Warga emas: terjaga atau tersisih di negara Kapitalis?

Gambar BL 290316 (2)
Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilaporkan berkata Malaysia kini memiliki 2.8 juta warga emas yang berumur lebih 60 tahun atau sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan 31 juta penduduk pada 2015. Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan ujar Rohani, negara ini dijangka mencapai status negara tua pada 2035 apabila 15 peratus penduduknya merupakan warga emas.

Beliau menjelaskan pada Sidang Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan menghadapi status negara tua bagi memastikan golongan itu berada dalam keadaan yang sihat, produktif dan masih boleh menyumbang kepada masyarakat. “Susulan daripada kajian semula ini, Dasar Warga Emas Negara dan pelan tindakannya telah diluluskan oleh kerajaan pada 5 Januari 2011 selain perkhidmatan sosial yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Sekali imbas, usaha yang dilakukan oleh Kementerian ini wajar dipuji kerana nampaknya mereka merancang dan bersedia untuk terus menjaga kebajikan golongan tua tersebut. Namun, jika hanya perancangan tanpa tindakan, sudah pasti ia hanya akan menjadi indah khabar dari rupa.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, jika kita melihat statistik yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Sai Kee, pada tahun 2012, terdapat hampir 6,000 warga emas yang menjadi penghuni di 11 pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta 165 pusat yang dimiliki badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 1,927 menghuni rumah orang tua JKM  dan baki 4,059 ditempatkan di pusat jagaan berdaftar kendalian NGO dan swasta.

“Di bawah JKM terdapat sembilan buah Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk warga emas yang berupaya menguruskan diri dan dua buah Rumah Ehsan untuk warga emas yang terlantar dan tidak berupaya menguruskan diri serta memerlukan rawatan rapi’, jelasnya pada Dewan Rakyat pada waktu itu.

Walaupun memang ada kes-kes warga emas yang tinggal sebatang kara, atau ketidakmampuan keluarga untuk menyara mereka, namun apa yang pasti, berdasarkan laporan akhbar, rencana, dokumentari dan pengalaman di lapangan, agak ramai warga emas yang menjadi penghuni tetap pusat jagaan adalah kerana “dibuang” oleh anak kandung sendiri, atas pelbagai sebab. Secara logiknya, tidak ada sebab untuk seseorang anak kandung “membuang” ibu bapanya ke situ kecuali nilai-nilai kemanusiaan dan kekeluargaan telah hilang dari seseorang itu!

Selain itu, kewujudan lebih banyak rumah warga emas kendalian swasta menunjukkan betapa usaha kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh membela warga emas, tidak seperti mana yang diperkatakan oleh Menteri!

Islam menekankan kepada setiap anak agak mengasihi dan menjaga kedua ibu bapanya di kala tua, sebagaimana ibu bapa mengasihi dan menjaga si anak semasa kecil. Inilah ajaran Islam yang mulia, yang jika setiap Muslim mematuhinya, tidak akan ada Muslim yang menghantar ibu bapanya yang sudah uzur ke rumah jagaan. Mereka sendirilah yang akan menjaganya dengan penuh kasih sayang sebagaimana ibu bapa menyayangi dan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang.

Jadi, kewujudan rumah warga emas sebenarnya bukanlah menunjukkan suatu yang bagus, kerana semakin banyak rumah seperti ini dan semakin ramai penghuninya, menunjukkan semakin ramai orang tua yang disisihkan oleh anak masing-masing, selain menunjukkan bagaimana sistem Kapitalis yang diterapkan oleh negara pada hari ini, gagal membentuk anak-anak yang mengambil peduli terhadap orang tuanya.