Pencalonan Indira Untuk Anugerah Wanita Berani – Provokasi AS Terhadap Umat Islam

Pencalonan M Indira Gandhi bagi Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir pada 28 Mac lalu merupakan satu tindakan yang berbaur provokasi terhadap umat Islam di negara ini khasnya.

Pada Januari lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Indira berhubung isu pengislaman anak-anak secara sepihak oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan kira-kira sedekad lalu.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini menerima respon umum yang pelbagai. Ada yang melihat kes ini sebagai satu bentuk keadilan buat seorang ibu yang dilarikan anaknya, manakala terdapat pula yang membantah keputusan mahkamah kerana bertentangan dengan pandangan syarak.

Pihak yang menyambut baik keputusan ini juga melihatnya sebagai satu bentuk kejayaan dalam menyelesaikan kekusutan dalam isu bidang kuasa antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah berhubung apa-apa isu yang berkaitan dengan agama Islam. Kejayaan ini juga dilihat berjaya “menyucikan” nama baik Islam daripada fitnah dan persepsi buruk sebagai sebuah agama yang tidak toleran terhadap ajaran-ajaran agama lain.

Wujudnya pandangan sebegini bukanlah suatu yang menghairankan dalam sebuah sistem sekular yang cuba memisahkan Islam daripada urusan kehidupan serta mengehadkan skop hukum syarak dalam hal-hal tertentu semata-mata. Bahkan dalam negara demokrasi sekular kapitalis ini, hukum Islam bukan sahaja tidak diamalkan sepenuhnya, malahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan diletakkan di bawah berbanding mahkamah sivil.

Dualisme perundangan yang merupakan legasi daripada penjajah British ini telah menyebabkan hukum-hakam Islam tidak diamalkan sepenuhnya, manakala hukum-hakam ciptaan manusia yang berkiblatkan sistem perundangan Barat diletakkan lebih tinggi berbandingnya. Tidak cukup dengan itu, bidang kuasa mahkamah ‘syariah’ juga dihadkan dan dikawal oleh Perlembagaan sehinggakan ada hukum-hukum baru yang langsung tiada asalnya daripada syariat Islam dilaksanakan. Dalam masa yang sama, hudud yang jelas qatie dinyatakan bentuk hukumannya dipinggirkan dan dimodifikasi mengikut batas-batas yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, sebilangan pihak yang membantah keputusan ini pula ada yang menanggapi isu ini berasaskan emosi dan sentimen semata-mata, tanpa memperhatikan permasalahan dasar yang mengizinkan perkara sebegini terjadi. Terdapat juga pihak menyedari bahawa kedudukan mahkamah ‘syariah’ di negara ini tertakluk di bawah kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan, lalu berusaha untuk memartabatkan kedudukannya berdasarkan lunas-lunas Perlembagaan itu sendiri.

Sesungguhnya, sentimen dan kecenderungan mereka untuk memartabatkan hukum syarak itu merupakan suatu usaha yang murni, namun malangnya tidak kena pada tempatnya kerana secara tidak langsung mereka telah memperakui ketinggian Perlembagaan Persekutuan sehingga dalam memperjuangkan kedudukan hukum syarak sekalipun dilaksanakan mengikut batas yang digariskan oleh perlembagaan warisan Suruhanjaya Reid ini.

Dari satu sudut, jelaslah betapa sistem yang diterapkan pada hari ini berjaya ditancapkan ke dalam benak pemikiran umat Islam di negara ini sehinggakan dijadikan rujukan dan panduan dalam memartabatkan hukum Islam. Kita juga dapat melihat bahawa umat ini telah dialihkan perhatian daripada melihat kepada permasalahan akar yang mencambahkan kes-kes sebegini, iaitu penerapan sistem demokrasi dan amalan sekularisme sebagai asasnya di negara ini. Sedangkan fokus utama dalam isu ini bukanlah untuk memartabatkan kedudukan mahkamah ‘syariah’ dalam sistem perundangan hari ini, sebaliknya kewujudan sistem yang diterapkan pada hari inilah yang tidak sepatutnya berlaku!

Di sudut lain pula, kita dapat melihat bahawa pencalonan Indira bagi anugerah Wanita Berani oleh AS ini sebagai satu bentuk provokasi yang mengangkat hak kebebasan beragama, iaitu salah satu asas dalam sistem demokrasi hari ini di samping memperlekeh kedudukan hukum Islam di mata masyarakat antarabangsa. Meskipun hal ini tidak dinyatakan secara zahir, namun hakikatnya inilah yang cuba diketengahkan oleh AS. Pencalonan sebegini bukanlah julung-julung kali terjadi, bahkan sebelum ini AS juga pernah mencalonkan seorang transgender warganegara Malaysia bernama Nisha Ayub bagi anugerah yang sama (ironinya Nisha bukanlah seorang wanita).

Kesimpulannya, AS yang mendukung sistem demokrasi kapitalisme pasti akan berusaha memastikan idealisme yang menjadi asas dalam ideologi yang dibawanya itu terus subur diamalkan di segenap penjuru dunia. Justeru, sebarang isu yang boleh menyokong agenda mereka pasti akan diketengahkan. Apatah lagi isu-isu yang boleh memburukkan Islam. Di samping itu, kita juga dapat melihat sebilangan besar umat Islam di negara ini masih lagi gagal untuk keluar dari kepompong sistem warisan penjajah, bahkan ada yang melihatnya sebagai suatu yang lebih mulia berbanding pandangan syarak yang sebenar. Tidakkah kalian menyedarinya?