Pengkhianatan Pemimpin Umat Islam dan Hipokrasi PBB Punca Kemelut Kashmir Berpanjangan

Keengganan pemerintah umat Islam untuk bergerak mengambil langkah tuntas dan sikap kebergantungan harapan kepada penyelesaian melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merupakan antara punca mengapa kemelut yang melanda wilayah Kashmir berpanjangan.

Krisis yang berlanjutan selama lebih 70 tahun ini memuncak setelah kerajaan India memansuhkan Perkara 370 melalui dekri Presiden pada 5 Ogos lalu. Pemansuhan Perkara 370 ini menghapuskan kuasa autonomi di wilayah Jammu dan Kashmir serta mengukuhkan lagi cengkaman penjajahan India ke atas kedua-dua wilayah tersebut. Dalam perkembangan yang sama, puluhan ribu tentera India juga dikerahkan bagi menguatkuasakan perintah berkurung serta sekatan komunikasi di wilayah yang bergolak tersebut.

Rentetan daripada perkembangan terbaru ini, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan seruan sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Kashmir yang telah sekian lama tertindas di bawah cengkaman penjajahan India. Seruan tersebut berlangsung di hadapan pintu masuk utama Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi sejurus selesai solat Jumaat tadi.

Dalam seruan yang disampaikan itu, HTM mengingatkan umat Islam akan kewajipan membela Muslim Kashmir dan menggesa mereka untuk memuhasabah pemerintah agar mengambil tindakan tuntas bagi menamatkan konflik di Kashmir. HTM turut mengemukakan penyelesaian yang benar dan praktikal bagi menangani masalah Kashmir ini iaitu dengan melancarkan jihad fi sabilillah bagi mengajar kebiadapan rejim penjajah India.

Seruan yang berlangsung sekitar 20 minit itu mendapat perhatian jemaah masjid dan disertai oleh sebahagian orang awam yang turut sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap krisis yang melanda umat Islam Kashmir ini.

Anggota HTM turut mengedarkan artikel bertajuk “Kashmir: 150 Tahun Kezaliman dan Penindasan” kepada orang ramai yang menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.