Penentuan Tarikh ‘EidulAdha
Ini ditegaskan oleh Syeikh Abdul Majid al-Yahya di dalam kitabnya Atsar Al-Qamarain fi Al-Ahkam Al-Syar’iyah,”Tidak ada khilafiyah (perbezaan pendapat) di antara para fuqaha, bahawa rukyatul hilal adalah kayu ukur dalam penentuan masuknya bulan Dzulhijjah….” (Abdul Majid al-Yahya, Atsar Al-Qamarain fi Al-Ahkam Al-Syar’iyah, hal. 198).
Berdasarkan hadis-hadis yang seumpama dengannya, para ulama sepakat bahawa hisab astronomi (al-hisab al-falaki) tidak boleh dijadikan sandaran dalam menentukan masuknya awal bulan Qamariyah. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Mundzir, Ibnu Taimiyyah, Abul Walid al-Baji, Ibnu Rusyd, Al-Qurthubi, Ibnu Hajar, Al-‘Aini, Ibnu Abidin, dan Syaukani. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/132; Fathul Bari, 4/158; Tafsir al-Qurthubi, 2/293; Hasyiyah Ibnu Abidin, 3/408; Bidayatul Mujtahid, 2/557).
Namun begitu, dalam penentuan awal bulan Dzulhijjah yang berkaitan dengan ‘Eiduladha, rukyatul hilal yang menjadi rujukan utama adalah rukyatul hilal penguasa Makkah, bukan dari negeri-negeri kaum Muslimin yang lain. Kecuali jika penguasa Makkah tidak berupaya untuk melakukan rukyah hilal, barulah rukyah dari negeri yang lain boleh dijadikan sandaran.
Dalilnya adalah hadis dari Husain bin Al-Harits Al-Jadali RA, dia berkata,“Amir (Penguasa) Makkah berkhutbah kemudian dia berkata,”Rasulullah telah berpesan kepada kita agar kita menjalankan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kita tidak dapat melihat hilal, dan terdapat dua orang saksi yang adil yang menyaksikannya (rukyah hilal), maka kita akan menjalankan manasik haji berdasarkan kesaksian kedua-dua orang itu.” (HR Abu Dawud, hadis no 2339. Imam Daruquthni berkata,”Hadis ini isnadnya muttashil dan sahih.” Lihat Sunan Ad-Daruquthni, 2/267. Syeikh Nashiruddin Al-Albani berkata,”Hadis ini sahih.” Lihat Nashiruddin Al-Albani, Sahih Sunan Abu Dawud, 2/54).
Hadis ini menunjukkan bahawa yang mempunyai kuasa dalam menetapkan hari-hari manasik haji seperti hari ‘Arafah, ‘Eiduladha dan hari-hari tasyriq adalah Amir Makkah (Penguasa Makkah), bukan yang lain. Dalam keadaan tiadanya pemerintahan Islam (Khilafah) seperti sekarang, kekuasaan dalam penetapan tarikh itu tetap dimiliki penguasa Makkah sekarang (Saudi Arabia), meskipun sistem pemerintahannya berbentuk kerajaan, bukan Khilafah.
Kesimpulannya, penentuan ‘Eiduladha ditetapkan berdasarkan rukyatul hilal dan bukannya hisab. Rukyah yang diutamakan adalah rukyah dari penguasa Makkah. Kecuali jika penguasa Makkah tidak berhasil dalam melakukan rukyah, maka barulah dibuat rukyah di negeri-negeri yang lain. Wallahu a’lam.