Pencetus Ummah – apa tanggungjawab dan bagaimana caranya?

pencetus-ummahProgram Realiti TV bersifat Islamik, Pencetus Ummah 2015 musim ketiga telah berakhir dan telah menobatkan peserta dari Pahang, Syed Mohd Bakri Syed Ishak sebagai juara rancangan itu yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000. Manakala tempat kedua menjadi milik Taha Mohd Omar dan Abdul Zaid Abdul merangkul tempat ketiga.

Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2013 yang bertujuan untuk mencari penceramah atau pendakwah yang “versatile” (serba boleh) yang mempunyai matlamat, sesuai dengan temanya yakni sebagai pencetus kepada kebangkitan umat dengan jalan menyebarkan dakwah Islam dalam bentuk yang diharapkan dapat menarik atau memukau perhatian ramai dengan kebolehan yang ada pada peserta atau pemenang tersebut.

Walaupun niatnya mungkin baik dan rancangan ini jauh lebih baik berbanding program realiti TV yang bersifat maksiat, namun persoalannya apakah matlamat yang diingini dapat dicapai dan adakah terdapat usaha-usaha yang berterusan untuk memastikan kejayaan matlamatnya? Kita sangat khuatir yang program ini akhirnya hanya akan melahirkan selebriti yang memang dikenali dan mendapat sambutan serta bayaran yang mahal, namun gagal memainkan peranan mereka yang sebenar sesuai dengan kelebihan yang ada pada mereka.

Ini kerana, persoalan penting yang mesti diperhatikan ialah, adakah kebangkitan umat telah benar-benar tercetus hasil usaha dari usaha penaja dan para peserta ini dan apakah faktor sebenar yang akan mencetuskan kebangkitan umat? Ini kerana, melihat kepada realiti umat Islam pada hari ini, walaupun telah ramai pencetus umat muncul, ternyata umat ini semakin tenat saban hari dengan gejala sosial, jenayah, perzinaan, anak luar nikah, liberalisme, sekularisme dan lain-lain kerosakan ternyata semakin parah. Ini belum lagi melihat kondisi umat di peringkat antarabangsa yang tidak pernah dapat keluar dari masalah, malah sering menjadi mangsa kepada kejahatan kuffar, baik di Barat mahupun Timur.

Di sinilah pentingnya meneliti faktor sebenar yang menjadi penyebab kepada kemunduran dan kerosakan umat Islam serta faktor sebenar yang akan membawa kepada kebangkitan mereka.

Kita akui akan kehebatan dan kebolehan peserta, apatah lagi juara Pencetus Ummah ini yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Namun, mereka memerlukan lebih dari hal tersebut untuk mencetus kebangkitan umat. Selain wajib memiliki sikap zuhud dan keikhlasan, mereka perlu memiliki pemikiran yang benar dan jernih tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan metodologi yang benar untuk membangkitkan umat ini serta mengembalikan kemuliaan mereka.

Tanggungjawab mereka jauh lebih besar dari sekadar menyampaikan ceramah atau motivasi, kerana sesungguhnya kerosakan yang menimpa umat ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem sekular ke atas kita. Sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan yang diterapkan oleh pemerintah pada hari inilah, yang sebenarnya menjadi punca kepada segala masalah yang menimpa umat ini. Ketundukan pemerintah kepada kuffar Barat menyebabkan keadaan bertambah parah.

Atas dasar ini, Pencetus Ummah perlu terlibat dalam parti politik dan kegiatan politik bagi merubah sistem kufur ini kepada sistem Islam, sebagai satu-satunya jalan menuju kepada kebangkitan umat Islam. Firman Allah SWT,

“(Dan) hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan merekalah orang-orang yang menang” [TMQ Ali Imran (3):104].

Satu-satunya metodologi yang benar lagi syarie untuk membangkitkan umat ialah metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kita wajib mengikuti metodologi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, bermula semasa di Makkah, yang seterusnya berjaya membangkitkan masyarakat Jahiliyah sehinggalah berlakunya penghijrahan ke Madinah dan penegakan Daulah Islam. Dengan adanya Daulah Islam, umat Islam bukan sahaja menjadi umat yang bangkit dan mendepani segala tamadun kemanusiaan, malah hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah dan Islam berjaya mendominasi dunia dengan penuh kerahmatan. Umat Islam hanya mengalami kemunduran, kekalahan dan kehinaan setelah runtuhnya Daulah Islam (Khilafah) pada 3 Mac 1924.

Justeru, inilah pemikiran yang perlu ada pada peserta Pencetus Ummah, yakni wajib mengikuti metodologi Rasulullah SAW yang bermula dengan membentuk kutlah (gerakan) di Makkah dan bergerak secara jamaie dalam bidang politik, yang melalui kutlah inilah, Rasulullah dan para sahabat telah berjaya menjadi “pencetus” kepada kebangkitan umat dan seterusnya berjaya mendirikan Daulah Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Wallahu a’lam.