Pemimpin kafir lebih “gentleman” berbanding Muslim
Tiba-tiba sahaja dunia dikejutkan dengan peletakan jawatan Liz Truss, Perdana Menteri United Kingdom (UK) hanya setelah 45 hari memegang jawatan, yang menjadikannya PM tersingkat berkuasa dalam sejarah negara itu.
Namun, bagi yang memerhatikan perkembangan politik di negara Eropah itu, mungkin berita tersebut bukanlah mengejutkan pun, kerana tekanan untuk Liz Truss meletak jawatan sebenarnya telah datang dan mula memanas daripada kalangan ahli partinya sendiri.
Sebelum peletakan jawatan beliau, Menteri Dalam Negeri, Suella Braverman telah meletek jawatan hasil beberapa siri kenyataannya yang bersifat kontroversi, yang sekali gus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Truss.
Sebelum Truss menjadi PM yang paling singkat dalam sejarah UK, Braverman telah mencipta sejarah menjadi Menteri Dalam Negeri yang tersingkat iaitu hanya selama 43 hari memegang jawatan.
Kini, pentadbiran negara yang pernah menjadi nombor satu dunia itu diambil alih oleh Rishi Sunak, yang juga mencipta sejarah tersendiri sebagai PM pertama daripada keturunan Asia yang menduduki jawatan tertinggi di negara itu.
Pergolakan yang berlaku di UK memang meruncing, yang bukan sahaja melibatkan ahli-ahli politik, tetapi juga kedudukan monarki negara itu, khususnya setelah kematian Elizabeth II.
Perhatian dunia memang terpusat ke negara tersebut sejak kebelakangan ini, sehingga ramai yang melahirkan pandangan bahawa tidak mustahil yang monarki akan tumbang, dan UK akan mengalami krisis kepimpinan yang lebih parah selepas ini.
Fakta bahawa Rishi Sunak menjadi PM ketiga dalam masa tidak sampai dua bulan, ini menjadi berita dan perbualan hangat di mana-mana, yang seolah-olah menjadi satu normal baru di negara yang pernah menjajah Malaysia itu.
Apa pun yang berlaku atau bakal berlaku, satu perkara yang sangat ketara ialah Liz Truss jauh lebih “gentleman” berbanding ramai pemimpin dunia Islam pada hari ini.
Truss mengakui bahawa dia telah gagal dalam memperbaiki negaranya, khususnya dari segi ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, yang mana itulah janjinya ketika kempen. Lalu dia tanpa malu dan ragu terus meletak jawatan.
Manakala penguasa kaum Muslimin, walaupun telah terbukti gagal dalam banyak aspek, terbukti menambah kesengsaraan rakyat di sepanjang pemerintahan mereka, terbukti penipu, kaki rasuah, fasiq, menzalimi rakyat dan sebagainya, mereka sebolehnya tidak akan melepaskan jawatan, dan mahu terus berkuasa sampai mati. Bahkan mereka yang sudah jatuh dengan hina sekali pun masih tetap berusaha untuk berkuasa semula.
Begitulah betapa “gentleman”nya para penguasa kafir, dan betapa tamak dan jahatnya para penguasa Muslim, dilihat dari aspek ini.
Wallahu a’lam.