Pengiktirafan Palestin dipenuhi agenda dan pengkhianatan

BULETIN HTM – Isu pengiktirafan Palestin menjadi fokus perbincangan program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM minggu ini. Dengan tajuk “Pengiktirafan Palestin: Agenda, Realiti dan Konsekuensi”, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman mengupas secara panjang lebar mengenai agenda tersirat, realiti sebenar dan kesan daripada pengiktirafan Palestin di pentas antarabangsa.

Dalam kupasannya, Abdul Hakim menegaskan bahawa walaupun kini sebanyak 157 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin, hakikatnya pengiktirafan itu tidak membawa apa-apa erti untuk Palestin. Sebaliknya, ia merupakan pengiktirafan terhadap penjajahan dan pendudukan “Israel” ke atas Palestin.

Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa pengiktirafan yang dilakukan oleh negara-negara Eropah ke atas Palestin dipenuhi dengan agenda jahat mereka iaitu sebagai merealisasikan penyelesaian dua-negara, yang sekali gus mengiktiraf “Israel” sebagai sebuah negara berdaulat yang berdiri di atas tanah yang dirampas.

Pengiktirafan oleh negara-negara Eropah itu juga merupakan pengiktirafan bersyarat yang meletakkan Palestin sebagai sebuah negara yang luasnya hanya sekangkang kera, lemah, tidak boleh mempunyai tentera, tidak mandiri dan berkemungkinan akan diperintah oleh pihak berkuasa Palestin (PLO) atau Fatah yang merupakan ciptaan “Israel” dan Amerika.

Atas dasar itu, menurut beliau, negara kaum Muslimin mana pun yang mengiktiraf Palestin sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap Tanah Yang Diberkati itu, kerana sesungguhnya pengiktirafan tersebut bermaksud mengakui kewujudan negara haram “Israel” di atas 80% tanah Palestin, yang sekali gus bermaksud penerimaan para penguasa kaum Muslimin terhadap penyelesaian dua-negara yang selama ini dicanang oleh Amerika.

Kita tidak perlu mengiktiraf Palestin, ujar Abdul Hakim, kerana Palestin telah lama wujud, dan sentiasa wujud. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh penguasa umat Islam ialah mengiktiraf ketidakwujudan “Israel” selaku negara penjajah dan pembunuh umat Islam, dan seterusnya memerangi negara haram itu habis-habisan.

Sesungguhnya Palestin tidak memerlukan pengiktirafan, tetapi pembebasan, tegas Jurucakap HTM itu berkali-kali, dan satu-satunya jalan untuk membebaskan Palestin ialah melalui jihad fi sabilillah yang dilancarkan ke atas “Israel”.

Ustaz Hakim menutup kupasannya dengan menyeru umat Islam agar berusaha menegakkan Khilafah, yang akan melancarkan jihad fi sabilillah bagi membebaskan keseluruhan Tanah Palestin, sekali gus menghapuskan entiti haram Yahudi buat selamanya.

Program yang berlangsung lebih kurang dua jam itu disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan TikTok Jurucakap HTM, dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para penonton.