Pengkhianatan berterusan rejim Mesir terhadap Gaza

Penduduk Gaza terus dirundung musibah dek pengkhianatan rejim-rejim Arab, khususnya Mesir. Rejim Mesir telah membuktikan untuk ke sekian kalinya bahawa mereka bukan sahaja tidak melaksanakan kewajipan membantu Gaza, malah sebaliknya menyekat segala jenis bantuan yang ingin dihulurkan oleh pihak lain daripada masuk ke Gaza melalui Mesir.

Amat jelas sejak dulu hingga kini bahawa rejim Mesir sebenarnya terlibat dalam konspirasi dan pengkhianatan terhadap Gaza. Mereka sebenarnya menjadi sebahagian daripada tangan-tangan yang mengepung Gaza dan menyebabkan kematian penduduk Gaza. Atas nama menjaga sempadan, mereka sanggup menghalang sebarang usaha, walaupun bersifat simbolik oleh mana-mana pihak yang ingin menyatakan sokongan kepada Gaza.

Pada 11 Jun 2025, rejim Mesir telah mengusir 12 aktivis Maghribi yang tiba secara sah di Lapangan Terbang Kaherah untuk menyertai “Perarakan Global ke Gaza”, sebuah konvoi simbolik yang dianjurkan oleh aktivis dari seluruh dunia, baik dunia Arab mahupun bukan, dengan harapan dapat memecahkan kepungan, kelaparan dan pembunuhan berterusan di Gaza. Bagaimana pun, Mesir, satu-satunya pintu masuk terbuka ke Gaza, bukan sahaja tidak menyambut mereka, sebaliknya melayani mereka dengan penuh kehinaan, malah mengusir mereka.

Padahal rombongan tersebut tidak membawa sebarang senjata dan tidak menyeru kepada pengeboman mahupun sabotaj. Mereka datang dengan harapan tulus untuk menyatakan solidariti simbolik terhadap saudara-saudara mereka di Gaza yang sedang disembelih siang dan malam oleh Yahudi laknatullah. Namun, rombongan tersebut dikepung seawal di lapangan terbang lagi, disoal siasat dengan soalan-soalan yang buruk, dan diberi pilihan antara ditahan atau keluar dari Mesir – seolah-olah menyatakan solidariti kepada Gaza adalah satu jenayah di bawah rejim Mesir!

Pengkhianatan atas nama kedaulatan

Adalah tidak masuk akal untuk menganggap kejadian ini sebagai kebetulan atau sekadar isu kawalan sempadan, seperti yang didakwa oleh Kementerian Luar Mesir. Semua sedia maklum bahawa lintasan Rafah berada sepenuhnya di bawah kawalan Mesir dan boleh dibuka pada bila-bila masa jika mereka mahu, kerana kuasa ada pada mereka. Namun, kuasa ini tidak pernah digunakan untuk membantu penduduk Gaza. Sebaliknya, ia digunakan sebagai alat untuk terus menekan dan mengepung Gaza atas nama kedaulatan, menjadikannya instrumen yang hakikatnya menjaga keselamatan entiti Yahudi.

Kita tidak boleh menerima tindakan mereka yang menutup rapat lintasan untuk menghantar bantuan, menghalang konvoi, menyekat himpunan solidariti dan menganggap kemarahan rakyat sebagai ancaman keselamatan. Apa jua alasan mereka sememangnya tidak boleh diterima, kerana mereka ialah pelaku jenayah secara langsung.

Umat Islam di Gaza (mahu pun di mana sahaja) tidak boleh dibiarkan berhadapan dengan pembunuhan, sekatan, kelaparan dan kemusnahan tanpa bantuan dan sokongan, apatah lagi oleh mereka yang berkemampuan. Rejim Mesir, dengan tenteranya, kekuatan dan keupayaannya, adalah antara pihak yang paling mampu dan paling berkewajipan untuk membantu, kerana mereka berada paling dekat dengan Gaza. Rejim mana pun yang berdiam diri adalah berdosa kerana telah melanggar perintah Allah (swt):

وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ

“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [Al-Anfal (8): 72].

Jika sekali permintaan pertolongan sahaja sudah mewajibkan bantuan, bagaimana pula bila penduduk Gaza telah berkali-kali meminta pertolongan, dan apatah lagi telah pun ada sebahagian umat Islam dari seluruh dunia yang telah bersedia untuk menghulur bantuan, namun dihalang oleh rejim? Maka di manakah kedudukan rejim ini? Ia bukan sahaja tidak mahu membantu, sebaliknya menghalang pula orang lain yang ingin berbuat demikian, malah yang ingin menyatakan simpati dan solidariti pun dihalang!

Lebih mengejutkan lagi, rejim Mesir kini bukan sekadar bersekongkol dengan entiti Yahudi, tetapi menghalang setiap usaha, hatta yang simbolik, untuk membantu Gaza seolah-olah menyokong Gaza adalah sebuah “ancaman keselamatan” untuk negara. Ini membuktikan secara nyata bahawa rejim ini telah memilih untuk berpihak secara terbuka kepada musuh Allah, musuh Rasul-Nya, dan musuh umat Islam, serta melihat isu Palestin sebagai sebuah beban baginya, yang mana siapa sahaja yang menambah beban itu mesti dihalang.

Tentera Mesir, dan rejim yang mengawal kuasa politik dan ketenteraan, seharusnya mengarahkan kekuatan mereka bukan untuk menghalang konvoi atau menutup sempadan, tetapi untuk membuka Rafah dengan kekuatan tersebut, memecahkan segala sekatan ke atas Gaza, menghancurkan kubu-kubu Yahudi dan membebaskan seluruh Palestin. Mereka tidak seharusnya berdiri di reruntuhan Rafah menanti isyarat dari Amerika atau restu dari Tel Aviv untuk bertindak. Sungguh, betapa khianatnya rejim ini!

Palestin adalah tanah Islam yang dijajah. Oleh kerana ia adalah tanah Islam, ini bermakna ia adalah tanah kita semua. Maka, pembebasannya adalah kewajipan atas semua Muslim, khususnya penguasa dan tentera yang memang berkeupayaan untuk berbuat demikian. Ia adalah kewajipan syarie secara mutlak yang tidak gugur dengan berlalunya masa atau dengan apa juga perjanjian antarabangsa mahupun perjanjian pengkhianatan. Rasulullah (saw) bersabda:

فُكُّوا الْعَانِي

“Bebaskanlah tawanan”

Di manakah pasukan tentera untuk membebaskan ribuan tawanan dalam penjara Yahudi? Di manakah pasukan tentera untuk membebaskan penduduk Gaza yang sedang terkepung dengan kepungan maut? Nampaknya sempadan negara-bangsa telah berubah menjadi sebuah penjara besar yang dikunci atas nama “kedaulatan”. Sesungguhnya kedaulatan yang menafikan bantuan kepada sesama Muslim bukanlah kedaulatan Islam!

Bahana negara-bangsa

Apa yang dilakukan oleh para aktivis, walau pun bersifat simbolik dan tidak mampu untuk membantu penduduk Gaza, namun ia mencerminkan kesedaran tinggi yang semakin tumbuh dalam tubuh umat. Sesungguhnya umat ini tidak mati, dan tidak lupa akan kewajipannya. Bagaimana pun, masalah besar terletak pada rejim-rejim yang menjaga entiti Yahudi, menormalisasi hubungan dengan entiti haram tersebut baik secara terang-terangan atau sembunyi – merekalah yang sebenarnya “memerangi” umat atas nama agama, kepercayaan dan pendiriannya.

Rejim Mesir hari ini bukan sahaja tidak mahu membantu Gaza tanpa segan silu, malah lebih dari itu menjadi pihak yang aktif dalam “mencekik” Gaza. Bahkan keterlibatannya dalam sekatan ternyata mengatasi kekejaman entiti Yahudi itu sendiri. Kalau boleh, “udara” yang merupakan rahmat Allah sekalipun mereka ingin sekat daripada masuk ke Gaza. Mereka memukul aktivis, menyeksa wartawan, mengusir orang-orang yang mempamerkan solidariti, dan berusaha membungkam suara-suara sokongan terhadap Gaza. Mereka tahu bahawa jika mereka membiarkan suara-suara tersebut, ia akan mengancam pemerintahan mereka yang hina lagi tunduk patuh kepada Barat.

Antara bencana paling besar selepas Perjanjian Sykes-Picot adalah tertancapnya konsep “kedaulatan negara-bangsa”, sehingga Muslim Maghribi menjadi orang asing di Mesir, Muslim Mesir menjadi warga asing di Syria, dan Muslim Jordan dianggap penceroboh di Palestin. Ini semua bertentangan dengan Islam yang menyatukan umat sebagai satu tubuh, tanpa sempadan, pasport atau visa. Angkara negara-bangsa, Muslim Maghribi bukan sahaja memerlukan visa untuk ke Palestin, malah disoal-siasat kerana  niatnya untuk menyatakan solidariti terhadap Gaza. Lebih buruk, menyokong Gaza dianggap kesalahan jenayah, manakala mengkhianati Gaza dianggap mulia di sisi rejim boneka!

Apa yang berlaku di Lapangan Terbang Kaherah bukanlah insiden terpencil! Ia adalah simptom kepada penyakit kronik rejim ini – pengkhianatannya terhadap umat dan agamanya, serta keterlibatannya dalam projek Amerika-Zionis untuk melenyapkan isu Palestin.

Keperluan kepada Khilafah dan peranan tentera

Sesungguhnya rejim seperti ini sudah tidak boleh dibaiki dengan seruan atau rayuan. Ia mesti diganti dengan mencabutnya dari akar dan mendirikan sistem Islam sebagai gantinya iaitu Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Khilafah akan menggerakkan tentera untuk membebaskan Gaza dan keseluruhan Palestin serta akan mengibarkan panji “La Ilaha Illallah” yang merupakan panji penyatuan umat Islam insya Allah.

Umat ini, terutamanya para pemudanya, mesti sedar bahawa jalan ke Palestin bukanlah melalui rayuan kepada rejim atau melalui konvoi simbolik – walaupun ia baik dan membawa nilai kesedaran – tetapi melalui perubahan total dalam negeri-negeri umat Islam dan mendirikan sebuah negara Islam (Khilafah) yang tidak mengenal selain kemenangan atau kesyahidan.

Tentera Mesir dan keseluruhan tentera kaum Muslimin perlu sedar bahawa pembebasan Palestin adalah tanggungjawab mereka. Ibadah yang paling tinggi selepas keimanan kepada Allah ialah jihad fi sabilillah. Membebaskan wilayah Islam yang terjajah, menyelamatkan saudara-saudara seakidah yang sedang diperangi, memerangi dan mengusir kafir penjajah dari tanah kita – ini semua kewajipan tentera, selain daripada kewajipan setiap Muslim di kawasan yang terjajah. Kewajipan berperang dan menghalau musuh terkena kepada pasukan tentera (dan kaum Muslimin yang mampu) yang paling dekat, dan jika mereka tidak mampu mengalahkan musuh, maka kewajipan terkena kepada yang terdekat selepasnya, dan begitulah seterusnya sehingga kepada pasukan tentera yang paling jauh.

Dalam hal menunaikan kewajipan jihad ini, apabila rejim yang menguasai tentera menghalang pelaksanaannya, maka rejim ini wajib disingkirkan sebagaimana kaedah syarak مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ (“suatu yang kewajipan itu tidak sempurna melainkan dengannya, maka suatu itu juga menjadi wajib”). Maka, menyingkirkan rejim menjadi sebuah kewajipan, agar kewajipan jihad dapat dilaksanakan, wilayah Islam dapat dibebaskan serta kesucian Islam dapat dikembalikan, dan sebelum dari itu, agar pemerintahan Islam dapat ditegakkan, iaitu Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah.

Tentera Muslim harus sedar bahawa mereka adalah perisai umat. Kekuatan dan senjata ada di tangan mereka. Mereka perlu bangkit bersama umat dan lupakan pangkat, keistimewaan dan gaji yang diberi oleh rejim yang mengikat tangan dan kaki mereka daripada jihad fi sabilillah. Sesungguhnya mereka mampu untuk melepaskan rantai ikatan rejim, dan mereka seharusnya merangkul tangan umat, kerana tangan umatlah yang akan mengiring mereka ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Umat ini sudah amat terdesak memerlukan bantuan, dan memerlukan negara yang memayungi mereka – Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah.

Wallahu a’lam.