping ingin mengurangkan insiden kacau ganggu oleh individu yang mabuk.

Namun, persoalan yang seharusnya dibahaskan bukanlah tahap alkohol dalam minuman, tetapi keharaman arak serta jual-belinya tersebut secara terbuka, yang jelas bercanggah dengan syarak. Rasulullah (saw) telah bersabda:

“Apa yang banyak memabukkan, maka yang sedikitnya pun adalah haram” [HR Abu Daud, al-Tirmizi, dan Ibn Majah].

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda;

“Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فَرَقُ) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram” [HR al-Tirmizi dan Abu Daud].

Sesungguhnya pemerintah yang ada sekarang tidak pernah serius untuk menyelesaikan isu pemandu mabuk, kerana di belakang kilang-kilang arak yang tersergam indah di Malaysia ini, ada “habuan” yang tersalur kepada pemerintah. Jika ada yang kelihatan cuba menyelesaikan masalah pun, mereka tidak pernah merujuk kepada Islam sebagai solusi. Walhal satu-satunya solusi bagi setiap permasalahan ialah Islam.

Dari segi meminum arak, walaupun orang-orang kafir dibenarkan meminumnya menurut Islam, namun hendaklah secara tertutup. Itu pun jika tiada larangan dalam agama mereka untuk meminumnya. Non-Muslim yang didapati bersalah meminum arak secara terbuka di tempat umum akan dikenakan uqubat (hukuman) di bawah takzir menurut majoriti mazhab.

Dalam mazhab Syafie, Imam Nawawi rahimahullah berpendapat orang kafir tidak dikenakan hukuman kerana minum khamar (arak) melainkan jika ada larangan agama mereka untuk minum khamar. Namun jika mereka menzahirkan hal tersebut maka hendaklah dihukum takzir kerana mereka telah menzahirkan kemungkaran dalam negara Islam [Muhazzab II:256].

Manakala dari sudut jual-beli, minuman syaitan itu diharamkan daripada dijual-beli secara terbuka, termasuklah oleh dan kepada orang-orang kafir, apatah lagi untuk dihasilkan dan dijual-beli pada skala industri. Industri arak itu sendiri haram di sisi Islam.

“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamr sepuluh golongan: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].

Daripada hadis ini juga, satu kaedah syarak telah diambil iaitu:

“as-sina’atu ta’khuzu hukma ma tuntijuhu” (status hukum kilang/industri adalah mengikut produk yang dihasilkannya).

Walaupun perahan (jus) buah-buahan asalnya adalah mubah (harus), namun ia diharamkan ketika melakukan pemerahan untuk proses membuat arak. Jadi, kilang pemprosesan arak adalah jelas haram menurut Islam.

Atas keharaman inilah, maka kilang-kilang arak yang sedia ada kini wajib ditutup. Inilah isu yang seharusnya dilihat dan dibuat keputusan oleh pemerintah. Kilang arak wajib ditutup dan penjualan arak secara terbuka wajib dihentikan segera, kerana kesemuanya adalah haram. Dari sinilah berpuncanya pemandu mabuk dan lain-lain kemafsadatan yang dapat kita saksikan dalam masyarakat akibat arak.

Islam diturunkan bertujuan untuk membawa rahmat ke sekalian alam dengan mewujudkan kemaslahatan (jalb al-mashalih) dan mencegah kerosakan (dar’u al-mafasid) dalam masyarakat. Hanya melalui penerapan hukum syarak yang menyeluruh oleh negara, barulah kesejahteraan dan rahmah dapat tercapai.

Penguatkuasaan hukum syarak oleh negara, dan kawalan ke atas pengambilannya oleh orang bukan Islam mampu menghalang daripada berleluasanya kemafsadatan akibat pengambilan minuman syaitan ini. Inilah penyelesaian tuntas yang sepatutnya diambil oleh negara sekiranya benar-benar serius ingin menangani masalah yang timbul akibat berleluasanya arak ini.

Namun, kita tahu mereka tidak pernah serius, kerana jika mereka serius dan takutkan Allah, sudah lama mereka mengharamkan kilang dan penjualan arak di Malaysia ini.

Solusi apa lagi yang ada jika bukan dengan tegaknya negara Khilafah, yang akan menerapkan hukum Allah secara kaffah?

Wallahu a’lam.

Affan
Aktivis HTM