Penekanan Aspek Tingkah Laku Pelajar Penyelesaian Masalah Buli

BERITA:

Tujuh daripada sepuluh kanak-kanak di negara ini menyatakan kebimbangan mengenai masalah buli keterlaluan berbanding kanak-kanak di Jepun dan United Kingdom. Kajian dijalankan sempena Hari Kanak-kanak Sedunia itu turut menunjukkan 64 peratus kanak-kanak Malaysia bimbang keganasan terhadap mereka, selain 60 peratus mengenai kegiatan pengganas di seluruh dunia.

Sumber: Berita Harian, 20 November 2017


KOMENTAR:

Akhirnya majoriti kanak-kanak telah mula mengekspresikan rasa kebimbangan mereka terhadap persekitaran yang semakin sinonim dengan gejala buli. Malah dalam laporan terkini, ada yang mengusulkan agar mereka yang terjebak dengan tingkahlaku ini dikenakan latihan polis atau tentera. Persoalannya sejauh mana keberkesanan hukuman ini berjaya mengubah tingkah laku individu yang terlibat apabila salah laku ini turut pernah berlaku dalam institusi latihan yang sama? Mengapakah gejala ini begitu berleluasa sehingga amat sukar untuk dibendung oleh semua pihak?

Jika diteliti masalah keganasan buli secara menyeluruh, faktor yang mengundang kepada salah laku ini bukan semata-mata sikap pelaku atau kelemahan individu tertentu. Seringkali pelaku keganasan ini dikaitkan dengan masalah keganasan rumahtangga yang dihadapi oleh ibu bapa. Malah warga pendidik turut dipertikaikan kewibawaannya dalam mendidik anak-anak di sekolah sehingga gejala ini terus berleluasa.

Hakikatnya gejala ini turut dipengaruhi oleh suasana persekitaran dan cara kehidupan yang rosak yang terus dibiarkan oleh pihak berkuasa. Bahkan ia semakin menjadi-jadi selari dengan arus globalisasi yang banyak membawa masuk pengaruh negatif dari luar ke dalam kehidupan masyarakat secara tidak terkawal khususnya media sosial. Sikap agresif yang tidak dapat dikawal ini malah menjadi kebanggaan bagi menunjukkan kuasa yang mereka miliki terhadap mereka yang lemah. Malah begitu ramai sekali yang begitu bangga untuk merakam dan meyebarkan perlakuan mereka melalui youtube, instagram dan facebook. Apa yang lebih menakutkan adalah kemungkinan pelaku buli ini dilindungi oleh pihak tertentu dan dijadikan pelapis kepada ahli kongsi gelap yang sedang berleluasa sepertimana yang dilaporkan di salah sebuah akhbar perdana baru-baru ini.

Sejak ideologi demokrasi kapitalis mengambil alih kawalan terhadap sistem pendidikan di Malaysia, apakah lagi nilai tambah terhadap pola sikap dan tingkah laku generasi anak muda? Sungguh malang sekali dalam sistem kehidupan sekarang, standard nilai pencapaian intelektual semata-mata menjadi asas ukuran keberhasilan sistemnya dengan mengetepikan penekanan terhadap nilai sikap dan perilaku.

Kurikulum sekarang memang memperkenalkan subjek Pendidikan Islam serta Sivik dan Moral, namun apa yang tinggal hanyalah sekadar penguasaan teori dengan nilai markah yang tinggi. Tetapi pada masa yang tetap gagal mengubah cara berfikir dan tingkah laku individunya. Bagi si pelaku buli, mereka tidak lagi merasakan bahawa tingkah laku mereka ini sentiasa diawasi oleh Sang Pencipta yang Maha Hebat dan setiap tingkah laku mereka akan dihisab di hari kemudian.

Justeru, begitulah pentingnya asas penerapan aqidah Islam yang mendasar dalam kurikulum sistem pendidikan Islam yang sebenar. Aqidah Islam semestinya mampu membentuk tingkah laku yang mulia sehingga membentuk individu dengan nilai kemanusiaan yang universal sesuai dengan syariat Islam. Bahkan jaminan keselamatan dalam kehidupan masyarakat inilah yang menjadi impian semua manusia yang cintakan keharmonian dan ia pasti mampu direalisasikan melalui pelaksanaan kehidupan Islam Kaffah.

Oleh
Dr Aslam Diyana Selamat
Pimpinan Pusat MHTM
27/11/2017

Sumber Facebook Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia