Penamaan calon: Senyuman lebar di musim tengkujuh
Setelah selesai proses penamaan calon untuk PRU15 hari ini (05/11/2022), keriangan jelas terbayang di wajah kesemua calon yang telah berjaya didaftarkan di keseluruhan pusat penamaan calon.
Walaupun terdapat segelintir calon yang berdaftar atas tiket parti lain atau tiket bebas akibat “bergaduh” dengan parti asalnya, namun ini tidak sedikit pun menjadi penghalang kepada keceriaan mereka.
Kecuali di Tenom, Sabah, pusat-pusat penamaan calon lain di seluruh negara dilaporkan berjalan lancar, termasuklah pusat-pusat yang dikategorikan sebagai panas.
Dengan penamaan calon ini, gelanggang pilihan raya kini telah dibuka dengan rasminya, yang sekali gus menandakan pesta demokrasi untuk kali ke 15 bermula dengan rasminya di Malaysia.
Dengan keceriaan yang ditunjukkan oleh kesemua calon dan parti-parti yang bertanding, termasuklah daripada blok pembangkang yang sebelum ini begitu lantang menentang PRU di musim tengkujuh, semua masalah tengkujuh kini seakan-akan telah hilang.
Persiapan semua calon dan parti sekarang ialah untuk memenangi kerusi, yang akan dijadikan keutamaan atas segala-galanya. Semua jentera dan kewangan parti, malah seluruh masa dan tenaga akan digerakkan ke arah kempen habis-habisan demi memenangi sebanyak mungkin kerusi.
Kini, semua pihak telah gembira dan tidak lagi kedengaran rungutan atau isu tengkujuh yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak, seolah-olah musim tengkujuh tidak jadi berlaku. Ternyata, “tengkujuh” hanyalah modal untuk meraih political mileage atau sokongan rakyat bahawa mereka adalah parti atau politikus yang peka terhadap nasib rakyat.
Dengan senyuman lebar setiap calon pada hari penamaan calon pada hari ini, maka musim tengkujuh telah kelihatan seperti tidak ada apa-apa masalah lagi sebenarnya. Inilah “sihir” demokrasi yang telah berjaya mengalihkan perhatian manusia kepada kekuasaan melebihi segala-galanya.
Wallahu a’lam.