Penerapan Islam Secara Kaffah Memartabatkan Muslimah
[Diolah daripada ucapan Dr. Nazreen Nawaz dalam Muktamar Online rajab 1443H: Islam Kaffah Terealisasi Di Bawah Khilafah pada 28 Rajab lalu].
Allah (swt) berfirman:
﴿الَر كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ﴾
“Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [Ibrahim (14): 1].
Salah satu daripada manifestasi ayat yang indah ini dapat disaksikan dalam sistem pergaulan Islam dan kesannya terhadap hubungan antara lelaki dan wanita, kehidupan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan. Sistem ini merangkumi prinsip-prinsip, hukum-hukum dan peraturan yang mengatur hubungan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat secara menyeluruh dan sempurna, serta mengatur hak, peranan dan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan dan keluarga, bagi mewujudkan suasana yang murni dan interaksi positif antara jantina, di samping menjaga akhlak masyarakat, menjamin rumahtangga yang kukuh dan tenang, dan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan bahagia.
Dalam hal ini, Islam membezakan dan mengangkat dirinya mengatasi mana-mana ideologi atau sistem buatan manusia, sama ada kapitalisme, sosialisme atau sistem lainnya yang menafikan keperluan untuk mengatur hubungan antara lelaki dan wanita, dan meraikan kebebasan peribadi dan seksual serta mempromosikan kesamarataan jantina dalam peranan dan tanggungjawab keluarga – semuanya telah menjana segunung masalah sosial dan akhlak dalam masyarakat, termasuk jenayah yang berleluasa terhadap maruah wanita, yang menjadi asas kepada kelahiran #MeTooMovement global. Di Britain sebagai contoh, siasatan oleh UN Women UK yang diterbitkan tahun lepas, mendapati 97% wanita berumur 18-24 telah diganggu secara seksual, manakala jenayah rogol dan kesalahan seksual yang direkodkan di England dan Wales telah mencapai rekod tertinggi, dengan lebih 63,000 kes rogol direkodkan hanya dalam waktu setahun – statistik yang dicerminkan di banyak negara liberal sekular lain hari ini. Ketiadaan sistem pergaulan yang jelas, juga telah menyebabkan tsunami kehancuran rumahtangga dan keluarga, dan fenomena ibu/bapa tunggal, yang menatijahkan pergolakan emosi dan psikologi yang dahsyat ke atas semua golongan baik lelaki, wanita atau kanak-kanak. Kegelapan hidup tanpa adanya hukum dan sistem dari Allah (swt) adalah nyata dan jelas termanifestasi di banyak negara di seluruh dunia.
Sistem pergaulan Islam menyediakan jalan keluar untuk manusia daripada semua permasalahan tersebut, kerana Islam telah menyediakan seperangkat hukum yang secara praktikal menjaga maruah wanita, dan melindungi kesucian rumahtangga serta keutuhan keluarga sebagai sebuah unit. Hukum pergaulan Islam seperti pemisahan lelaki dan wanita secara umum, kecuali kebenaran yang ditetapkan oleh syariah dalam hal pekerjaan, pendidikan, jual beli dan rawatan perubatan; larangan lelaki dan perempuan bukan mahram bergaul atau bersendirian (khalwat); kewajipan lelaki dan wanita menundukkan pandangan mereka kepada aurat dan tarikan kecuali terhadap pasangan mereka; larangan apa jua hubungan intim di luar perkahwinan; dan ketetapan peraturan berpakaian khusus bagi wanita yang mewajibkan mereka menutup seluruh badan kecuali tangan dan muka di hadapan lelaki bukan mahram; serta memakai khimar (tudung) dan jilbab (jubah luar) dalam kehidupan umum serta mengelak daripada tabarruj (bersolek) – semua hukum ini mengarahkan pemenuhan keinginan seksual kepada perkahwinan semata-mata dan mewujudkan interaksi yang saling menghormati dan terjaga antara lelaki dan wanita dalam masyarakat, serta kerjasama yang sihat antara berlainan jantina yang membolehkan wanita menjalani kehidupan umum yang aktif di samping dalam masa yang sama menjaga maruah mereka.
Di samping itu, hukum pergaulan Islam mengatur hak, peranan dan tanggungjawab lelaki dan wanita dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga secara terperinci dan saling melengkapi. Sebagai contoh, Islam menetapkan lelaki sebagai penjaga, ketua dan penyedia nafkah keluarga, manakala wanita berperanan sebagai pengurus rumahtangga dan penjaga utama anak-anak. Pengaturan unit keluarga seperti ini akan membantu mewujudkan keharmonian dalam rumahtangga, meminimumkan pertikaian mengenai hak dan kewajipan, serta menyediakan cara yang berkesan untuk menyelesaikan pertikaian dan perselisihan yang terjadi dengan cara yang tidak menimbulkan masalah yang lebih besar termasuk keretakan rumahtangga dan institusi keluarga.
Namun, saudara dan saudari, sistem pergaulan Islam yang hebat ini, dengan seluruh rahmat yang dibawanya untuk wanita, kehidupan keluarga dan masyarakat, tidak akan terwujud secara sempurna tanpa kewujudan sistem politik Islam – Khilafah ala minhaj nubuwwah – yang menerapkan hukum Islam secara kaffah di dalam negara, yang sekali gus akan membina pemahaman yang benar tentang hukum pergaulan Islam dalam kalangan warganya melalui dasar pendidikan dan polisi medianya.
Jika kita kembali kepada sejarah, kita akan dapat melihat bagaimana Khilafah menerapkan hukum pergaulan Islam dalam sebuah negara dan secara berkesan dapat mengawal hubungan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat dan mengawal interaksi mereka. Kita lihat sebagai contoh, pembinaan sekolah menengah yang berasingan untuk perempuan dan lelaki di bawah Khilafah Uthmaniyyah – seperti Tahire Hatun – sekolah perempuan di Istanbul, dan sekolah perempuan terkemuka di Harem kediaman Khalifah di Istana Topkapi, Istanbul, yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan kualiti pendidikan yang diberikan kepada pelajarnya. Kita juga dapat melihat bagaimana Khilafah memastikan wad atau hospital dan jururawat yang berasingan untuk lelaki dan wanita, yang merawati orang sakit, seperti di hospital Al-Mansuri yang tersergam indah yang dibina pada tahun 1284 di Kaherah. Ia menyediakan perkhidmatan perubatan kelas pertama kepada pesakitnya. Kita juga melihat bagaimana Khilafah menyediakan pasar khusus untuk wanita sahaja, seperti ‘Avrat Pazari’ dalam Khilafah Uthmaniyyah di mana wanita boleh menjual produk mereka sendiri dan berniaga barangan dan hanya wanita sahaja dibenarkan masuk. Di bawah Khilafah, para hakim juga mengambil wanita sebagai pembantu mahkamah untuk menjalankan pelbagai tugas, termasuk memasuki ruang peribadi wanita di rumah mereka jika diperlukan untuk siasatan dalam kes mahkamah, dan bukannya menggunakan pegawai lelaki, demi memastikan maruah wanita terjaga sebagaimana yang diwajibkan oleh Islam. Kita lihat di bawah Khilafah, seni bina bangunan turut dipengaruhi oleh hukum pergaulan Islam – tingkap rumah ditinggikan melebihi paras mata orang yang berjalan di luar; halaman tengah dan tepi dibina di dalam rumah berbanding taman depan dan belakang; Rawashin (balkoni dengan tingkap ditutup dengan skrin dan pengadang) dan pembinaan Harem – tempat tinggal wanita dalam rumah – semuanya mencegah orang daripada melihat ke dalam kehidupan peribadi keluarga dan membolehkan wanita menikmati kehidupan di dalam rumah mereka dengan pakaian rumah, jauh dari pandangan orang asing dan lelaki bukan mahram, menjaga maruah dan privasi mereka. Di bawah Khilafah, ulama bahkan bertegas bahawa platform menara atau atap masjid dikelilingi oleh tembok tinggi supaya Mu’azin tidak dapat melihat ke dalam rumah orang.
Kesan pelaksanaan sistem pergaulan Islam secara kaffah dan kesemua hukum Islam dalam negara Khilafah pada masa lalu dapat dilihat pada tahap kesungguhan individu-individu dan pemerintah dalam melindungi maruah wanita – baik di dalam mahupun luar negara. Dalam negara, kita lihat bagaimana ia mempengaruhi pandangan dan tingkah laku lelaki terhadap wanita. Sebagai contoh, pengembara dan arkitek Perancis abad ke-19 A. L. Castellan yang mengembara melalui negara Khilafah Uthmani berkata: “Orang Turki (merujuk kepada lelaki Uthmaniyyah) sangat menghormati wanita. Mereka menganggap adalah satu dosa untuk menatap wanita di tempat awam.”
Pandangan (hukum) Islam yang hebat dalam melindungi maruah wanita, yang terkandung dalam sistem pergaulannya, juga termanifestasi dalam tindakan pemerintah umat Islam di dalam negara Khilafah. Pada tahun 2016, sebuah buku di dalam arkib Khilafah Uthmaniyyah telah ditemui oleh sebuah akhbar Turki, Sabah. Buku itu yang bertajuk “Kadin” (Perempuan) terdiri daripada koleksi dokumen mengenai hal ehwal wanita yang disusun oleh pentadbiran Uthmaniyyah. Mereka menyifatkan wanita sebagai “Taj ad-Dawla” (Mahkota Negara) dan menggesa para negarawan untuk mengelak daripada mengapa-apakan wanita dan melakukan segala usaha untuk memelihara maruah mereka. inilah prinsip yang ditunjukkan oleh Khalifah pada masa lalu yang menggerakkan tentera mereka untuk mempertahankan kehormatan Muslimah, seperti yang kita lihat pada abad ke-8, apabila Khalifah al-Walid bin Abdul Malik mengerahkan tentera yang hebat, yang dipimpin oleh orang yang hebat – Jeneral Muslim Muhammad ibn Qasim – untuk menyelamatkan sekumpulan wanita dan kanak-kanak Islam yang dipenjarakan oleh Raja India Hindu yang zalim, Raja Dahir. Lalu tentera ini berjaya meletakkan Sind (India di era moden) di bawah pemerintahan Islam semasa proses tersebut. Tetapi hari ini dengan ketiadaan pemerintahan Khilafah Islamiyyah, kita melihat gadis-gadis Islam di Karnataka, India, dihalang daripada masuk ke sekolah dan kolej kerana hijab (pakaian) mereka; dan kita melihat wanita Islam di India ditawar untuk dijual oleh pelampau Hindu dengan tujuan merendahkan dan mengaibkan mereka; dan kita melihat wanita Islam di Kashmir hidup di bawah penjajahan dan penganiayaan yang paling kejam, dengan ancaman serangan seksual dan jenayah rogol oleh askar India…namun tiada pemerintah, tiada negeri, tiada penguasa Muslim yang datang membantu mereka!!
Saudara dan saudari! Inilah natijah keruntuhan Khilafah terhadap kehidupan wanita Islam di seluruh dunia, seperti juga kehancuran struktur keluarga di negeri-negeri kaum Muslimin yang disebabkan oleh tiadanya pelaksanaan sistem pergaulan Islam oleh negara. Di Malaysia sebagai contoh, kadar perceraian meningkat sebanyak 13% hanya dalam masa setahun – 2018-2019, kepada lebih 45,000 kes. Di Indonesia, dari 2017 hingga 2020, terdapat hampir 50% peningkatan kes perceraian yang mencecah lebih 400,000 kes setiap tahun – iaitu 50 kes setiap jam. Dan semua ini seiring dengan penghakisan identiti Islam daripada kaum Muslimin, yang membawa kepada ramai anak-anak muda kita menolak Islam; serta peningkatan besar dalam hubungan luar nikah, penyebaran budaya dan gaya hidup toksik para selebriti, kebebasan seksual liberal yang merosakkan, dan kenaikan kes jenayah seksual terhadap wanita di negeri-negeri kaum Muslimin. Kes rogol dan keganasan lain yang dilaporkan terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita di Indonesia misalnya meningkat sebanyak 66% dari 2016 hingga 2019 kepada 430,000 kes.
Saudara dan saudari! Adakah ini masa depan yang kita inginkan untuk tanah air kita, untuk keluarga kita, untuk remaja kita, untuk adik-beradik perempuan kita? Sudah tentu tidak! Oleh itu, kami menyeru umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia untuk segera berusaha bersungguh-sungguh dan berjuang untuk menegakkan sistem (yang datangnya dari) Allah – Khilafah ala minhaj nubuwwah – kerana sistem pergaulan Islam tidak akan dapat dilaksanakan secara kaffah kecuali di bawah sebuah Negara Islam. Islam tidak akan dapat dilaksanakan secara kaffah melainkan dengan sebuah sistem pemerintahan, dan maruah Muslimah tidak akan dapat dilindungi melainkan dengan kepimpinan Islam ini.
Islam Kaffah Hanya Terealisasi Di Bawah Khilafah!