Lagi kes salah laku seks paderi

Pope Benedict XVI memohon berbanyak maaf kepada warga Australia atas salah laku seksual terhadap kanak-kanak oleh beberapa paderi Katolik. Dalam pertemuan dengan para paderi di Sydney, Pope melahirkan “rasa malu yang dirasai semua” dan menyerukan agar para pelaku seks itu diadili.
Satu kumpulan aktivis mengkritik pidato Pope dengan mengatakan, Pope seharusnya bertemu dengan beberapa mangsa untuk meminta maaf secara langsung. Mangsa menginginkan tindakan, bukan hanya kata-kata” demikian pernyataan aktivis itu.

Kalau dalam bulan April lepas Pope Benedict XVI, terpaksa meminta maaf kepada keluarga kanak-kanak menjadi mangsa seks luar tabii oleh paderi-paderinya di AS, bahkan institusi agama ini terpaksa menggunakan khidmat syarikat insurans untuk tujuan pembayaran ganti rugi itu, hari ini sekali lagi Pope terpaksa menyuarakan perkara yang sama di Australia.

Kejadian seks luar tabii yang kritikal melanda golongan paderi ini bukanlah disebabkan oleh sikap individu paderi itu semata-mata yang lahir dari penyelewengan ajaran Kristian, malah faktor signifikan yang sebenar adalah penyelewengan sistematik yang lahir dari ajaran Katolik itu sendiri. Ini kerana semasa para rahib Kristian menginovasi ajaran Kristian dengan larangan untuk rahib berkahwin, atas alasan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Namun inovasi agama mereka ini gagal secara total sebagaimana firman Allah,

“Kemudian Kami iringi (sesudah mereka) Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan) ‘rahbaniyyah’ merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka”. [TMQ Al-Hadid (57):27]

Ibnu Katsir memberi komentar tentang ayat ini dalam kitab tafsirnya,

“Allah mengatakan bahawa mereka, pengikut Isa, telah membuat hukum rahbaniyah yang mereka buat sendiri sehingga dalam agama disebut bid’ah, kerana pada mulanya memang tidak ada, iaitu hukum untuk setiap paderi lelaki (fathers) mahupun perempuan (sisters) dilarang berkahwin. Pada mulanya tujuan mereka untuk dapat melaksanakan ibadah secara penuh tanpa dipengaruhi oleh syahwat hawa nafsu, hanya (beribadat) semata-mata ingin mendapatkan redha Allah. Allah tidak mengatakan yang demikian itu tidak baik, kecuali menyatakan “sayang sekali bahawa mereka tidak kuat dan tidak dapat memeliharanya dengan baik iaitu menahan diri dari perkahwinan yang halal, tiba-tiba mereka terjerumus dalam gejala perzinaan yang tidak dapat dielakkan”, karena itulah Allah berfirman, “Famaa ra’auhaa haqqa ri’aayatiha” . Maka mereka tidak dapat menjaganya, mempertahankannya dengan sebaik-baiknya.”

Penyelewengan yang dilakukan paderi ini di mana adalah dengan mereka mengekang naluri seksual (gharizah an-nau’) yang secara fitrahnya ada dalam diri manusia, yang mana naluri ini sepatutnya dipenuhi dengan perkahwinan yang sah di antara lelaki dan perempuan.  Oleh kerana gharizatun nau’ ini disekat, akhirnya para paderi mengambil jalan salah dan jalan keluar dengan melakukan seks luar tabii.

Di dalam Islam, hubungan seks dipandu dengan wahyu Ilahi di mana Islam hanya membenarkan hubungan seks mengikut tabii dengan pasangan yang sah sahaja. Hukum-hakam Islam datang untuk manusia menyalurkan naluri untuk membiak ini dengan cara yang benar, bukannya mengekang seperti dalam ajaran Kristian yang telah diselewengkan oleh paderi mereka sendiri.

Dalam usaha untuk menutup aib gereja, wartawan BBC Nick Bryant di Sydney mengatakan, mangsa mengadukan bahawa gereja di Australia berusaha untuk menghalang ganti rugi dan cuba menutup kes tersebut.