Pendidikan wajib percuma tanpa kira miskin atau kaya

Semasa menjawab soalan salah seorang mahasiswa dalam program Cakna Dan Dialog Malaysia Madani di UKM pada 13/06/2023, Perdana Menteri Malaysia berkata, “Kalau tanya saya, pendapat peribadi saya (mengenai) falsafah pendidikan, pendidikan itu harus percuma dari sekolah rendah ke universiti, melainkan golongan kaya.”

Bagaimanapun katanya hal itu tidak mampu dilakukan kerajaan buat masa ini kerana kekangan kewangan. Anwar kemudian meminta orang ramai memberi masa kepada kerajaan untuk menguruskan perbelanjaan negara termasuk melakukan reformasi terhadap sistem subsidi. Menurut beliau, kerajaan sekarang sedang menanggung hutang negara yang besar berjumlah RM1.3 trilion.

Dalam Islam, seorang ketua negara bukan sahaja perlu pandai menguruskan kewangan atau lain-lain urusan negara, tetapi wajib menguruskannya berdasarkan hukum syarak. Apabila ketua negara jahil mengenai Islam, maka sudah pasti negara akan diurus berdasarkan apa jua hukum selain Islam yang berpandu kepada akal dan hawa.

Natijahnya, ia bukan sahaja boleh membawa kesengsaraan kepada rakyat, tetapi terlepasnya keredhaan dan keberkatan daripada Allah (swt) secara pasti.

Dalam Islam, negara wajib memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah hingga ke universiti, tanpa mengira bangsa, miskin atau kaya, Muslim atau bukan, selama mana ia adalah seorang warganegara.

Dalam kitab Muqaddimah ad-Dustur Au al-Asbab al-Mujibah Lahu di Fasal 178 mengenai tanggungjawab negara dalam hal pendidikan, Hizbut Tahrir menjelaskan seperti berikut:

[Merupakan kewajipan atas Negara untuk memberi pendidikan kepada setiap individu mengenai hal-hal yang perlu dalam (mengharungi) arus perdana kehidupan tanpa mengira lelaki atau perempuan, sama ada di peringkat pendidikan rendah atau menengah. Hal Ini mesti diberikan secara percuma kepada setiap orang, dan Negara hendaklah, dengan semampu mungkin, menyediakan peluang kepada setiap orang untuk melanjutkan pengajian tinggi secara percuma.

Dalil dalam hal ini ialah kerana pendidikan tergolong dalam salah satu al-masolih (kepentingan) dan al-marafiq (keperluan yang penting) untuk manusia. Ini kerana mendidik setiap orang akan apa yang mereka perlukan dalam arus perdana kehidupan adalah termasuk dalam al-masolih al-asasiyyah (kepentingan asas) yang akan membawa kepada jalbu manfa’ah wa daf’u mudhrah (tercapainya manfaat dan terhindarnya kemudaratan).

Inilah sebabnya mengapa Negara wajib menyediakan kepentingan-kepentingan ini sesuai dengan arus perdana kehidupan, dan mengikut jumlah generasi yang perlu mendapatkannya.

Pendidikan rendah dan menengah masyarakat telah menjadi satu keperluan berdasarkan fitrah kehidupan bangsa-bangsa pada zaman ini, dan bukan lagi termasuk hal yang tidak penting. Oleh yang demikian, pendidikan rendah dan menengah bagi setiap individu bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam arus perdana kehidupan adalah kewajipan atas Negara, selama mana ia termasuk dalam al-masolih al-asasiyyah.

Sehubungan itu, adalah wajib atas Negara untuk menyediakan sekolah rendah dan menengah yang mencukupi untuk semua warganegara yang ingin belajar, dan menyediakan segala keperluan bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam urusan kehidupan, secara percuma.

Rasulullah (saw) telah menjadikan tebusan bagi orang-orang kafir yang tertawan (dalam Perang Badar) dengan mengajar sepuluh anak orang Islam. Tawanan perang merupakan sebahagian daripada ghanimah (harta rampasan perang) yang menjadi kewajipan atas Khalifah untuk menggunakannya untuk kepentingan kaum Muslimin. Hal ini menjadi dalil bahawa perbelanjaan untuk pendidikan adalah suatu (tanggungjawab Negara) yang diberikan tanpa imbalan (diberikan secara percuma).

Pendidikan tinggi juga adalah sebahagian daripada al-masolih (kepentingan). Justeru, apa sahaja yang menjadi sebahagian daripada adh-dhururiyyat (keperluan) seperti halnya perubatan, wajib disediakan oleh Negara, dengan cara yang sama sebagaimana Negara menyediakan pendidikan rendah dan menengah, yakni secara percuma. Ini kerana ia membawa kepada jalbu manfa’ah wa daf’u mudhrah, yang menjadi kewajipan syarie atas Negara untuk menyediakannya.

Adapun jika sesuatu itu termasuk dalam kategori al-kamaliyyat (pelengkap – kurang penting) seperti kesusasteraan, maka Negara boleh menyediakannya jika kewangan mencukupi.

Demikianlah halnya dengan kedudukan pendidikan rendah dan menengah, sama kedudukannya dengan apa sahaja yang menjadi adh-dhururiyyat bagi umat Islam, termasuklah pendidikan tinggi, semua ini termasuk dalam al-masolih al-wajibah (kepentingan wajib) yang dibiayai sepenuhnya oleh Baitul Mal tanpa sebarang imbalan].

Atas dasar itu kita menyaksikan di sepanjang sejarah pemerintahan Khilafah, para Khalifah memberikan pendidikan percuma kepada rakyat yang meliputi segalanya sejak dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti.

Malangnya sejak runtuhnya Khilafah, pendidikan telah dijadikan satu “perniagaan” oleh pemerintah di dunia Islam yang rata-ratanya menerapkan sistem kapitalisme, termasuklah di Malaysia, di mana mereka mengaut keuntungan daripadanya.

Kita perlu sedar bahawa tidak ada seorang pemimpin pun yang boleh melanggar hukum syarak atas alasan bahawa negara sedang menghadapi masalah kewangan. Apatah lagi dalam keadaan di mana masalah kewangan tersebut sebenarnya muncul daripada penerapan sistem ekonomi yang menyalahi syarak oleh pemimpin itu sendiri.

Dalam sistem ekonomi kapitalisme yang diamalkan oleh negara pada hari ini, pengagihan kekayaan tidak berlaku secara adil di mana sebahagian besar kek ekonomi masuk ke mulut golongan elit pemerintah dan kroni kapitalis mereka. Rakyat hanya mendapat sisa-sisa kek yang jatuh ke lantai sahaja.

Maka tidak hairanlah apabila kita mendengar pemimpin menyatakan bahawa negara sedang dilanda masalah ekonomi tetapi hakikat menunjukkan bahawa semua pemimpin tetap kaya-raya, dan yang menderita hanyalah rakyat jelata. Rakyat membanting tulang mencari seringgit dua untuk membiayai pendidikan anak-anak, sedangkan pemimpin dengan megah dan mewahnya menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian termahal di luar negara.

Justeru, tidak ada cara lain untuk setiap warganegara mengecapi pendidikan percuma sebagaimana yang Islam peruntukkan, kecuali dengan menolak pemimpin dan sistem kapitalisme, dan kembali kepada sistem Khilafah, sebuah sistem (dan negara) yang kita wajib usahakan kewujudannya dengan serius.

Wallahu a’lam.