Yang wajib berkuasa ialah Islam, bukan Melayu-Islam

Pesta demokrasi di Johor telah pun berakhir yang menyaksikan UMNO-BN keluar sebagai pemenang dengan kemenangan bergaya. Gembira dengan kemenangan satu hal, namun apa yang lebih menggembirakan dari itu ialah mungkin ketika memikirkan segala habuan duniawi yang bakal dinikmati selepas ini.

Formula “Melayu-Islam” memerintah yang dicetus dan dimainkan oleh pihak-pihak tertentu nampaknya berjaya mencapai objektif, sehingga pihak tersebut bergembira walaupun kalah dalam pesta kali ini. Di samping itu, kegembiraan yang sama mungkin turut dikongsi oleh sebahagian umat Islam yang berfikiran patriotik dan berpegang kepada sentimen bangsa.

Persoalan mendasar kini ialah, wajarkah umat Islam bergembira dengan kemenangan besar Melayu-Islam ini? Jika berfikir singkat ya, memang wajar, sekiranya kayu ukur kejayaan itu diletak pada bangsa. Namun, benarkah kayu ukur berdasarkan bangsa yang kita perlu dan mahu pegang? Lalu di mana kita mahu meletakkan akidah dan syariat jika ukuran benar-salah diletak kepada bangsa?

Suka atau tidak, sedar atau tidak, diakui atau tidak, hakikatnya, kemenangan UMNO-BN bukanlah kemenangan Islam. Ia adalah kemenangan parti sekular dalam sebuah sistem yang berpaksikan sekularisme. Walaupun sosok tubuh yang menang dan bakal menduduki kerusi pemerintahan itu adalah orang Melayu yang beragama Islam, namun realiti yang perlu diterima ialah ia bukan kemenangan Islam. Dengan kata lain, walaupun orang Melayu yang beragama Islam memerintah, tetapi bukan agama Islam itu sendiri yang memerintah. Perbezaannya sangat mendasar.

Di bawah sistem demokrasi, parti mana pun yang menang, Islam tetap menjadi agama “yang diperintah”, bukan agama “yang memerintah”. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, telah terbukti bahawa Islam tidak pernah dapat diterapkan secara kaffah dalam sistem demokrasi walaupun parti Islam telah menang dalam pilihan raya. Maka apatah lagi jika yang menang ialah parti sekular yang sudah terkenal tidak mahu menerapkan Islam. Di bawah demokrasi, Islam sentiasa tertakluk kepada kehendak dan kelulusan manusia. Seharusnya manusialah yang wajib tunduk kepada Islam, namun tidak demikian halnya dengan demokrasi.

Atas dasar itu, umat Islam perlu sedar bahawa perjuangan mereka dalam demokrasi tidak akan memenangkan Islam. Umat Islam juga perlu sedar bahawa perjuangan Islam bukanlah semata-mata untuk memenangkan “orang Islam” dan tidak seharusnya terhenti sekadar memastikan “orang Islam” berjaya sampai ke pemerintahan, kerana tuntutan syarak yang sebenar adalah untuk memastikan Islam itu sendiri sampai ke pemerintahan. Umat Islam wajib berusaha untuk menjadikan Islam sebagai Deen yang memimpin dan mengatur negara, bukannya sekadar wujud sebagai agama yang tunduk kepada Perlembagaan, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, Muslim mana pun yang berkuasa namun memerintah dengan sistem perundangan sekular (kufur) adalah sesuatu yang amat berbahaya dan tragis. Berbahaya kerana dia telah melalaikan amanah besar yang Allah letakkan ke atasnya yang akan membawa azab kepadanya di akhirat sekiranya tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Atas dasar itu, UMNO-BN seharusnya ingat bahawa di sebalik kegembiraan menikmati kemenangan besar di Johor, ada azab yang menanti apabila kemenangan itu disalahgunakan. Pereka dan pemain sentimen Melayu-Islam juga seharusnya ingat bahawa apa yang wajib atas kita semua ialah memastikan Islam itu sendiri sampai ke pemerintahan, bukannya semata-mata orang Melayu-Islam. Tanpa Islam, orang Melayu tidak ada gunanya.

Wallahu a’lam.