Pendidikan: Negara Kapitalis kononnya berlagak hebat
Sumber: Utusan Malaysia 31/08/09
Baki 61 Peratus Hanyut Ke Mana?
Najib juga sepatutnya tidak melupakan baki dari 39 peratus itu – 61 peratus yang lain. Bagaimana pula dengan baki 61 peratus golongan muda yang tertinggal? Di mana mereka? Apakah baki 61% ini dari golongan Mat Rempit? Penagih Dadah? Bohsia? Bohjan? Kutu Rayau? Golongan Punk? Gay? Lesbian? Pengkid? Pelacur? Apa lagi? Hakikatnya, terdapat seribu satu wajah golongan muda yang lahir dari sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sejak 52 tahun yang lepas. Sempena bulan Ramadhan ini sewajarnya Najib juga menjemput wakil-wakil dari golongan 61 peratus ini untuk beliau tarbiahkan, suatu istilah yang kerap beliau gunakan di sepanjang Ramadhan kali ini. Ini adalah kerana golongan 61 peratus ini juga merupakan sebahagian dari rakyat yang menjadi amanah kepada beliau dan kelak akan dipertanggungjawab oleh Allah SWT di hari akhirat.
“Ingatlah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Imam/Ketua Negara adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Suami adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Isteri adalah pemimpin kepada rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Hamba sahaya adalah pemimpin kepada harta benda tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah! Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” [Hadis riwayat At-Tarmizi daripada Ibn Umar].
Wahai Najib! Apakah kamu sedar kenapa wujud 1001 wajah dari golongan remaja negara yang tidak sedikit dari mereka terlibat dengan pelbagai gejala yang merosakkan? Tidak memeranjatkan sekiranya sebilangan besar dari 61% yang tertinggal itu terlibat dengan gejala tersebut. Hakikatnya inilah hasil buah yang dapat kamu petik dari pokok Kapitalisme yang telah berusia 52 tahun. Pokok yang telah ditanam oleh penjajah yang kemudiannya dijaga oleh “penjaga-penjaga” yang cukup setia, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Tun Pak lah dan kini kamu? Apakah kamu akan tetap meneruskan tradisi yang sama semenjak 52 tahun yang lepas? Alangkah ruginya golongan yang menghambakan diri mereka kepada sesama manusia sedangkan kemuliaan manusia itu ialah apabila dia menjadi hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.
“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al Hujuraat (49) :13]