Pemimpin Malaysia Perlu Ahli Tafsir Perlembagaan atau Ahli Tafsir Al-Quran?
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, semua Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa mendengar apa-apa kes berkaitan tafsiran Perlembagaan Persekutuan atau perlembagaan negeri-negeri.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi juga mempunyai bidang kuasa mendengar apa-apa kes yang berkaitan atau berbangkit mengenai Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri.
“Rayuan boleh dibuat terhadap kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
“Mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan mengenai kuasa menyelesaikan kes yang berkaitan di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Mohamed Nazri berkata demikian dalam jawapan kepada soalan asal Senator Datuk Ahmad Rusli Iberahim di Dewan Negara di sini hari ini mengenai keperluan mewujudkan Mahkamah Perlembagaan berdasarkan suasana masa kini dan kedudukan masa depan.
Jelas beliau, mengikut Perkara 130 Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa memberi pendapat tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang telah berbangkit, atau yang tampak pada Yang di-Pertuan Agong mungkin berbangkit.
“Setelah Yang di-Pertuan Agong merujuk soal tersebut kepada Mahkamah Persekutuan, mahkamah itu hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujuk itu di mahkamah terbuka,” katanya.
Kepada soalan tambahan Ahmad Rusli, Mohamed Nazri menjelaskan, tidak berbangkit soal kurang kepakaran atau kurang hakim mendengar kes perlembagaan kerana terdapat 50 atau 60 hakim Mahkamah Tinggi.
“Kita tidak menghadapi masalah kurang kepakaran dan hakim dalam menentukan soal perlembagaan ini,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 31/04/2009
Pemimpin Malaysia Perlu Ahli Tafsir Perlembagaan atau Ahli Tafsir Al-Quran?
Pemimpin-pemimpin negara kecoh bila perlembagaan Malaysia tidak dapat ditafsir mengikut kehendak parti pemerintah, dan kecoh juga bila undang-undang tubuh negeri tidak dapat mengikut telunjuk pihak yang gilakan kuasa dan mengesahkan secara pasti ‘rampasan kuasa’ oleh puak-puak yang terdesak. Inilah fenomena yang berlaku dalam masyarakat yang tamakkan kuasa, yang mana mereka melihat kuasa politik adalah senjata untuk mempersiapkan diri, mengumpul kekayaan dan menajamkan taring, sedangkan dalam Islam kuasa politik adalah tanggung jawab yang boleh membawa seseorang itu ke syurga ataupun ke neraka. Begitulah beratnya tanggung jawab mengurusi umat dengan hukum-hakam Islam.
Kepada pemimpin yang terlibat dalam penipuan wang rakyat dan kaki rasuah ingatlah sebuah hadis dari Abu Ya’la (ra) bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda “Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati sedangkan dia menipu mereka (umat) maka Allah akan mengharamkannya masuk syurga.” [HR Bukhari & Muslim]
Pemimpin sekarang sibuk memikirkan bagaimana mereka boleh membuat penafsiran perlembagaan yang tepat untuk tujuan mentadbir negara sedangkan pada masa yang sama mereka lupa untuk menafsirkan Al-Quran dan mengambilnya menjadi pentunjuk untuk kehidupan bersosial dan bernegera.
Ciri sistem orang-orang yang rosak ini telah dijelaskan dalam Al-Quran, yang mana mereka ini membina kebaikan atas asas yang rosak dan mereka mendakwa merekalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mencari-cari panduan dan memperbaikinya tapi saying sekali, mereka telah melakukakan kesalahan sejak awal lagi.
‘Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: “Sesungguhnya kami dalah orang-orang yang mengadakan perbaikan”. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar’ [TMQ Surah Al-Baqarah (2) : 11-12]
Apakah belum tiba masanya untuk pemimpin kita bergerak menafsirkan Al-Quran untuk menjadikannya sebagai panduan hidup kita semua serta menjadikannya sebagai sumber perlembagaan dan perundangan negara? Ingatlah, Allah pasti akan menggantikan kalian, wahai pemimpin yang lupa, dengan orang yang lebih baik dari kalian. Yang pastinya, khilafah akan kembali ke pangkuan umat. Kaki rasuah, kaki mabuk, kaki perempuan dan kaki penipu akan dihinakan oleh Allah SWT, sebagaimana mereka (para pemimpin ini) dahulunya menghina para pendakwah yang ikhlas di jalan Allah.