Pemesongan Makna Hakiki Islâm Rahmatan li al-‘Alamin

Islam merupakan Deen yang memuliakan manusia, kehidupan dan alam semesta kerana Islam diturunkan oleh Zat Yang Maha Mulia. Islam hadir sebagai sebuah sistem yang terunggul dan unik. Islam menyelesaikan segala masalah manusia tidak kira bagaimanapun kompleksnya dengan sempurna dan sudah tentunya penyelesaian daripada Islam ini berbeza 100% dengan ideologi kapitalisme dan sosialisme.

Namun demikian, umat Islam ketika ini tidak henti-henti diserang secara ideologi dan pemikiran. Umat Islam menghadapi serangan pemikiran yang gigih oleh kuffar barat dan konco-konco mereka yang merupakan musuh dalam selimut terdiri dalam kalangan umat Islam sendiri. Usaha ini ialah pemesongan makna terhadap kalimah-kalimah yang diambil daripada al-Quran. Mereka mengambil nas-nas syarak daripada al-Quran dan kemudiannya dipesongkan dengan terjemahan yang sesat lagi menyesatkan. Mereka mengaburkan ajaran Islam secara licik dengan menyelitkan pemahaman liberalisme, moderat dan pluralisme secara langsung mahupun tidak langsung. Salah satunya ialah syubhat disebalik ungkapan Islam Rahmatan li al-‘Alamin.

Realitinya, istilah ini semakin giat digunakan oleh penganut sekular dan liberal dalam menyebarkan syubhat seolah-olah Islam membenarkan fahaman kufur seperti pluralisme, kebebasan beragama, kebebasan tingkah laku dan lain-lain. Istilah ini juga dijadikan sebagai alasan agar tidak diterapkan hukum-hukum Allah SWT secara sempurna dan seterusnya mencaturkan Islam mengikut acuan yang dikehendaki oleh orang-orang kafir.

Oleh hal yang demikian, sekiranya ada kelompok yang ikhlas untuk memperjuangkan penerapan hukum Islam secara keseluruhan dalam negara ini, maka mereka ini akan digelar sebagai kelompok Islam fundamentalis dan radikal. Hal ini tidak lain adalah untuk menimbulkan stigma negatif dalam kalangan masyarakat terhadap kelompok ini yang hakikatnya mengajak masyarakat mengamalkan ajaran Islam sebenar. Apa yang pasti, tujuan semua ini dilakukan adalah untuk membina ‘pagar berduri’ antara masyarakat dengan perjuangan Islam menyeluruh (kaffah).

Mudah-mudahan umat Islam segera sedar akan usaha penyesatan ini dan kembali ke pangkal jalan.

Makna Hakiki Islam Rahmatan li al-‘Alamin

Islam telah menetapkan setiap peraturan yang meliputi hubungan manusia dengan penciptanya (akidah dan ibadah), tentang dirinya sendiri (makanan, minuman dan pakaian) dan juga sesamanya (muamalah dan uqubat). Pendek kata, Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia tanpa tertinggal satu sudut pun. Kita diperintahkan untuk memeluk Islam secara kaffah, tidak hanya sebahagian sahaja. Dengan kata lain, tidak boleh seseorang itu memeluk Islam dalam bentuk spiritual dan ritualnya sahaja tetapi meninggalkan urusan politik Islam atau sebaliknya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhan) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Sebagai Deen yang diturunkan oleh Dzat Yang Maha Sempurna, Islam memiliki ciri-ciri yang terbaik. Allah SWT menegaskan dalam kitabNya,

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ

Kami tidak mengutus engkau [Muhammad], melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam [TMQ al-Anbiya’ (21): 107].

Ayat ini menjelaskan, bahawa tujuan Rasulullah SAW diutus ialah agar risalah-Nya menjadi rahmat bagi manusia. “Rahmat bagi manusia” bermakna bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW yakni Islam diturunkan untuk mewujudkan kemaslahatan (jalb al-mashalih) bagi manusia dan mencegah kemafsadatan (dar’u al-mafasid) dari mereka. Dengan kata lain, syariat Islam bertujuan untuk mewujudkan kemaslahatan dan mencegah kemafsadatan.

Namun begitu, wajib difahami tujuan yang dimaksudkan ini bukanlah illat (alasan) kepada penerapan syariat. Dengan kata lain, mewujudkan jalb al-mashalih dan dar’u al-mafasid sebenarnya ialah natijah (hasil) daripada penerapan syariat secara kaffah. Natijah (hasil) jelas berbeza dengan illat (alasan) pensyariatan hukum. Sebab, hasil merupakan konsekuensi daripada penerapan syariah, manakala alasan pensyariatan hukum ialah perkara yang ada sebelum wujudnya hukum syariat dan menyertai setelah hukum syariat itu wujud.

Pemeliharaan agama (hifz ad-din), jiwa (hifz an-nafs), akal (hifz al-‘aql), harta (hifz al-mal), keturunan (hifz an-nasl), kehormatan (hifz al-karamah), keamanan (hifzh al-amn) dan negara (hifzh ad-daulah) sememangnya disebut sebagai hasil penerapan syariah. Semua itu tidak mampu diwujudkan secara terpisah antara satu dengan yang lain melainkan diwujudkan dalam sistem syariah secara kaffah. Sebagai contoh, agar terpeliharanya harta maka tidak boleh diterapkan hukum potong tangan sahaja sementara masalah kemiskinan dan ketempangan ekonomi tidak diselesaikan dengan sistem ekonomi Islam. Seterusnya, sistem ekonomi Islam dan hukum potong tangan tidak boleh disempurnakan kecuali dengan sistem pemerintahan Khilafah. Jelasnya syariat Islam merupakan satu kesatuan.

Oleh itu, kerahmatan Islam bagi alam semesta (Islam Rahmatan li al-‘Alamin) merupakan natijah daripada penerapan Islam secara keseluruhan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Kerahmatan Islam tidak akan terwujud jika Islam hanya diambil sebagai simbol, slogan dan aksesori semata-mata. Dengan kata lain, kerahmatan Islam tidak akan ada jika Islam hanya diambil ajaran spiritual dan ritualnya saja, sementara sistem politiknya ditinggalkan dan diambil pula sistem politik kapitalisme ataupun sosialisme yang jelas bertentangan dengan Islam.

Kesimpulannya Islam Rahmatan li al-‘Alamin ialah hasil penerapan Islam secara kaffah iaitu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang tidak lain hanya akan berlaku dalam sistem pemerintahan Khilafah. Inilah Islam Rahmatan li al-‘Alamin sebagaimana yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW. Inilah Islam yang benar-benar pernah diterapkan selama 14 abad di seluruh dunia; yang pernah memimpin umat manusia, dari Barat hingga Timur, Utara hingga Selatan.