Pemimpin Wajib Terapkan Islam Dan Tidak Cukup Sekadar Turun Padang

altContohi PM dampingi rakyat – Agong
 

KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin hari ini menitahkan para pemimpin agar mencontohi Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka dengan lebih dekat.  Titah Seri Paduka, melalui cara itu pemimpin dapat menjalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat.  “Beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan barisan Jemaah Menteri beliau kerana sejak 11 bulan lalu, kerajaan beta di bawah kepimpinan beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi kesejahteraan rakyat,” titah Seri Paduka. 

Tuanku Mizan bertitah demikian ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.   Ini merupakan kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah perasmian sejak Najib memegang tampuk pemerintahan negara.  Tuanku Mizan menyambut baik Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang diilhamkan Perdana Menteri dan komitmen-komitmen kerajaan untuk melaksanakan program transformasi demi kesejahteraan rakyat.  “Alhamdulillah, ekonomi negara kini semakin pulih daripada kesan kemelesetan global dengan Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat 2009 kembali mencatat pertumbuhan positif 4.5 peratus iaitu lebih baik daripada unjuran tiga peratus.

“Perkembangan yang menggalakkan ini antara lain adalah hasil pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion serta disokong permintaan dalam dan luar negara yang semakin kukuh,” titahnya.  Bagi Seri Paduka, hikmah di sebalik kemelesetan ekonomi global adalah semua pihak berusaha menggunakan sepenuh sumber dan peluang yang ada untuk membawa negara keluar daripada kesukaran tersebut.  Sehubungan itu, titah Seri Paduka, semua program dan projek kerajaan akan berasaskan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi memastikan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan memerlukan menikmati hidup yang lebih selesa.   Titahnya, kerajaan akan melaksanakan pendekatan kebajikan produktif bagi mengurangkan kebergantungan golongan berpendapatan rendah kepada bantuan kebajikan.  Dalam titah ucapan kira-kira sejam itu, Seri Paduka menyentuh pelbagai isu termasuk penstrukturan subsidi, penguasaan Malaysia dalam perbankan Islam, liberalisasi sektor pembuatan dan perkhidmatan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain sektor pelancongan dan pertanian.  Mengenai subsidi, Tuanku Mizan meminta rakyat agar berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan memandangkan sistem sekarang bukan sahaja dinikmati oleh golongan sasar bahkan mereka yang tidak layak seperti golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.  “Pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Bagaimanapun kumpulan sasar akan terus dibantu agar tidak terbeban,” titah Seri Paduka.   Dalam perkembangan lain, Yang di-Pertuan Agong menyeru semua pemimpin agama supaya memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara keharmonian beragama di kalangan penganut agama masing-masing.  Seri Paduka mengingatkan agar perpaduan dan saling hormat-menghormati di antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara terus dipelihara.  “Amalan berbaik sangka, saling menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi.  “Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan hendaklah dihormati,” tegas Seri Paduka.

Sumber: Utusan Malaysia 15/03/10
 
Pemimpin Wajib Terapkan Islam Dan Tidak Cukup Sekadar Turun Padang

Apabila kita ingin menilai kedudukan seseorang pemimpin itu sebenarnya tidak cukup dengan hanya berdasarkan kepada samada pemimpin tersebut turun padang ataupun tidak. Apa yang  sepatutnya dilihat dan dijadikan kayu ukur yang paling besar dan yang paling utama bagi sesebuah pemerintahan itu adalah persoalan sistem dan undang-undang yang dipakai dan diterapkan oleh pemerintah tersebut.

Sebagai seorang muslim yang diberikan amanah dan kuasa untuk memerintah, sewajibnya Najib selaku PM menyedari kewajiban besar menerapkan Islam yang terletak di atas bahu beliau. Nsmun kini, setelah hampir setahun Najib berkuasa, beliau masih terus setia dan begitu taat menerapkan sistem pemerintahan yang ditinggalkan oleh penjajah.  Buktinya, lihatlah kepada sistem ekonomi yang digunapakai oleh Malaysia hari ini. Begitu juga sistem penghakiman, sistem sosial, sistem pendidikan, polisi luar negara dan sebagianya. Kesemua sistem-sistem yang dijalankan oleh Najib pada hari ini adalah sistem kufur berasaskan ideologi Kapitalisme yang rosak.

Hakikatnya, tidak ada peringatan mahupun pujian yang lebih wajar diberikan kepada Najib selaku orang yang paling berkuasa di Malaysia saat ini melainkan firman Allah SWT:

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. [TMQ al-Mai’dah (5) : 44].

 “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Mai’dah (5) : 45].

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ al-Mai’dah (5) : 47]