Penculikan oleh Abu Sayyaf: Bebaskanlah tebusan dan berjuanglah dengan benar

Gambar BG 210416 (2)Buat ke sekian kalinya, dilaporkan bahawa kumpulan bersenjata Abu Sayyaf yang beroperasi di selatan Filipina telah bertindak melakukan penculikan dalam rangka mendapatkan wang tebusan. Dalam perkembangan terkini, kumpulan tersebut telah menculik empat warganegara Malaysia di perairan berhampiran Pulau Ligitan pada 1 April lalu, yang sehingga kini masih belum diketahui apa kesudahannya.

Sebelum ini, kumpulan tersebut dikatakan telah bertindak memenggal kepala seorang rakyat Malaysia, Bernard Then pada November tahun lalu kerana keluarganya gagal membayar wang tebusan bagi pembebasannya. Menurut The Star Online (18/04/2016), mereka menjadikan wang tebusan daripada keluarga mangsa penculikan tersebut sebagai dana dalam membantu anggota lain yang sedang berhadapan dengan operasi ketenteraan besar-besaran daripada kerajaan Filipina, khususnya di pulau Basilan.

Jika benar kesemua hal tersebut dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf, sebagai Muslim, mereka sepatutnya menilai kembali dengan mendalam akan segala langkah dan jalan perjuangan yang mereka ambil sama ada menepati syarak atau tidak.

Abu Sayyaf merupakan kelompok bersenjata serpihan daripada pergerakan MNLF (Moro National Liberation Front) yang bertindak mengangkat senjata bagi mewujudkan negara Islam Mindanao yang merdeka. Pengasasnya, Abdurajak Abubakar Janjalani, dilaporkan telah terbunuh dalam insiden tembak-menembak dengan tentera Filipina pada Disember 1998. Setelah kelompok bersenjata ISIS mengisytiharkan Khilafah di wilayah Iraq dan Syria, Abu Sayyaf kemudiannya menyatakan baiah kesetiaan kepada pemimpin ISIS, Abu Bakar al-Baghdadi.

Tidak banyak diketahui tentang kumpulan ini kerana pergerakan mereka yang penuh rahsia, namun menurut penganalisis, Abu Sayyaf tidak mempunyai sebarang sumber yang kukuh bagi mendapatkan dana untuk meneruskan perjuangan mereka. Kerana itu, mereka bergantung kepada dana daripada penculikan dan aktiviti rompakan/perlanunan bagi menampung operasi mereka.

Tindakan penculikan, pembunuhan, perlanunan dan rompakan jelas bertentangan dengan hukum syarak, meskipun dilaksanakan dengan niat yang ‘murni’ dan dilakukan ke atas orang-orang kafir sekalipun. Perbuatan menakut-nakutkan manusia, apatah lagi membunuh dan merampas harta mereka, termasuk dalam kategori hirabah (keganasan) yang dicela oleh Islam. Hukuman terhadap pelaku hirabah merupakan sebahagian daripada hukum hudud, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT;

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi hanyalah mereka dibunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas harta) atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas harta), atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang (kalau mereka merampas harta sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya menakut-nakutkan manusia). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar” [TMQ al-Maidah (5):33].

Walaupun keadaan mereka tertekan dan mereka diperangi oleh pemerintah Filipina, namun itu tidak memberi hak kepada Abu Sayyaf untuk menculik dan merampas harta orang awam. Ya mereka berhak mempertahankan diri dari dibunuh, tetapi musuh mereka ialah pemerintah Filipina yang memerangi mereka, bukannya orang awam. Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu juga ditekan dan dibunuh oleh kafir Quraisy (semasa di Mekah), namun Rasulullah SAW tidak melakukan pembunuhan awam, penculikan, rampasan harta dan lain-lain yang tidak diizinkan oleh Allah. Inilah yang wajib dicontohi oleh Abu Sayyaf dalam perjuangan mereka.

Justeru, jika benar Abu Sayyaf melakukan penculikan, tebusan, rampasan harta dan pembunuhan, sesungguhnya mereka perlu bertaubat dari semua itu dan kembali mengikuti jalan perjuangan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW (semasa di Mekah) yakni secara intelektual dan politik. Walaupun Islam tidak membenarkan pembunuhan tanpa hak, namun setiap Muslim berhak mempertahankan diri dari serangan musuh jika nyawa atau hartanya terancam.

Abu Sayyaf wajib membebaskan kesemua tahanan (jika ada) dan mengembalikan semula mereka kepada keluarga mereka serta memulangkan semua harta yang telah dirampas (jika ada). Jika mereka ingin menegakkan Daulah Islam, mereka perlu sedar bahawa sesungguhnya Daulah Islam bukanlah negara yang berdiri atas dasar assabiyyah atau wathaniyyah, tetapi Daulah Islam ialah negara yang berdiri atas dasar akidah Islam, yang perjuangan menegakkannya wajib dilakukan secara politik dan intelektual, tanpa kekerasan.

Dalam pada itu, kita tidak boleh nafikan fakta bahawa perjuangan Abu Sayyaf dan kelompok bersenjata lain tercetus akibat kegagalan para penguasa umat Islam dalam membela hak-hak mereka. Di saat kerajaan Filipina memusuhi gerakan Islam yang cuba menegakkan negara Islam, penguasa umat Islam turut melakukan hal yang sama, menyebabkan munculnya kumpulan seperti Abu Sayyaf kerana mereka dimusuhi dan tiadanya pembelaan ke atas nasib umat Islam yang ditindas di serata dunia.

Meskipun kemudiannya terdapat usaha daripada Malaysia yang menjadi perantara dalam usaha damai di rantau tersebut, namun kesemuanya hanya bersifat sementara dan dibuat selari dengan dasar nasionalisme / negara bangsa. Sedangkan hakikatnya rantau selatan Filipina merupakan sebahagian daripada bilad Muslimin (negeri kaum Muslimin) dan menjadi hak kaum Muslimin serta wajib untuk mempersatukannya di bawah kesatuan Khilafah ala minhaj nubuwwah.